PETALING JAYA: Seramai 10 pengemis warga asing diberkas dalam satu operasi Imigresen susulan aduan ramai di Bangsar, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata operasi sekitar pekarangan Masjid Saidina Abu Bakar, Jalan Ara itu susulan aduan awam.
“Dalam operasi ini seramai 13 orang diperiksa dan hasil pemeriksaan lanjut, seramai 10 pengemis warga asing berumur antara 2 hingga 41 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mereka yang ditahan adalah dua lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia serta seorang lelaki dan dua perempuan dari Myanmar.
“Turut ditahan dua orang kanak-kanak lelaki dan dua orang kanak-kanak perempuan warganegara Myanmar,” katanya.
Menurutnya, kesemua pengemis warga asing yang ditahan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.