`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, November 18, 2023

Lantik Dr M menteri mentor bukan idea bernas selesai isu Palestin

 

Serangan berterusan tentera Israel sejak lima minggu lalu telah mengorbankan lebih 11,000 penduduk Gaza termasuk sekurang-kurangnya 4,600 kanak-kanak. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Cadangan ‘luar kotak’ Khairy Jamaluddin supaya Putrajaya melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai menteri mentor untuk membawa isu Palestin di peringkat antarabangsa ditolak ahli akademik.

Sebaliknya penganalisis keselamatan dan politik Noor Nirwandy Mat Noordin mencadangkan kerajaan menubuhkan pusat rujukan keilmuan berperanan sebagai forum mencari penyelesaian jangka panjang dengan pembabitan pelbagai pihak.

“Sudah sampai masanya Malaysia dan masyarakat dunia dalam satu korpus yang jauh lebih baik berbanding mewujudkan satu menteri mentor untuk menangani konflik ini,” katanya kepada FMT.

Khamis lalu, Khairy, bekas menteri kesihatan berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sepatutnya melantik Mahathir sebagai menteri mentor untuk mewakili Malaysia membawa isu Palestin di peringkat antarabangsa.

Noor Nirwandy Mat Noordin.

Mengakuinya sukar berlaku, bekas menteri kesihatan itu berkata kehadiran Mahathir yang terkenal dengan kelantangannya dalam isu terbabit selama ini pasti memberi tarikan pada Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh, Arab Saudi, minggu lalu.

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata Malaysia boleh menggunakan kedudukannya yang disegani dalam perjuangan keamanan sejagat untuk mewujudkn pusat rujukan berkenaan.

“Kita boleh menerajui pusat keilmuan dan pusat diplomasi awam atau politik berkaitan konflik Palestin-Israel kerana Malaysia disegani di negara luar selain model negara Islam yang neutral dalam isu antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, pusat itu juga boleh berperanan mendedahkan musuh kemanusiaan sebenanrya iaitu Israel dan mengkaji teknik propagandanya supaya generasi masa depan tidak termakan dengan helah mereka dalam menindas rakyat Palestin.

Pakar geostrategi Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara turut was-was dengan cadangan Khairy supaya Mahathir dilantik menteri mentor walaupun mengakui bekas perdana menteri itu dikenali di peringkat antarabangsa.

Azmi Hassan.

“Ya Mahathir dikenali arena antarabangsa, tetapi Anwar juga dikenali, cuma bezanya Mahathir beliau ada (dilabel) stigma anti-semitik, itu mungkin ada masalah bila memperjuangkan isu Palestin.

“Saya tak nampak ia akan beri kelebihan kepada Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin di peringkat antarabangsa,” katanya.

Serangan berterusan tentera Israel sejak lima minggu lalu telah mengorbankan lebih 11,000 penduduk Gaza termasuk sekurang-kurangnya 4,600 kanak-kanak. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.