`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, July 2, 2024

Tajamnya lidah Rafizi

 

hishamuddin-aun

Seminggu menghilang dari pentas ceramah PRK Sungai Bakap, reaksi terhadap Rafizi Ramli harus hanya ada dua – kemunculannya dinanti-nanti atau lebih baik terus ghaib sahaja – bergantung di pihak mana anda berada tanpa ada sebarang jalan pertengahan buatnya.

Ketiadaan seminggunya sehingga penampilan timbalan presiden PKR itu di ceramah perpaduan PRK Sungai Bakap di Padang Lalang, Pulau Pinang, pada Ahad malam sekembalinya dari tugas rasmi di China, membayangkan tempoh itu dimanfaatkannya untuk menghimpun peluru.

Seolah-olah tiada apa yang beliau terlepas pandang daripada rakaman video mahupun laporan diterima sepeninggalannya ke Negara Tembok Besar itu untuk panglima perang Pakatan Harapan (PH) itu menjawabnya satu persatu.

Dari ceramah pertamanya itu pada Ahad sejak memperkenalkan bekas pengarah Institut Aminudin Baki cawangan utara Joohari Ariffin sebagai calon PH-Barisan Nasional (BN) di Bandar Tasek Mutiara pada 12 Jun, Rafizi menghamburkan segala-galanya dengan rentetan tembakan umpama mesingan.

Sindirannya sangat tajam umpama peribahasa pukul anak sindir menantu dengan menyasarkannya terhadap seramai boleh daripada calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail yang digelarnya ‘Abang Bidin’, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, panglima perang PN Sanusi Nor sehinggalah kepada Mursyidul Am PAS Hashim Jasin.

“Sepanjang seminggu meneliti laporan dan melihat dari jauh perkembangan dan persaingan kempen, ada dua perkara besar – satu soal calon, satu lagi segala maki-hamun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mulai malam ini, saya akan kempen tiap hari,” kata Rafizi memulakan ceramahnya.

Sambungnya lagi: “Saya kesian kat Abang Bidin. Dia diumumkan ada ISO (tapi) saya tak salahkan dia kerana bukan dia yang mengaku ada ISO, dia tau ISO untuk mesin dan syarikat. Kalau ya pun pun betul-betul nak tunjukkan dia nak baiki masalah air di Sungai Bakap, janganlah umum seorang calon yang sama dengan batang paip sebab batang paip je ada ISO. Jangan la marah kat Abang Bidin, dia bukan tau apa sangat pun.

“Tengok dari jauh dia nak pelepas cerita ISO ni sampai sekarang dia tak boleh nak pelepas. Dia nak bagitau bukan saya yang tak cerdik, timbalan presiden saya yang tak cerdik pergi umumkan,” katanya merujuk kepada pengumuman Tuan Ibrahim bahawa Abidin memiliki piawaian ISO 40001-2015 di Bandar Tasek Mutiara pada 15 Jun.

Bertalu-talu sindiran Rafizi dikhususkan kepada timbalan presiden PAS itu yang dianggapnya bukan calang-calang orang kerana pernah menjadi menteri alam sekitar dan air dari 30 Ogos 2021 hingga 10 Okt 2022.

“Macam mana dia tak tau ISO, sekarang jadi kucar-kacir kempen dia. Saya bimbang kalaulah satu hari nanti Tuan Ibrahim jadi menteri balik, naya kita, habis kita kena ISOkan. Bila Tuan Ibrahim tak tau ISO tu apa dia, sampai dia ingat ini kelayakan untuk manusia, dia menunjukkan jauhnya jurang antara pimpinan kanan PN dengan kerajaan perpaduan,” katanya.

Rafizi juga mempersoalkan apa dilakukan Tuan Ibrahim ketika menjawat jawatan menteri air dahulu sehingga masalah air di Sungai Bakap tidak selesai hingga hari ini sedangkan beliau sebelumnya tahu Pulau Pinang dan Perak Utara tak cukup sumber air tapi tiada apa-apa langkah diambil untuk mengatasinya.

“Jadi, kalau kita tau Sungai Bakap ni yang sekarang ni kononnya dia jadikan isu, suruh lawan kerajaan dan jangan undi calon kita sebab kononnya masalah air tak diselesaikan, itu masalah kau la dulu, kau menteri air. Yang bertanggungjawab merancang dan ada kuasa dan ada maklumat semuanya ialah
Tuan Ibrahim.

“Sebab itu sekarang, dengan cepat tanpa ada kena mengena dengan PRK Sungai Bakap pun, kita dah tengok dari tahun lepas, kita dah tengok masalah air di Pulau Pinang, masalah air sampai ke utara Perak, kalau kerajaan persekutuan tidak campur tangan, masalah air ini akan terus berlarutan,” katanya.

