`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 9, 2023

Siapa bilang tiada Cina cinta Palestin dan anti-Zionis

 

Ada seorang teman bertanyakan kepada saya, adakah mana-mana Cina yang saya temukan mati-matian mencintai Palestin dan anti-Zionis? Saya menjawab beliau dengan pertanyaan kembali, siapa pula yang bilang kepadamu bahawa tiada Cina yang mencintai Palestin dan anti-Zionis?

Sebenarnya teman saya itu dari jenis manusia yang percaya Lim Kit Siang dan ‘Lim Kuan Yew’ sepupu. Saya tidak menyalahkan beliau kerana jahil. Sebagai pendidik saya sudah terbiasa menemui orang pandir. Cabarannya adalah memandaikan orang seperti beliau. Kadangkala kita perlu menjentik hati mereka. Ya, memang ada Cina yang mencintai Palestin.

Nama Cina ini ialah Ang Swee Chai, seorang pakar bedah ortopedik kelahiran Pulau Pinang yang kemudian berhijrah ke Singapura. Sebahagian besar kecintaan beliau kepada Palestina ini dapat dibaca dalam memoir lebih 400 halaman yang dikarangnya berjudul “From Beirut to Jerusalem: A Woman Surgeon with the Palestinians”.

Beliau pengasas bersama Medical Aid for Palestinians dan amat dibenci oleh pihak berkuasa Israel. Semua pergerakan beliau untuk masuk ke wilayah Palestina yang diduduki Zionis akan sentiasa terhalang. Swee Chai masih hidup. Malah beliau telah pun menyatakan sikapnya dalam hal genosid di Gaza sekarang, akan tetapi untuk teman saya yang percaya Lim Kit Siang dan Chin Peng itu sepupu, saya perlu menjejerkan sedikit penerangan.

Swee Chai sekarang dalam usia 70-an. Pada 1982, beliau meninggalkan London untuk ke Lubnan sebagai pengamal perubatan. Beliau ingin menawarkan kepakaran selaku doktor. Ketika itu Israel baru melanggar Lubnan dan klip berita menunjukkan mangsa terdiri daripada orang awam segera mendorong Swee Chai ke negara tersebut. Swee Chai tiba di Beirut, sebagai seorang Kristian yang menyokong Israel dan mempercayai bahawa Palestine Liberation Organisation (PLO) teroris; pandangan Swee Chai serta merta berubah.

Swee Chai melihat sendiri kehancuran dan kezaliman yang dilakukan Israel di Beirut. Ekoran gencatan senjata, Palestine Red Crescent Society (PRCS) menghebahkan mereka memerlukan enam pakar bedah untuk berkhidmat di hospital Gaza sebelas tingkat di Jalan Sabra. Swee Chai menawarkan diri dan tiba di hospital ini. Di situ melihat dua aras rosak teruk dibom. Di aras rosak itulah doktor ini akan menginap dan berkhidmat di tingkat-tingkat lainnya.

Setiap hari Swee Chai merawat mangsa dari Palestina, iaitu mereka yang terusir dan terungsi dari tanah air sendiri, mangsa Zionis pada 1948 dan mangsa terdiri dari 13,000 orang Palestin yang mengalami genosid dinamai Nakba. Lubnan tatkala itu tempat perlindungan 110,000 pelarian Palestina dan menjelang 1982, populasi pelarian sudah mencanak menjadi 400,000. Di sini, Swee Chai mendengar dan menyaksikan pelbagai cerita penderitaan. Cerita yang tiada dalam buku sejarah versi Amerika Syarikat. Cerita yang tidak dilapor media.

Pada 15 September 1982, dari tingkat atas Hospital Gaza, Swee Chai menyaksikan sendiri kereta kebal Israel merempuh Beirut melepasi Sabra dan Shatila. Militia Phalangist bersama-sama Israel membunuh 3,500 orang awam Palestin dan Lubnan. Dunia antarabangsa melihat sahaja tanpa melakukan apa-apa ketika itu, persis berlaku hari ini.

