`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Thursday, October 15, 2015

Beli sekarang atau hadapi kenaikan harga kereta, kata pemain industri

Syarikat pengedar kereta menilai pelbagai kaedah untuk menghadapi kemerosotan nilai ringgit, tetapi tiada pilihan selain terpaksa memindahkan sedikit kenaikan kos terhadap pembeli kereta bagi mengimbangi kesan pengukuhan dolar Amerika Syarikat. – Gambar fail Reuters, 15 Oktober, 2015.Syarikat pengedar kereta menilai pelbagai kaedah untuk menghadapi kemerosotan nilai ringgit, tetapi tiada pilihan selain terpaksa memindahkan sedikit kenaikan kos terhadap pembeli kereta bagi mengimbangi kesan pengukuhan dolar Amerika Syarikat. – Gambar fail Reuters, 15 Oktober, 2015.
Penantian penjawat awam, Hafizal Rahman, 25, selama ini untuk menimang cahaya mata sendiri mula tercapai apabila isterinya disahkan hamil anak pertama mereka selepas mendirikan rumah tangga sejak hampir 3 tahun lalu.
Namun begitu, hatinya kini gusar memandangkan isterinya kini terpaksa tinggal berseorangan di Hulu Selangor, apabila dia dihantar bertugas di ibu negara, dan pengangkutan utama yang dimiliki mereka untuk bergerak hanyalah sebuah kereta transmisi manual berusia hampir 20 tahun yang semakin uzur.
Menurut Hafizal, isterinya bagaimanapun tidak cekap menggunakan kenderaan dengan transmisi manual, malah untuk menjalani sesi pemeriksaan kesihatan di klinik kerajaan di kawasan kediaman mereka, beliau terpaksa menggunakan motosikal.
Harapan Hafizal untuk membeli kereta baharu dengan transmisi automatik untuk kegunaan isterinya juga semakin pudar, apabila harga kereta di negara ini dijangka naik menjelang tahun hadapan.
“Dahulu sebelum isteri saya mengandung, kami cuba membeli kereta tetapi gagal disebabkan gaji bersih saya tidak memenuhi syarat minimum untuk membeli kereta,” kata Hafizal kepada The Malaysian Insider.
Disebabkan keadaan keretanya itu begitu uzur, dia seringkali terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan setiap bulan untuk membeli alat ganti, malah keretanya juga tidak boleh digunakan untuk perjalanan jauh ke kampung halaman di selatan tanah air.
Lebih baik beli sekarang
Pengedar kenderaan Toyota, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota), baru-baru ini mengumumkan kenaikan harga model-model Toyota dan Lexus di pasaran tempatan antara 4% dan 16% bermula Januari 2016, atas alasan kemerosotan nilai ringgit.
Syarikat itu berkata, sepanjang tahun ini nilai ringgit merosot hampir 20% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekali gus meningkatkan kos operasi UMW Toyota.
“Syarikat menilai pelbagai kaedah untuk menghadapi hal ini. Namun, tiada pilihan selain terpaksa memindahkan sedikit kenaikan kos ini terhadap pengguna sebagai mengimbangi kesan pengukuhan dolar AS,” jelas syarikat itu dalam kenyataannya.
Presiden UMW Toyota Datuk Ismet Suki berkata, bermula awal tahun ini perubahan nilai ringgit menjejaskan perniagaan syarikatnya memandangkan beberapa alat ganti dan komponen adalah barangan yang diimport dan sekali gus menaikkan kos operasi keseluruhan.
Pemain industri yang dihubungi The Malaysian Insider menyarankan pembeli yang berhajat untuk memiliki kereta untuk membelinya dalam tempoh terdekat ataupun membeli kereta import terpakai dari luar negara atau bakal menghadapi kenaikan harga kereta susulan penyusutan nilai ringgit.
