`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, November 6, 2023

Gantung Iskandar apa naratifnya kini?

 

Genap tiga minggu selepas umumkan sokongannya kepada perdana menteri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid akhirnya tahu untung nasibnya. Jumaat lalu, Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggantung keahliannya selama empat tahun ketika kekalutan kesnya dilihat belum ada penghujungnya.

Iskandar belum memberi respons terhadap penggantungannya itu tapi mungkin tidak silap jika diandaikan beliau sendiri harus keliru oleh banyaknya percanggahan terhadap pendiriannya yang disimpulkan sesetengah pihak di antara janggal, luar biasa hingga kepada mencipta budaya baru kerana beralih sokongan tanpa perlu keluar parti.

Menyusuli sokongannya kepada Anwar pada 12 Oktober lalu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin mendakwa Iskandar diugut dan berlaku intimidasi terhadap beliau. Ia bukan dakwaan secara rambang, malah diperincikannya sebagai dilakukan seorang pegawai tinggi SPRM di sebuah hotel di Damansara pada 1 Oktober. Kata Hamzah lagi, Iskandar diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media untuk menyokong kerajaan.

“Sebelum itu, pada 26 September, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga telah didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan perdana menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara,” katanya dalam satu kenyataan selain menambah beliau dijanjikan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat sebagai habuan sokongannya.

Dakwaan itu dinafikan keras pada 15 Okt oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang menyangkal pihaknya terlibat di samping menyifatkan dakwaan Hamzah itu berniat jahat dan cubaan memburukkan imej SPRM. Kemudian Anwar pula menuntut Hamzah membawa bukti berkaitan ke pihak berkuasa supaya tuduhannya itu disiasat sepenuhnya.

“Yang saya tahu saya belum jumpa, (Iskandar) belum contact saya, dan tak hantar wakil. Saya tak tahu siapa yang ugut. Kalau ada bukti kena keluarkan dan jangan pakai cakap saja dan kalau ada (ugutan) ini satu tuduhan serius, dia (Hamzah) patut bawa laporan dan biar ada siasatan,” kata perdana menteri pada 18 Okt dengan menyifatkan sokongan Iskandar satu cerminan bahawa kerajaan perpaduan melakukan perkara yang betul daripada segi dasar ekonomi dan urus tadbir.

Sebagai menjawab semua hujah-hujah berkenaan, Hamzah pada 3 Nov berkata Perikatan Nasional (PN) masih mengumpul segala maklumat berhubung dakwaan ugutan yang diterima Ahli Parlimennya supaya menyokong kerajaan perpaduan sebelum membuat laporan polis.

Malah, Hamzah turut mengesahkan dakwaan bekas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan bahawa beberapa Ahli Parlimen PN ditawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan syarat menyatakan sokongan kepada perdana menteri.

Penganalisis politik pula berpendapat peralihan sokongan Iskandar kepada Anwar – bukan saja mengejutkan kepada Bersatu dan PN malah kepada negara amnya – adalah mengelirukan kerana dua naratif berlawanan.

Daripada naratif pertama, Iskandar mengalihkan sokongannya kerana mahu mengurangkan beban kos sara hidup yang meningkat untuk penduduk kawasannya dengan mengharapkan peruntukan daripada kerajaan.

Naratif kedua pula berkisar kepada dakwaan Hamzah bahawa Iskandar diancam dengan tuduhan rasuah supaya menyokong kerajaan. Ini bagaimanapun sudah dinafikan Iskandar pada 17 Okt lalu dengan mempertahankan alasan beliau berbuat demikian agar dana kerajaan dapat disalur kepada pengundi kawasannya dan bukan kerana ditekan mana-mana pihak.

Sambil menambah bahawa keputusannya itu turut didorong oleh rakyat yang mahukan kestabilan politik, Iskandar berkata: “Saya telah mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan pengundi, daripada pelajar kepada guru, pemandu e-hailing, penjaja dan usahawan. Daripada sesi ini, saya dapati ramai penyokong, rakan dan pengundi saya letih dan kecewa dengan ketidakstabilan politik. Mereka mahu melihat kerjasama politik wujud atas nama kestabilan.”

Selanjutnya, kata penganalisis, peralihan sokongan Iskandar itu mendedahkan semakin kurang berkesannya peranan Bersatu dan PN sebagai blok pembangkang yang berwibawa. Malah, kekecewaan yang dibangkitkan oleh Iskandar turut dikongsi ramai lagi dari blok pembangkang di Dewan Rakyat. Cuma, pimpinan Bersatu dan PN seolah-olah tidak peka dengan keluh-kesah wakil rakyat mereka dalam menagih peruntukan bagi manfaat rakyat di kawasan mereka walhal ketua pembangkang dan ketua whip PN tidak pun menyahut tawaran berunding oleh kerajaan.

Penyelidik Kajian Politik Malaysia NUSA Research Centre Arif Anwar Lokmanol Hakim antara yang menyatakan tidak akan terkejut jika pendirian Iskandar menyokong Anwar akan dituruti beberapa lagi Ahli Parlimen Bersatu.

Alasan beliau didasarkan kepada dakwaan wujudnya krisis dalam parti itu gara-gara semakin ramai wakil rakyat Bersatu yang dikatakan tidak senang dengan meningkatnya pengaruh PAS dalam empat kerajaan negeri selepas PRN 12 Ogos lalu. Krisis itu turut dipercayainya menjadi dorongan untuk Iskandar mengalihkan sokongannya.

Hamzah ketika mengumumkan penggantungan empat tahun ke atas Iskandar dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata Lembaga Disiplin Bersatu memutuskannya dalam satu mesyuarat pada Jumaat setelah meneliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasan tunjuk sebab daripada Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu. Beliau yang didapati bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) perlembagaan Bersatu turut berdepan penggantungan bagi semua jawatan dalam parti yang dipegangnya.

Mungkin ada yang bertanya bagaimana hukuman itu diputuskan ke atasnya sedangkan seperti yang dinyatakan oleh Hamzah, dakwaan ugutan yang diterima Ahli Parlimennya supaya menyokong kerajaan perpaduan masih di peringkat sedang menghimpunkan maklumat sebelum laporan polis dibuat parti itu.

Apakah ini bermakna Iskandar sudah pun diputuskan bersalah sebelum siasatan menyeluruh ke atasnya dapat dimuktamadkan – sama ada benar beliau telah diugut dan berlaku intimidasi terhadapnya seperti digembar-gemburkan awalnya atau pendiriannya menyokong Anwar dibuat atas kerelaan dan kesedarannya sendiri.

Mungkin juga penggantungan ke atasnya itu akan ditarik balik kemudian jika siasatan mendapati ia berlawanan dengan apa yang menjadi asas pengadilan Lembaga Disiplin Bersatu dalam menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Hukum dahulu dan muktamadkan siasatan kemudian dalam kes Iskandar ini mungkin tidak pun berbeza dengan peralihan sokongannya terhadap Anwar yang disimpulkan di antara janggal, luar biasa hingga kepada mencipta budaya baharu kerana berbuat demikian tanpa perlu keluar parti. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.