`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, November 20, 2023

10 negeri tawar tanah bina PPR

 

Lima projek PPR melibatkan Johor, Melaka, Selangor, Sabah, dan Pahang sudah melalui proses penilaian makmal dan kejuruteraan, menurut Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

KUALA LUMPUR: Sepuluh negeri telah menawarkan tanah secara percuma atau mengenakan premium nominal kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Timbalan Menteri Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata lima projek melibatkan Johor, Melaka, Selangor, Sabah dan Pahang sudah melalui proses penilaian makmal dan kejuruteraan.

Dua lagi negeri, iaitu Pulau Pinang dan Perak, katanya, dalam fasa menunggu tarikh penilaian, manakala Negeri Sembilan, Terengganu, dan Perlis dalam fasa prakelayakan.

“Tiga lagi negeri, (iaitu) Kelantan, Kedah, dan Sarawak, kita belum muktamadkan apa-apa lagi kerana mereka belum mengemukakan dengan jelas (lokasi) tanah yang dicadangkan.

“Ini kerana untuk pandangan dan keputusan dari segi kesesuaian lokasi, pemilihan lokaliti, daerah dan zon ialah daripada pihak negeri sendiri,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal berkata, pembinaan PPR itu mengikut spesifikasi standard, iaitu 750 kaki persegi dengan dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air.

Sementara itu, katanya, KPKT melalui bomba dalam proses pengambilan 67 pegawai sepenuh masa dan 209 anggota dijangka melapor diri pada Mei tahun depan.

“Bomba juga dalam perancangan pengambilan (ahli) bantuan sebanyak 364 orang, dalam lima siri pengambilan di seluruh negara,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM5,647,038,600 yang diperuntuk kepada KPKT dalam Belanjawan 2024 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 15 Ahli Parlimen.

Sidang Dewan Rakyat bersambung esok. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.