Rafizi turut berkongsi kerajaan Madani telah putuskan awal tahun ini untuk bawa air dari Sungai Perak untuk menyelesaikan masalah berkenaan dengan biaya RM4 bilion dengan jaminan ia tetap akan dilaksanakan sekalipun tiada PRK di Sungai Bakap.

“Jadi, dalam tempoh habis minggu pertama kempen ni, saya nak tanya Tuan Ibrahim masa kamu menteri air kamu tak tolong penduduk di sini, sekarang baru nak datang jadi penghasut,” sindirnya.

Belum habis mengenai Tuan Ibrahim, Rafizi tidak dapat menahan diri daripada mempersendakannya kerana cerita yang dibawanya mengenai seorang pak cik yang menolak motosikalnya yang kehabisan minyak selepas kerajaan ‘menaikkan’ harga diesel.

“Dia nak bagitau lepas kerajaan naikkan harga diesel ni, teruknya rakyat sampai nak isi minyak motor pun tak boleh. Aku tengok jugak dia ni duduk zaman mana ni, motor mana pakai diesel ni. Motor mana ada pakai diesel, motor pakai petrol pak cik, orang dah pakai EV dah sekarang.”

Turut tidak terlepas ialah Sanusi yang menimbulkan idea tidak masuk akal kononnya air di Pulau Pinang sebenarnya cerdik dan boleh memilih-milih rumah.

“Dia kata ini bukan masalah (ketua menteri Pulau Pinang) Chow Kon Yeow, ini bukan masalah dia, ini masalah air itu sendiri. Sanusi bagitau air ni kalau di Sungai Bakap, air tu seolah-olah kalau masuk dalam paip, dia ikut sampai rumah Melayu, dia patah balik masuk paip. Dia jumpa rumah Cina dia pun keluar.

“Itu kalau ikut kepala otak Sanusilah. Dia nak bagitau kerajaan Cina di Pulau Pinang ni kononnya dia boleh ajar air. Cerdik betul Chow Kon Yeow ni, dia boleh ajar air, boleh pilih rumah mana Cina, rumah mana Melayu. Tapi kita semua tahu masalah sebenarnya air tak cukup,” tambahnya.

Sanusi juga dipersalahkannya kerana hujahnya bahawa orang cerdik – yang dimaksudkannya kepada Joohari yang memiliki kelayakan doktor falsafah (PhD) – belum tentu boleh menjadi pemimpin yang baik sehingga mempengaruhi pendirian Hashim sama.

“Hashim Jasin bagitau dia jawab apa yang Sanusi sebut sebab dia tak boleh nak jawab calon kita cikgu Jo ada PhD. Dia pun jawab sebenarnya tak perlu sangat pun cerdik ni, tak penting pun cerdik ni. Dalam PAS bolehla, dalam parti lain tak boleh. Saya nak beritau kepada Hashim Jasin dan juga kepimpinan PN, rakyat perhatikan kita. Setiap satu titik yang kita letak dalam maklumat yang kita bagi kepada rakyat zaman sekarang ni orang semak.

“Kalau kurang cerdik macam mana nak jadi pemimpin? Sebab bila menjadi pemimpin, duduk di jawatan kerajaan, isu dia bukan nak selesai isu ISO ni, isu dia nak selesai masalah air, masalah hutan, masalah ekonomi, segala masalah yang rumit ni,” katanya.

Rafizi juga mendakwa kempen PN kali ini berbanding PRK pada masa lalu nampak tak keruan kerana prestasi wakil rakyat PN sebelum ini, Allahyarham Nor Zamri Latiff, tidak begitu memberangsangkan berdasarkan survei yang dilakukan PH mendapati hanya 48% pengundi Melayu berpuas hati dengannya. Dua bilik gerakan pusat daerah mengundi PN, iaitu di Sungai Bakap dan Sungai Duri sudah ditutup.

“Sebab tu sampai ke hari ini kempen mereka tak sentuh sangat pun soal penduduk di Sungai Bakap. Kempen dia berlegar-legar dengan perkara-perkara untuk membentuk kebencian terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mereka ni kalau pergi jumpa pakar psikologi, dah sampai peringkat sakit jiwa sebab sakit hati terlebih sangat. Tiap-tiap hari dia kena maki kalau tidak dia sakit hati. Tapi dia lupa ini PRK Sungai Bakapla, ini bukan pilihan raya untuk pilih perdana menteri Malaysia,” katanya lagi.

Ini baru permulaan kerana PN perlu membiasakan diri dengan tembakan ‘mesingan’ Rafizi sepanjang beberapa hari berikut hingga hari pengundian Sabtu ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.