Thursday, December 24, 2015
Jumpa Agong Tak Sampai 15 Minit Kalau Nak Isytihar Darurat..
SHAH ALAM - Tidak sampai 15 minit untuk Perdana Menteri berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan jika mahu mengisytiharkan kawasan keselamatan atau darurat.
Demikian kata Ketua Whip Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul dengan sindiran sinis sambil mempersoalkan keperluan memberikan kuasa lebih kepada Perdana Menteri untuk mengambil alih hak baginda itu.
"Apa masalahnya untuk Perdana Menteri berjumpa dengan YDP Agong? Sekiranya Agong bercuti, timbalan Agong ada.
"Maknanya isu untuk mendapatkan perkenan persetujuan Agong itu tidak timbul, kerana dalam Perlembagaan dengan jelas mengatakan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri," katanya kepada Sinar Online.
Beliau mengulas mengenai RUU MKN 2015 diluluskan Dewan Negara, kelmarin yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.
Perkara itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang pada pukul 8.20 malam sambil berkata undang-undang itu diluluskan berdasarkan undian suara dengan lebih ramai yang menyokong berbanding yang membantah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika menggulung RUU itu berkata tidak timbul isu Perdana Menteri mengambil kuasa YDP Agong seperti yang menjadi kebimbangan banyak pihak sebelum ini.
Mengulas lanjut, Johari juga berkata, keperluan itu wujud jika baginda sahaja mempunyai kuasa mutlak untuk mengisytiharkan darurat tanpa nasihat Perdana Menteri.
"Tetapi dalam Perlembagaan sekarang ini, Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri," ujarnya.
Johari selaku Ahli Parlimen Sungai Petani berkata lagi, RUU itu didakwa memberikan kuasa mutlak kepada Perdana Menteri dalam soal keselamatan.
"Kuasa yang ada pada Ketua Polis Negara selama ini di bawah Akta Polis 1967 dan kuasa yang ada kepada Agong di bawah Perlembagaan Perkara 150, dipusatkan kepada Perdana Menteri.
"Perdana Menteri boleh melakukan lain-lain peraturan, dia boleh letakkan apa juga yang dia nak (menyebabkan) tiada lagi peranan KPN dan Ketua Angkatan Tentera," dakwanya.
Tambah beliau, lebih membimbangkan apabila kuasa itu disalahgunakan oleh Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.