Pelarian di Sabra-Shatila dibunuh, wanita diperkosa dan selama tiga hari pesta pembunuhan berlaku. Swee Chai bekerja tanpa henti untuk merawat mangsa sehingga pada sore 17 September maka menjadi jelas musuh akan menyerang hospital tersebut. Swee Chai dipaksa bersama-sama tiga puluh yang lain untuk meninggalkan pesakit dan sepanjang jalan Sabra-Shatila, dengan mata kepalanya sendiri Swee Chai melihat mayat bergelimpangan. Insiden tersebut meninggalkan memori mendalam kepada beliau.

Sejak dari kejadian itu wanita ini tidak pernah berhenti berjuang dan bersuara demi Palestina. Ketika intifada pertama dalam tahun 1988-1989, Swee Chai malah sempat berkhidmat di Hospital Al-Ahli di Semenanjung Gaza. Rumah Sakit Al-Ahli ini dipunyai sebuah yayasan Kristian dan amat digemari oleh orang Palestina baik Kristian mahupun Muslim. Ia dibina oleh Church Mission Society pada 1900.

Baru-baru ini Hospital Al-Ahli ini diledakkan oleh Israel. Ramai yang terkorban. Tentu sahaja naratif Zionis adalah hospital itu diletupkan oleh pelancaran roket atau peluru berpandu yang gagal oleh kumpulan Jihad Islam (puak lain dari Hamas). Akan tetapi Swee Chai dalam tulisannya yang terbaru percaya Israel adalah dalang sebenar. Tentu sahaja beliau bercakap atas dasar pengalaman lalu yang ngeri.

Sebetulnya tidak adil menuding jari atau menuduh masyarakat Cina tidak peduli dengan apa yang menimpa Palestina. Kebanyakan orang Melayu-Islam memang mempunyai rasa yang berat dan emosi melampau bila topik ini diangkat. Hal ini kerana kita mempunyai hubungan akidah yang kuat dengan Palestina. Untuk kebanyakan masyarakat Cina yang mana agama bukanlah satu faktor utama, isu Palestina mungkin terlihat tidak berbekas dalam jiwa mereka.

Adalah menjadi tugas kita orang Islam yang waras untuk mengusahakan supaya Palestina dilihat bukan sebagai isu agama tetapi sebagai satu tuntutan kemanusiaan seperti mana ia mengubah sudut pandang Swee Chai pada 1982. Kesilapan kita menjadikan Palestina sebagai isu agama, malah dalam banyak keadaan sebagai isu mazhab.

Untuk orang waras dan baik seperti Swee Chai, yang menjadi dukungan sebenar adalah kemanusiaan. Orang seperti inilah yang tidak mustahil akan mengecap syurga Tuhan di akhirat kelak bersama-sama para syuhada Palestina. Keadilan Ilahi destinasi akhir yang menuntut kita supaya berfikir waras dan menggunakan kebijaksanaan akal.

Swee Chai seorang Cina kelahiran Pulau Pinang yang kemudian menjadi warganegara Singapura. Bukan, dia bukan sepupu Chin Peng. Dia tercerahkan oleh pengalaman yang dilalui sendiri. Penjelasan saya ini kepada teman yang percaya Lim Kit Siang dan ‘Lim Kuan Yew’ adalah sepupu sedikit mengejutkan beliau. Saya tidak tahu berapa banyak sarwa pandangnya berubah selepas kami beredar tempoh hari.

Teman saya itu berasal dari Kepala Batas. Saya percaya beliau membaca tulisan saya di sini. Saya percaya beliau akan mencari buku karangan Swee Chai iaitu “From Beirut to Jerusalem”. Versi kemaskini pada 2019 masih terjual merata dan mudah diperolehi dalam talian. Bukan semua orang Kepala Batas kepam. Saya percaya teman saya itu tidak kepam. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.