`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, July 11, 2024

Projek ‘River of Life’ tiada harapan berjaya dari mula, kata NGO

 

river
Pengerusi Save KL Mumtaz Ali berkata, matlamat-matlamat projek ‘River of Life’ tidak diberi keutamaan sama rata, dengan terlalu banyak fokus diberikan pada pengkomersialan.
PETALING JAYA: Projek ‘River of Life’ bernilai RM4.4 bilion untuk memberi nafas baharu kepada kuala Sungai Klang dan Sungai Gombak tiada harapan berjaya sejak awal, kata sebuah NGO.

Pengerusi Save Kuala Lumpur (Save KL) Mumtaz Ali berkata, skop projek itu terlalu sempit, memberi tumpuan kepada hanya sebahagian kecil sistem sungai, bercanggah dengan objektif utamanya.

“Kami telah bangkitkan isu ini dari awal. Sungai-sungai bermula dari Gombak, mengalir melalui KL, kemudian ke Klang. Jika kita hanya tangani bahagian KL, sejauh manakah kita boleh capai matlamat yang diharapkan?

“Jika ingin jalankan projek serius seperti ini, kita perlu tangani sungai dari hulu ke hilir untuk memastikan keberkesanannya, dan agar wang (yang diperuntukkan) dibelanjakan dengan baik,” katanya kepada FMT.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024, projek ‘River of Life’ itu, yang telah tertangguh selama lebih lapan tahun, mungkin tidak dapat disiapkan tahun ini.

Sehingga Julai 2023, lapan daripada 159 projek berkaitan ‘River of Life’ masih berjalan, dengan kemajuan antara 21% hingga 97.3%, menurut laporan itu.

LKAN melaporkan, ‘River of Life’ mengandungi tiga komponen, iaitu pembersihan sungai, pengindahan sungai, serta pengkomersialan dan pelancongan, namun tiada satu pun dicapai sepenuhnya.

Semakan audit mendapati hanya 79.4% kerja pengindahan sungai telah siap, dan hanya 50 daripada 296 loji rawatan kumbahan dirasionalkan atau dinaik taraf.

Mumtaz menambah, matlamat-matlamat tersebut tidak diberi keutamaan sama rata, dengan terlalu banyak fokus diberikan pada pengkomersialan, berbanding pembersihan sungai.

“Projek itu memberi tumpuan pada mewujudkan tarikan di tebing sungai tetapi tidak menangani isu teras penghapusan banjir, yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau menggesa agar kerajaan persekutuan dan Selangor, serta Jabatan Wilayah Persekutuan, bekerjasama dan menilai semula projek itu, menekankan masalah banjir berterusan di bahagian hilir, seperti di Klang dan Taman Sri Muda.

Mumtaz menyeru pihak yang bertanggungjawab agar menjelaskan pembaziran dana awam, serta menggesa agar kajian semula yang serius dijalankan terhadap keseluruhan pembangunan itu, ‘sebelum membelanjakan satu sen lagi’ dalam projek yang menurutnya, sia-sia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun berkata, salah satu kelemahan projek itu ialah tarikh akhir yang dekat, diburukkan lagi dengan beberapa kelewatan.

Katanya, usaha menambah baik kualiti air sungai pastinya akan menjadikan pusat bandar Kuala Lumpur lebih menarik, memenuhi objektif pelancongan projek itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.