KUALA LUMPUR: Naib Presiden Kanan Parti Progresif Penduduk (MyPPP) Loga Bala Mohan akan memegang jawatan pemangku presiden parti itu berikutan kematian Maglin Dennis D’Cruz semalam.
Setiausaha Agung MyPPP, Inder Singh Beant Singh, berkata Loga akan menjadi pemangku presiden berdasarkan Perkara 9.10 perlembagaan parti itu yang menetapkan naib presiden kanan akan bertindak sebagai presiden sekiranya jawatan itu kosong.
Beliau berkata, mengikut Perkara 9.3 perlembagaan sama, ia berkuat kuasa hingga perhimpunan agung diadakan bagi memilih presiden baharu.
“Dengan pemergian Maglin secara mengejut pada 17 Nov, Loga Bala akan memegang jawatan pemangku presiden hingga diberitahu kelak,” katanya dalam kenyataan.
Inder Singh, dalam kenyataan berasingan berkata mereka yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Maglin boleh hadir ke Wisma MyPPP esok dari 11 pagi hingga 5 petang dan 20 Nov dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Maglin meninggal dunia tengah malam semalam pada usia 67 tahun. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.