`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, July 15, 2024

‘Jangan gelar mereka 6 Jahanam’

 

hishamuddin-aun

Tanpa sekali-kali meninggikan suara dan mengekalkan ketenangannya, Johari Abdul membiarkan saja perbahasan hangat pada petang Khamis mengenai keputusannya mengekalkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu seperti dalam suratnya kepada parti itu Selasa lalu. Bukan sedikit serangan dihadapinya, namun beliau memaklumkan akan tetap membenarkan perbahasan berlarutan hingga tengah malam jika perlu.

Isyarat speaker Dewan Rakyat itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh wakil pembangkang — didahului oleh Ronald Kiandee (Beluran), Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Shahidan Kassim (Arau), Radzi Jidin (Putrajaya), Awang Hashim (Pendang), dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin (Larut) — dengan dua wakil kerajaan Syahredzan Johan (Bangi) dan RSN Rayer (Jelutong) turut diberikan peluang.

Sepanjang petang itu bergemalah perkataan 

jahanam
 berulang-ulang kali — daripada ia ditakrifkan sebagai doa, cercaan hinggalah kepada nasihat — ketika perkataan itu dieksploitasi secara optimum dalam pada wakil pembangkang menghamburkan kemarahan terhadap keputusan speaker.

Terdahulu, Johari dalam suratnya kepada Kiandee selaku ketua whip Bersatu pada Selasa memaklumkan tiada kekosongan kerusi berdasarkan Perkara 49(A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.

Beliau menjelaskan Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu bertentangan dan menafikan hak Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), dan Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Selain itu, tambahnya, hak mereka juga terjamin di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) yang menjamin keistimewaan, kebebasan bercakap, berbahas dan mengundi kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Dalam sidang akhbar di Parlimen keesokannya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang kecewa dengan keputusan itu turut mengungkit: 

Seperti mana kata-kata speaker semasa beliau menjadi pembangkang yang dipetik dalam Hansard Dewan Rakyat bertarikh 27 Julai 2022 ketika membahaskan rang undang-undang pindaan perlembagaan bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti saya petik: ‘Inilah satu-satunya undang-undang yang boleh menyekat kita daripada terus menjahanamkan negara kita, tidak kiralah sama ada sebelah sini (pembangkang) atau sebelah sana (kerajaan) tetapi ini harus terhenti di sini.'

Ketika Awang yang menyindir Johari perlu berpihak kepada PKR pada satu ketika dalam ucapannya memohon agar speaker 

tolong kita menjahanamkan 6 Jahanam ini
, Rayer mencelah meminta kenyataan itu ditarik balik walaupun mereka tidak hadir.

Malulah parti PAS sama-sama orang Islam buat kenyataan macam itu,
 kata wakil Jelutong itu yang menjawab, 
Apa salahnya saya sebut PAS, saya tak sebut parti ajaran sesat macam Pagoh,
 ketika dicelahi Shahidan supaya menarik balik daripada menyebut PAS. 
Saya minta tarik balik kenyataan tak berprinsip (dibuat Awang). Saya tak pernah khianat, bukan macam sebelah sana. Kalau mereka tak tau berhujah dengan cara berhemah macam Putrajaya, saya minta tarik balik.

Apa sentuh Putrajaya? Kalau orang tak berprinsip tak payah sentuh orang lainlah,
 bantah Radzi yang dijawab Rayer, 
Putrajaya, kamu tak ada prinsip, kamu yang mula-mula mengkhianat dahulu.

Mengarahkan kedua-dua Rayer dan Shahidan supaya duduk, Johari menasihatkan: 

Kita semua kawan-kawan di sini. Semua kawan-kawan kita. Dulu kita di belah sini lepas tu mai sini, mungkin pulak suatu hari di sebelah sana… semua kawan-kawan. Untuk panggil 6 Jahanam saya rasa agak keterlaluan.

Ditegur Kiandee bahawa perkataan ‘menjahanamkan negara’ pernah digunakannya dahulu, Johari menjelaskan: “Dia lain maksudnya. Menjahanamkan itu adalah (menjahanamkan) sistem. Beluran, saya mintaklah anda adalah rakan saya yang lebih senior. You tau undang-undang. Konteksnya berbeza. Bila you panggil orang 6 Jahanam dengan menjahanamkan sistem, ia dua perkara berbeza.

Pendang, tolong tarik baliklah. Tak eloklah, tak elok. Sebab satu hari kawan-kawan ini akan melawat kita bila kita sakit, kita perlukan bantuan. Jadi, jangan putuskan tali silaturrahim kita. Kita mungkin berbeza pendapat dalam politik tapi janganlah go below the belt (berlaku tidak adil),
 katanya.

Di awal perbahasan, Shahidan yang merujuk kepada kepada ucapan Johari pada 2022 itu membangkitkan: “Perkataan ini (menjahanamkan) cukup bahaya, ini doa, Yang Berhormat. Doanya ialah orang yang melompat itu boleh menjahanamkan negara. Tapi hari ini Yang Berhormat menyokong kepada orang yang menjahanamkan negara. Ini adalah satu perbuatan yang tidak wajar.