Abdul Rahman Mohamad, 54, ejen penjual kereta dari Seremban, Negeri Sembilan berkata, meskipun penjualan kenderaan itu setakat hari ini masih lagi memberangsangkan, penyusutan nilai ringgit dan kenaikan harga kereta tidak dapat dielakkan.
“Kalau nak beli kereta, beli sekarang, takut nanti harga akan naik lagi, lebih-lebih lagi kereta dari Jepun,” katanya, kepada The Malaysian Insider.
“Pasaran kereta buat masa ini masih stabil, tetapi pihak bank pula yang sukar untuk memberikan pinjaman,” katanya.
Hafarizal bersetuju dengan kata-kata Rahman itu, mengatakan dengan pendapatan bulanan sekitar RM2,100 sebulan, selepas potongan dia hanya menikmati gaji bersih sebanyak RM800 sahaja, sedangkan syarat minimum untuk membeli kereta adalah RM1,500.
“Kami cuba mengumpul wang pendahuluan untuk membeli kereta, isteri saya pun selain menjadi suri rumah turut mengambil upah menjaga anak-anak jiran. Jadi, dapatlah membantu serba sedikit kos kehidupan kami berdua,” katanya.
Hafarizal berkata, tanpa deposit yang mencukupi ditambah perbelanjaan tambahan untuk anak sulungnya yang bakal dilahirkan pada Jun tahun hadapan, hasratnya untuk memiliki kenderaan yang lebih baik mungkin terpaksa dilupakan.
“Nak buat macam mana, apabila sudah ada anak, perbelanjaan akan bertambah. Macam mana nak beli kereta?” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata pengguna bagaimanapun masih mempunyai pilihan untuk membeli kenderaan import terpakai dari luar negara ekoran kenaikan harga kereta baharu.
Beliau berkata, setakat ini, stok kenderaan yang diimport pihaknya masih lagi berbaki sekitar 400 unit dan dijangka mampu bertahan sehingga antara 3 atau 4 bulan sahaja lagi.
“Kereta import terpakai dari luar negara tidak naik harga. Belilah kereta ‘recond’. Kita masih menjual dengan harga lama kerana stok kita ambil awal tahun lalu sebelum berlakunya krisis kewangan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Zainuddin berkata, sebaik sahaja unit berkenaan habis dijual, mereka juga akan terpaksa menaikkan harga antara 25% sehingga 30% untuk menampung penyusutan nilai ringgit.
"Kalau nak beli lebih baik beli sekarang,” katanya dan menambah, sebagai perbandingan, model Toyota Alphard baharu berharga sekitar RM400,000, sedangkan model terpakai yang diimport berusia 2 tahun boleh dibeli separuh daripada harga itu.
Beliau bagaimanapun mengakui, sejak kejatuhan nilai ringgit, penjualan kereta mengalami penurunan hampir 50%.
“Kalau dulu kita boleh jual antara 40 hingga 50 unit sebulan, tetapi hari ini kita hanya boleh menjual antara 20 hingga 30 unit sebulan,” katanya.
Kenaikan tidak dapat dielakkan
Zainuddin berkata, industri penjualan kereta akan menerima kesan pertama susulan kejatuhan nilai ringgit dan diikuti dengan sektor perumahan.
“Kalau industri penjualan kereta berkembang pesat, maknanya ekonomi dalam keadaan baik, tapi sekarang rumah pun tak laku. Ini indikator ekonomi baik atau tidak,” katanya.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad bagaimanapun berkata kenaikan harga kenderaan iu sememangnya tidak boleh dielakkan atau syarikat akan mengalami kerugian disebabkan penurunan nilai ringgit.
“Ia umpama ‘ayam’ dan ‘telur’, kalau kita tidak naikkan harga kita akan rugi, tetapi kejatuhan nilai ringgit memberikan kesan tidak baik kepada industri automotif kita,” katanya.
Namun beliau berkata, keputusan sama ada untuk mengekalkan atau menaikkan harga sesebuah model kenderaan itu masih bergantung kepada keputusan satu-satu syarikat itu sendiri.
- TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.