`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, July 10, 2024

Yang saya setuju dan tak setuju

 

Mohsin Abdullah

Puad Zarkashi, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, mahu kerajaan perpaduan berhenti membuat alasan dan menerima keputusan kalah PRK Sungai Bakap tempoh hari. Saya setuju akan nasihat beliau. Cuma ingin menegaskan semasa beliau mengeluarkan nasihat itu kerajaan perpaduan daripada Anwar Ibrahim, anaknya Nurul Izzah serta pemimpin parti gabungan sudah memberitahu secara terbuka mereka menghormati keputusan rakyat, menerima kenyataan, dan mengakui perlunya mereka bermuhasabah.

Kata Mustapha Yaakub pula (bagi yang tidak kenal beliau ialah setiausaha Veteran Umno) pihaknya mendapat maklumat pengundi Cina gagal didekati oleh pemimpin DAP. “Ada yang tidak tahu pun ada PRK di Sungai Bakap, ada yang bertahu mereka tidak mahu keluar mengundi tanpa sebab” beliau dipetik media berkata.

Saya tidak tahu dari mana Veteran Umno mendapat maklumat ada pengundi Cina yang tidak tahu pilihan raya diadakan di Sungai Bakap pada zaman ini, di mana informasi disebar mudah menerusi pelbagai kaedah.

Saya tidak sejuju ada pengundi Cina tidak mahu keluar mengundi “tanpa sebab”. Benar hanya 47% pengundi Cina keluar tetapi yang tidak mengundi punya sebab tersendiri seperti didedahkan penganalisis politik. Ini kita cakap sebentar lagi .

Kesimpulannya Veteran Umno dilihat menuding jari terhadap DAP atas kekalahan Pakatan Harapan di Sungai Bakap. Bagi saya ini boleh menjejaskan kerjasama PH-BN jika DAP bertindak balas menuduh Umno juga tidak membantu malah tidak berjaya menarik sokongan Melayu kepada PH, bukan sahaja di Sungai Bakap.

Namun untuk berlaku adil perlu ditegaskan pada PRK Kuala Kubu Baharu Mei lalu yang dimenangi PH (calon DAP), Umno ada menyumbang undi Melayu. Pun begitu menurut penganalisis dan pemerhati politik sokongan Melayu masih kecil dan banyak yang mesti dilakukan Umno.

Oleh itu ada eloknya Veteran Umno turuti nasihat Naib Presiden Johari Ghani, Umno harus berhenti menyalahkan orang lain sebaliknya melihat diri sendiri untuk menangani penurunan popularitinya.

Kembali kepada Puad Zarkashi. Menurut beliau sokongan orang Melayu terhadap kerajaan perpaduan tidak akan pulih selagi bekas perdana menteri Najib Razak “dinafikan hak dan tidak mendapat keadilan”.

Ini saya tidak setuju kerana berpandangan Najib diberi hak membela diri secukupnya dan beliau sudah mendapat keadilan dalam perbicaraan kes SRC International. Mungkin apa yang dikata Puad itu disetujui sebahagian orang Umno sahaja kerana tidak dinafikan dalam kalangan Umno ada juga yang berbeda pendapat.

Apa pun berdasarkan pendirian Puad, adakah semua atau hampir semua orang Melayu termasuk ahli dan penyokong PAS dan Bersatu akan kembali menyokong Umno jika Najib ‘diberi keadilan’?

Berbalik soal menyalahkan orang lain. Memang biasa dalam kekalahan akan ada orang termasuk kalangan ‘kawan-kawan’ menangguk di air yang keruh.

Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh menyindir Rafizi Ramil si timbalan presiden PKR. “Formula bahlol dan bodoh dari raja formula telah mendatangkan hasil di Sungai Bakap. Tahniah rakyat Sungai Bakap. Pemimpin jangan sombong,” katanya.

Semasa berceramah Rafizi menggunakan istilah ‘bahlol’ dan ‘bodoh’ untuk menjawab serangan ke atasnya. Beliau umum tahu diberi jolokan ‘raja formula’ oleh pengkritik dan musuh poltiknya. Atas semangat kerjasama PH-BN lebih elok jika Akmal tidak menegur secara terbuka. Tetapi Rafizi pula eloklah ambil iktibar, lebih berhati-hati memilih kata-kata supaya tidak dilihat sombong dan angkuh.