“Saya tanya sebelah sana, majoriti pihak kerajaan mahu mereka ini digugurkan. Dia kata kita lawanlah. Ini kerusi Bersatu. Kalau kita kalah, kalahlah. Ini pendapat kebanyakan kawan-kawan di sebelah sana. Tapi dia kata ini dari segi teknikal.

Dari segi teknikal Yang Berhormat telah melakukan kesalahan. Kenapa pindahkan (tempat duduk) dia orang (enam Ahli Parlimen) ke sana? Kalau betul dia orang kami kenapa pindahkan berasing? Dari segi teknikal ini menunjukkan mereka telah keluar dari parti. Dan dengan itu mereka hilang kelayakan,
 tambah Shahidan yang mencadangkan satu usul untuk merujuk Johari ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan mengikut perkara 36(12) kerana mengelirukan dewan dengan membuat tafsiran yang sepatutnya dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.

Yang Berhormat patut jadi speaker yang terbaik di dunia sebab Yang Berhormat kita lihat ada ketegasan kecuali ada tiga orang menteri masuk, Yang Berhormat akan akan berapi-api dengan kami. Kalau PMX masuk, Yang Berhormat macam rendah sikit. Jadi, rakyat Malaysia, speaker yang kita kasihi telah membuat satu keputusan yang melanggar perkataannya sendiri. Orang yang melompat itu dianggap menjahanamkan negara tetapi hari ini Yang Berhormat sendiri membuat keputusan menyokong orang yang menjahanamkan negara,
 katanya lagi.

Lantang sekali ucapan Radzi sesudah itu mengkritik Johari yang dikatakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai speaker hanya secara teknikal. Apabila Bersatu membawa kepada speaker bahawa seseorang itu terhenti menjadi ahli, tugasnya hanya umumkan kerusi tersebut telah kosong.

“Saya ingin membawa kita kembali kepada semangat asas apabila rang undang-undang dibentangkan untuk meminda perlembagaan, maka tidak ada lagi lompat parti. Kita masih ingat hampir semua termasuk yang ada dalam kerajaan hari ini berdegar-degar menceritakan bahawa apa yang berlaku dalam konteks apa yang dipanggil Langkah Sheraton itu satu pengkhianatan kepada undi rakyat sedangkan pada waktu itu tidak ada rang undang-undang yang tidak membenarkan mereka pindah parti.

Pada waktu itu semua dihina, semua dikutuk, mereka yang melompat dikata macam-macam. Apa yang Pakatan Harapan tak kata kepada mereka. Maka datanglah dengan semangat kita perlu menghormati undi yang diberikan oleh rakyat dan enam orang ini diundi oleh rakyat kerana mereka bertanding atas tiket Perikatan Nasional. Hari ini saya nak masukkan dalam hansard supaya anak-anak muda, rakyat Malaysia tahu betapa hipokritnya mereka dalam Pakatan Harapan. Apabila sesuatu perkara itu menguntungkan mereka hilang sudah prinsip-prinsip yang diperjuangkan,
 katanya.

Menyudahi perbahasannya Hamzah pula mengungkapkan: “Perjanjian (persefahaman kerjasama untuk membentuk kerajaan perpaduan) dah buat, perlembagaan dah ada, jangan ikut sedap. Kalau kita ikut sedap bukan hanya apa yang dikatakan oleh Tan Sri tempoh hari, saya nak bagitau yang menjahanamkan adalah keputusan salah yang dibuat oleh speaker sendiri. Ini yang akan menjahanamkan perlembagaan kita.

Speaker (DUN) Kelantan betul. Dia memastikan ada kekosongan, kemudian ahli itu berdepan saya di mahkamah untuk menyatakan dia tidak terhenti sebagai ahli (Bersatu). Itulah caranya, speaker, bukan untuk anda memastikannya. Itulah kepastian yang harus diikut dalam perlembagaan. Tan Sri, andalah yang memulakan dengan mewujudkan masalah ini,
 katanya.

Mengikut peraturan mesyuarat 99, keputusan yang dipertua berkenaan dengan sebarang perkara tafsir dalam mana-mana peraturan mesyuarat atau berkenaan kelaziman adalah muktamad. Ini memang betul. Kita tidak pertikaikan keputusan Tan Sri dalam mana-mana perkara yang terdapat dalam peraturan mesyuarat. Tetapi merujuk kepada Perkara 49(A), dia lebih daripada petua dan lebih daripada bidang kuasa Tan Sri di bawah perkara 99 peraturan mesyuarat. Kerana dalam perkara Perkara 49(A)(3) apabila yang dipertua menerima notis bertulis dari mana-mana ahli Dewan Rakyat mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat di bawah perkara ini yang dipertua hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka tersebut,
 kata Kiandee pula.

Selain ia mungkin ditafsirkan berbeza-beza, ia tidak akan mengubah apa-apa ketika ini kerana Johari sudah membuat keputusan pada penghujung perbahasan berkenaan bahawa keputusannya kekal kekosongan tidak berlaku. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.