`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, November 6, 2023

Jurukimpal bunuh suri rumah dipenjara 35 tahun

 

Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman mati dan menggunakan budi bicara untuk menggantikan hukuman itu kepada penjara.

PUTRAJAYA: Seorang jurukimpal terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan meringankan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadapnya kepada penjara 35 tahun kerana membunuh seorang suri rumah.

Panel tiga hakim terdiri Hadhariah Syed Ismail, See Mee Chun, dan Azmi Ariffin menolak rayuan Lin Siek Hong terhadap sabitan kesalahannya.

Hadhariah berkata, mahkamah mengetepikan hukuman mati dan menggunakan budi bicaranya untuk menggantikan hukuman itu kepada penjara 35 tahun.

Dalam keputusan mahkamah, hakim itu berkata apa yang berlaku bukan kes provokasi dan si mati, Yap Choon Mooi ditikam di hatinya yang menunjukkan Lin mempunyai niat untuk membunuh.

Lin juga terlepas dikenakan sebatan kerana berusia 54 tahun.

Lin didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 17 Feb tahun lalu kerana membunuh Yap, 41, di Lorong Tengah di Kampung Terentang, Rawang, Selangor pada 6.45 pagi, pada 11 Dis 2018.

Peguamnya Lee Teong Hooi sebelum itu berhujah bahawa anak guamnya diprovokasi oleh si mati dan tidak mempunyai niat untuk membunuh si mati.

Beliau berkata, pihak pendakwaan gagal memanggil seorang wanita Cina yang menyaksikan kejadian itu untuk memberi keterangan dalam perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Natchiar berhujah bahawa pihak pendakwaan tidak menahan maklumat kerana suami si mati tidak mengenali wanita Cina yang memaklumkan isterinya telah ditikam.

Sementara itu, dalam kes lain, panel Mahkamah Rayuan yang sama memerintahkan seorang lelaki, yang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan membunuh adik perempuannya atas alasan tidak waras, membela diri terhadap pertuduhan itu.

Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Hadhariah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebas dan melepaskan Lim Poo Teck atas alasan tidak siuman pada akhir kes pendakwaan.

Beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memerintahkan Lim dibebas dan dilepaskan apabila berpuas hati bahawa semua unsur di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Hadhariah mengarahkan kes itu dibawa kembali ke hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang sama untuk Lim membela diri.

Pada 21 Dis 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid membebas dan melepaskan Lim terhadap kesalahan itu pada akhir kes pendakwaan. Hakim itu juga memerintahkan Lim dihantar ke Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak, bawah Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah.

Lim, 52, didakwa membunuh Poh Ling, 38 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah di Jinjang Utara di Sentul, Kuala Lumpur antara 6.30 petang dan 7 malam pada 21 Jan 2020. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.