Setiausaha Veteran Umno menyuarakan kebimbangan kekalahan di Sungai Bakap akan memberi kesan besar pada peluang Umno dalam PRK Nenggiri di Kelantan kelak. Ini saya setuju malah tidak akan terkejut jika Perikatan Nasional menang lagi walaupun pada PRU lalu ia mendapt majoriti hanya 810 undi. Ketika itu calon PN datangnya dari Bersatu yang bertanding atas tiket PAS. Pada hemat saya kali ini peluang bertambah cerah jika PAS sendiri bertanding.

Di Sungai Bakap PN menang calonnya PAS bukan Bersatu . Menurut James Chin daripada Universiti Tasmania kebanyakkan undi Melayu di Sungai Bakap adalah untuk PN. Ertinya untuk PAS.

Realtinya apabila bercakap mengenai kekuatan PN makna kuatan PAS. Dua parti terkuat dalam negara dewasa ini ialah PAS dan DAP, berdasarkan jumlah kerusi di Parlimen. Secara am memikat sokongan Melayu usaha yang dipikul PAS, Bersatu, Amanah, dan Umno.

Menurut Chin, bercakap mengenai kekalahan PH di Sungai Bekap menjadi petanda bahawa Umno selaku sebuah parti Melayu telah kehilangan daya tarikan dalam kalangan penduduk Melayu di Pulau Pinang. Setuju.

“Tidak banyak boleh mereka lakukan lagi di sana (Pulau Pinang) untuk bantu kerajaan perpaduan,” kata Chin kepada FMT baru-baru ini.

Secara keseluruhan (bukan sahaja di Pulau Piang) mengambil kira keputusan dua pilihan raya umum terdahulu dan paling ketara PRU14, Umno sudah lama hilang sokongan Melayu. Pertanyaan yang menyusul — apa yang boleh dilakukan mereka untuk membantu kerajaan perpaduan pada peringkat persektuan? Jelas banyak yang mesti diusahakan.

Namun Umno yakin mahu diberi kepercayaan untuk bertanding. Selain sudah mula bertanya siapa calon mereka di Nenggri yang mendorong reaksi Johari Ghani “nanti dah kenal calon kita cerita” (kerana ada banyak perkiraan), Umno melalui ketua bahagian Bentong akan meminta untuk bertanding kerusi DUN Ketari pada PRU16. Kerusi itu milik DAP.

Bercakap semula mengenai Sungai Bakap. Keputusan mencerminkan political divide yang dialami di seluruh negara khasnya Semenanjung. Sokongan Melayu untuk PN, sokongan bukan Melayu untuk PH. Ini secara am.

Di Sungai Bakap PN memerlukan dan mendapat sokongan Melayu lantas menang tetapi belum boleh mendabik dada ia boleh memerintah negara. Di Sungai Bakap juga PH memerlukan tetapi tidak mendapat sokongan bukan Melayu lalu kalah.

Kemerosotan sokongan bukan Melayu khususnya masyarakat Cina dikaitkan dengan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah berbanding PRN tahun lalu. Malaysiakini melaporkan pakar sains politik Wong Chin Huat melihat peratusan keluar mengundi Cina yang rendah sebagai ‘undi protes’ terhadap PMX yang dilihat mengambil mudah sokongan bukan Melayu.

Sentimen itu dikongsi penganalisis politik Azmil Mohd Tayeb, Zaharom Naim, Sivamurugan Pandian, dan Azmi Hassan. Saya sendiri pernah menulis PH tidak boleh take non-Malay especially Chinese support for granted.

Orang bukan Melayu kata Azmil “berasa seperti diabaikan oleh kerajaan Madani yang seolah-olah menumpukan semata mata untuk mendapat undi Melayu.” Setuju.

Oleh itu di Sungai Bakap bolehlah digunakan peribahasa Melayu untuk Anwar — yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.