`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, July 4, 2024

Muhyiddin terlebih perasan di Sungai Bakap?

 

hishamuddin-aun

“Serius sangat ke saya ni?,” tanya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin kepada hadirin di pertengahan satu ceramahnya dalam kempen PRK Sungai Bakap, seolah-olah baru tersedar jika ucapannya membosankan mereka.

Membandingkan tempohnya sebagai menteri dan perdana menteri 17 bulan, Muhyiddin mendakwa kerajaan perpaduan hari ini tidak ambil peduli dan tidak mengutamakan kebajikan rakyat. Malah, presiden Bersatu itu siap memberi tunjuk ajar bagaimana negara sepatutnya ditadbir untuk memacunya ke hadapan.

Ironinya, kita tidak ingat jika kepimpinan singkat Muhyiddin selaku perdana menteri kelapan (1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021) ada mendapat pengiktirafan antarabangsa atau tidak ketika pandemik Covid-19 sedang menggila. Lazimnya kalau kita bagus, biarlah orang lain yang memperkatakannya daripada masuk bakul angkat sendiri.

Sebaliknya, apa yang lebih diingati ialah pelaksanaan perintah darurat dari 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021, yang bermakna kerajaan pimpinan Muhyiddin ketika itu berpotensi bertahan selama sekurang-kurangnya tujuh bulan lagi ketika ramai Ahli Parlimen yang berura-ura menarik sokongan. Ini dituruti keputusannya melaksanakan penutupan sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘lockdown’ di seluruh negara pada Jun 2021 hingga menjejaskan ramai.

Menggelar kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim sebagai cacamarba dan tiada arah tuju yang jelas, Muhyiddin bersangkaan negara selepas pentadbirannya sudah hilang daya saing dan tidak lagi dihormati. Terpulang kepada khalayak untuk menilainya atau mungkin beliau yang terlebih perasan dalam menagih undi pada PRK Sungai Bakap, Sabtu ini.

“Sambutan terhadap ceramah agak luar biasa, ini tunjuk petanda amat baik Sungai Bakap akan kekal menjadi kawasan DUN (diwakili) PN. Lebih-lebih lagi PRK ini diadakan dalam situasi negara kita berhadapan dengan pelbagai masalah. Kami di pihak pembangkang, baik di Parlimen atau DUN, tak cukup tempat nak letakkan isu-isu yang kita hadapi pada hari ini yang telah dikemukakan oleh rakyat di seluruh negara,” katanya di ceramah perdana PN di Sungai Bakap pada Jumaat.

Muhyiddin juga menyorot bagaimana jemaah kita berasa bangga ketika berada di Makkah dan Madinah apabila memperkenalkan diri dari Malaysia pada masa lalu kerana negara ini terkenal sebagai negara Islam yang maju. Mutakhir ini, katanya, perasaan itu mungkin tidak lagi sama dengan pelbagai masalah yang membelenggu negara.

“Saya tak tahulah baru-baru ni banyak yang balik dari Makkah, macam-macam cerita. Mungkin orang Arab di sana juga tanya ‘ente dari mana’. Tak tahulah nak sebut ana dari Malaysia ataupun tidak, takut orang Arab kata ‘dari Malaysia, bukan itu perdana menteri Anwar Ibrahim’. Dia sudah tau cerita Anwar.

“Saya menjelaskan ini dengan ringkas menunjukkan situasi negara kita. Banyak orang berkata dan bukan dalam kalangan orang biasa saja, pakar-pakar penganalisis ekonomi dunia mempersoalkan arah tuju Malaysia sekarang. Mereka tak tau apakah dasar-dasar yang dipelopori oleh kerajaan hari ini. Mereka melihat sistem pengurusan negara kita ni langsung cacamarba.

“Lebih-lebih lagi badan antarabangsa IMD (Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan) mengeluarkan satu pernyataan laporan tahunan yang menyebut daya saing Malaysia sudah merosot dari tempat ke-27 turun ke tangga ke-34. Tujuh anak tangga ini walaupun nampak kecil tetapi implikasinya besar nak melihat mana negara yang dikatakan akan lebih maju ke depan dan berjaya ekonominya,” tambahnya.

