`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, July 15, 2024

Muhyiddin dengan pelan damainya

 

Mohsin Abdullah

Bagi Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ia suatu 

hasil perbincangan serta kesepakatan kepimpinan tertinggi
 partinya. Bagi saya ia merupakan ‘pelan damai’ yang mungkin disenangi semua pihak mungkin tidak. Saya bercakap mengenai susunan barisan pimpinan Bersatu menjelang pemilihan parti Oktober ini.

Apabila Muhyiddin mengumumkan susunan atau istilah yang digunakan media, ‘formula’, beliau sebenarnya sama ada sedar atau tidak mengakui apa yang ramai sudah tahu bahawa 1) dalam Bersatu wujud beberapa kem diketuai para panglima perang dan 2) keadaan dalam parti amat panas membabitkan panglima perang berkenaan yang mahu merebut jawatan pada pemilihan parti.

Imbau kembali pagi 13 Julai lalu. Berucap pada konvensyen Bersatu, Muhyiddin memberitahu kepimpinan tertinggi parti melakukan rundingan menjelang pemilihan Oktober ini membabitkan beliau sendiri sebagai ‘perunding’. Bagi saya istilah lebih tepat ialah ‘orang tengah’ atau ‘mediator’. Apa pun langkah itu, kata Muhyiddin, ialah untuk memastikan pertembungan dielakkan supaya Bersatu kekal bersatu. Tidak bercerai-berai akibat pemilihan parti.

Pada petang hari yang sama Muhyiddin mengadakan sidang media dan menghuraikan hasil rundingan yang diadakan itu. Ia merangkumi ‘kenaikan pangkat’ untuk Hamzah Zainudin daripada jawatan setiausaha agung ke jawatan timbalan presiden. Kekosongan jawatan setiausaha agung ditawar kepada Azmin Ali.

Lalu timbalan presiden sekarang Ahmad Faizal Azumu bagaimana? Faizal menurut Muhyiddin bersetuju untuk mengundurkan diri dan akan menawarkan diri untuk mengisi satu daripada tiga jawatan naib presiden yang kosong selepas penyandangnya, Rafiq Naizamohidden, keluar Bersatu pada 2022. Dua penyandang naib presiden — Radzi Jidin dan Ronald Kiandee — akan mempertahankan jawatan dalam pemilihan Oktober ini. Berdasarkan kata-kata Muhyiddin ini bermakna mereka termasuk Faizal yang juga dikenali sebagai Peja boleh dicabar oleh sesiapa yang berminat duduk jawatan itu. Tetapi Muhyiddin tetap menegaskan semua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.

Mengikut apa yang diumum Muhyiddin juga, jelas Hamzah diberi jawatan timbalan presiden on a silver platter at the expense of Faizal. Mengambil penjelasan Muhyiddin ada kompromi terjalin. Penawaran yang dibuat kepada Azmin pula dilihat sebagai mematikan langkah beliau jika berhasrat mencuba nasib untuk jawatan timbalan presiden. Jawatan setiausaha agung ialah pelantikan.

Azmin, bekas timbalan Presiden PKR, menyertai Bersatu selepas berbalah dengan presiden parti asalnya. Ramai dalam kalangan Bersatu masih melihatnya sebagai ‘orang luar baru masuk’ yang tidak terlibat dalam usaha penubuhan parti dahulu. Namun tidak boleh dinafikan Azmin juga orangnya yang memainkan peranan besar untuk membolehkan Muhyiddin menjadi perdana menteri semasa tercetusnya Langkah Sheraton pada 2022. Penyokong Azmin yang beliau bawa masuk Bersatu daripada PKR mahu lihat bos mereka naik dalam hierarki parti.

Sebelum perkembangan terbaharu yang diumum presiden Bersatu, Hamzah dikatakan akan mencabar Muhyiddin untuk jawatan presiden. Beliau menafikan. Muhyiddin juga menafikan Hamzah akan menentangnya. Imbau kembali November tahun lalu. Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti 2024. Pengumuman dibuat pada Perhimpunan Agung Bersatu 2023. Lalu penganalisis, pemerhati politik, dan sumber Bersatu menjangka Hamzah akan menjadi presiden tanpa bertanding. Mereka bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Azmin menentang Hamzah untuk jawatan itu.

Akibat pengumuman Muhyiddin itu, ramai pemimpin yang mula pasang badan untuk merebut pelbagai jawatan kerana wujud kekosongan pada setiap takok. Namun Muhyiddin mengubah fikiran dan kekal presiden. Untuk pemilihan Oktober ini beliau tidak dicabar. Maka timbul spekulasi perebutan jawatan timbalan presiden akan menyaksikan perebutan antara Hamzah dan Azmin. Bukanlah rahsia besar kedua-dua dengan ‘bala tentera’ masing-masing tidak sebulu. Bukan rahsia juga semakin hampir pemilihan parti semakin panas keadaan dalam Bersatu. Muhyiddin mengakui formula menyusun barisan pemimpin adalah untuk mengurangkan suhu kempen pemilihan parti.

Tetapi setelah berkata demikian beliau berkata pula bukan bermakna Bersatu menghalang ahlinya daripada bertanding mana-mana jawatan. 

Saya tak kata tak boleh (bertanding) kalau ada antara kalangan mereka masih lagi berhasrat untuk bertanding itu adalah hak mereka. Tapi untuk memberikan sedikit harapan supaya kesemua jawatan itu dapat kita susun lebih awal supaya suhu kempen tidak terlalu panas,
 beliau dipetik media berkata.

Dalam lain perkataan, kalau nak tanding, tandinglah tapi kalau boleh jangan. Letakkan diri anda dalam keadaan pemimpin yang berminat menawarkan diri. Kalau teruskan hasrat bertanding akan dituduh kurang ajar atau ingkar nasihat orang tua. Jika tidak bertanding penyokong bengkak hati. Hati sendiri pun membengkak.

Teringat lagu lama nyanyian R Azmi: 

Diturut salah tak turut salah, jadi semua serba salah
. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.