`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Tuesday, May 5, 2026

Mana laporan akhir letupan paip gas Putra Heights, soal penduduk

 Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru mahu tahu adakah laporan itu sudah lengkap dan dibentang kepada kerajaan Selangor.

Letupan saluran paip gas pada 1 April tahun lalu menyaksikan api menjulang lebih 30 meter tinggi dengan suhu mencecah 1,000°C.
PETALING JAYA:
 Sekumpulan penduduk Kampung Kuala Sungai Baru menggesa kerajaan Selangor memberikan perkembangan terkini mengenai laporan jawatankuasa bebas insiden letupan gas Putra Heights pada April tahun lalu.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Mohd Badly Nordin berkata mereka dimaklumkan jawatankuasa itu telah mengadakan mesyuarat teknikal dengan Petronas pada 12 Jan bagi melengkapkan laporan siasatan akhir.

Katanya, panel tersebut kemudian bermesyuarat di bangunan setiausaha kerajaan negeri pada 10 April untuk ‘perbincangan strategik dan pemurnian’ laporan berkenaan, lapor Harian Metro.

“Persoalan kami mudah, adakah laporan akhir itu sudah siap? Adakah ia sudah dibentangkan kepada kerajaan Selangor dan bila laporan itu akan didedahkan kepada mangsa dan penduduk terbabit?

“Mangsa berhak mengetahui dapatan sebenar jawatankuasa bebas yang sudah dijanjikan. Kami mendesak kerajaan Selangor supaya segera memberi penjelasan rasmi dan mendedahkan laporan akhir itu demi ketelusan, keselamatan awam dan keadilan kepada mangsa,” katanya.

Letupan saluran paip gas pada 1 April tahun lalu menyaksikan api menjulang lebih 30 meter tinggi dengan suhu mencecah 1,000°C. Walaupun tiada kematian dilaporkan, kira-kira 150 orang mendapatkan rawatan di hospital.

Kebakaran itu turut menyebabkan kawah sedalam 10m dengan ukuran 21m X 24m. Sebanyak 81 rumah musnah, 81 lagi rosak sebahagian, manakala 57 lagi terjejas akibat haba dan serpihan.

Pihak berkuasa mendapati tiada unsur jenayah, dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan punca utama kejadian itu adalah keadaan tanah yang lemah menyebabkan struktur paip tidak disokong sepenuhnya sekali gus menyebabkan kegagalan fizikal.

Susulan kejadian itu, 36 penduduk memfailkan saman sivil terhadap Petronas Gas Berhad, pemaju, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan kerajaan Malaysia. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.