Sambil membandingkannya dengan kerajaan PN ketika pentadbirannya, Muhyiddin menyimpulkan keadaan ekonomi negara di bawah pentadbiran Anwar sudah merosot ke satu paras yang agak memalukan. Di samping pengurusan negara makin cacamarba, katanya, janji kerajaan hendak membawa pembaharuan, perubahan besar, dan reformasi institusi tidak dengar lagi.

“Soal inflasi, ya waktu saya dulu pun ada inflasi. Sekarang ada inflasi tetapi selain inflasi ditunjukkan dalam bentuk barangan dan perkhidmatan yang semakin hari macam tak terkawal, yang patut dikawal pun tak boleh kawal.

“Saya cakap ni (berdasarkan) ada sedikit pengalaman dulu, saya pernah jadi menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna. Tanggungjawab kita ialah memantau supaya negara kita mempunyai cukup bekalan bahan-bahan keperluan. Antara yang paling utama kita nak tentukan beras mesti ada dan cukup.

“Sekarang ni cerita beras dah tenggelam. Ini cara madanon buat kerja — it’s ok let’s wait for the time when people will forget. Tak apa tak usah buat apa-apa. Memang pun dia bodoh… perdana menteri bodoh, menteri pun bodoh tak boleh selesaikan masalah beras. Sekarang bila berhadapan dengan krisis tak ditangani sampai dibiarkan begitu saja. Saya juga pernah jadi menteri pertanian, jadi cakap ni ada authority sedikitlah,” katanya.

Muhyiddin mengulangi serangannya terhadap Anwar berkait pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bersasar bermula 10 Jun yang kesan berantainya didakwa menyusahkan rakyat yang berdepan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

“Perdana menteri tuduh saya dan PM-PM terdahulu. Dia kata kami tak berani nak buat macam dia buat. Mana tuan-tuan suka — macam dia buat ke macam saya tak buat,” soalnya disambut sorakan yang menyokongnya.

“Bukan kita tak tau negara kita menanggung beban subsidi yang besar. Tapi bila mengambil tindakan sebegini (penyasaran subsidi diesel) macam tersentak, naik melambung 55% dalam tempoh masa singkat. Disebab itulah maka kesan limpahannya ialah kenaikan banyak harga bahan-bahan yang lain.

“Jadi, nak menyelamatkan negara, orang Sungai Bakap ada tanggungjawab bagi satu isyarat kuat, baik di Pulau Pinang ni atau di Putrajaya, memberitahu bahawa kami tak suka, kami tak setuju, kami tak sokong dasar yang dibuat oleh kerajaan hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin akur bahawa sebarang peluang PN untuk mengekalkan kerusi DUN Sungai Bakap — pertarungan satu lawan satu calonnya Abidin Ismail dengan Joohari Ariffin (PH) — bergantung kepada peratusan keluar mengundi yang tinggi, terutama pengundi Melayu yang menubuhkan 59.4%, Cina 22.5%, India 17.4%, dan lain-lain 0.7%.

“Hari tu saya berucap macam ni juga di Kuala Kubu Bharu. Tapi lepas PH menang, harga diesel naik. Saya takut lepas menang kat sini, harga petrol naik. Sebab itu PRK ni agak kritikal tapi ini peluang untuk bagi isyarat (kepada kerajaan).

“Cuma satu je macam di Kuala Kubu Bharu, saya jumpa ramai macam ni, sedap hati. Orang Umno pun kata Tan Sri kita akan sokong. Tapi sampai hari nak mengundi, tak keluar mengundi. Orang Melayu 60% je keluar, mana dia (yang lain) pergi? Tidur? Kali ini yang sakit pun kita angkat bawa pergi mengundi. Biar semua keluar, 100%, insya-Allah PN akan menang,” katanya lagi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.