`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 7, 2023

Jumlah mangsa banjir di Perak, Selangor meningkat

 

Semua mangsa banjir masih berlindung di empat pusat pemindahan banjir di Perak manakala tujuh pusat pemindahan banjir dibuka di Selangor. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak dan Selangor mencatatkan peningkatan, pagi ini.

Di Perak, jumlah mangsa meningkat kepada 299 orang daripada 87 keluarga pada pagi ini berbanding 257 orang daripada 74 keluarga malam tadi, yang ditempatkan di empat PPS di Hilir Perak dan Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan di Hilir Perak, jumlah mangsa di Dewan Serbaguna Padang Tembak bertambah kepada 145 orang daripada 44 keluarga.

Di Kerian jumlah mangsa kekal 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di SK Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di SK Alor Pongsu.

“Mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan semakin berkurangan dan ketika ini tiada mangsa, namun belum ditutup secara rasmi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada tahap bahaya 4.10 meter, manakala Sungai Kerian di Selama pada tahap amaran 12.21 meter dan Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula dalam keadaan berjaga-jaga pada paras 13.30 meter.

Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan laluan FT 147 Jalan Selama di Kerian ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh, sementara laluan A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah dijadikan sebagai jalan alternatif.

Di Selangor, jumlah mangsa meningkat kepada 673 orang daripada 170 keluarga pagi ini berbanding 547 orang daripada 144 keluarga malam tadi, dengan sebuah lagi PPS dibuka di Dewan Serbaguna MBSJ Camelia Seksyen 10, Putra Height, Subang Jaya yang menempatkan 91 mangsa.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, pembukaan PPS tersebut menjadikan tujuh PPS dibuka di negeri itu termasuk dua di Hulu Langat iaitu SK Bangi dan SK Semenyih serta empat PPS di Sepang iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali, Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.