Gesaan Malaysia bawa mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa tanggungjawab melindungi hutan dan tangani perubahan iklim tidak boleh dibebankan secara tidak seimbang kepada negara membangun.

Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-31 (COP31) berlangsung pada 9 hingga 20 Nov 2026 di Antalya, Turki, dengan penyertaan pemimpin negara, menteri, pakar alam sekitar dan pertubuhan antarabangsa.
Persidangan di bawah Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) ini merupakan platform rundingan global bagi memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Paris, khususnya usaha mengehadkan pemanasan global kepada 1.5°C, mengurangkan pelepasan gas rumah kaca, mempercepat peralihan tenaga bersih serta meningkatkan pembiayaan dan teknologi iklim.
Malaysia menyertai COP31 melalui delegasi diketuai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, yang menyampaikan Kenyataan Negara pada 17 Nov.
Dalam persidangan tersebut, Arthur memainkan peranan penting mengetengahkan kepentingan negara membangun, khususnya dengan menggesa negara maju meningkatkan bantuan berbentuk geran bagi melindungi hutan dan biodiversiti, memperkukuh pemindahan teknologi serta memastikan pembiayaan iklim yang adil dan mudah diakses.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan iklim antarabangsa mestilah mengambil kira prinsip tanggungjawab bersama tetapi berbeza (common but differentiated responsibilities and respective capabilities, CBDR-RC). Pendirian ini mencerminkan usaha diplomasi Malaysia untuk mengimbangi tanggungjawab memelihara alam sekitar dengan hak negara membangun meneruskan pembangunan demi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Gesaan beliau menimbulkan persoalan asas tentang keadilan iklim. Apabila dunia mendapat manfaat daripada hutan tropika yang kekal terpelihara, siapakah yang patut menanggung kos menjaganya?
Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) meletakkan pengurangan penebangan dan kemerosotan hutan antara langkah mitigasi yang paling berkesan. Hutan tropika menyimpan karbon, mengekalkan habitat dan melindungi kawasan tadahan air. Faedahnya melangkaui sempadan negara yang memeliharanya. Namun begitu, kos rondaan, penguatkuasaan, pemulihan habitat dan pencegahan kebakaran perlu dibayar setiap tahun oleh kerajaan dan masyarakat setempat. Apabila kerajaan memilih untuk melindungi sesuatu kawasan, keputusan itu juga boleh mengehadkan hasil yang boleh diperoleh daripada pembalakan atau penukaran guna tanah.
Negara membangun perlu membiayai sekolah, klinik, bekalan air dan infrastruktur di samping menyediakan pekerjaan. Hutan yang dilindungi turut menyokong pembangunan dengan menjaga bekalan air dan membantu mengurangkan risiko bencana.
Cabarannya ialah manfaat ini jarang menghasilkan aliran tunai yang boleh digunakan untuk membayar balik pinjaman. Geran membolehkan kerja pemuliharaan berjalan tanpa menambah hutang awam, khususnya bagi perlindungan kawasan tadahan, pemulihan gambut dan pengawasan kawasan perlindungan.
Penilaian Jawatankuasa Tetap Kewangan UNFCCC menganggarkan bahawa pada 2023–2024, 57% pembiayaan iklim awam dua hala disalurkan sebagai pinjaman dan 38% sebagai geran. Komposisi ini penting apabila menilai sejauh mana pembiayaan membantu negara penerima.
Perjanjian Paris, menerusi Artikel 9, menetapkan bahawa negara maju menyediakan sumber kewangan bagi membantu negara membangun dalam mitigasi dan adaptasi. Artikel itu turut mengiktiraf keperluan sumber awam dan geran untuk adaptasi. Gesaan Arthur memberi tumpuan kepada kegunaan yang jelas bagi geran tersebut, iaitu melindungi hutan dan biodiversiti.
Sasaran 19 Kerangka Biodiversiti Global Kunming–Montreal menetapkan sasaran aliran pembiayaan biodiversiti antarabangsa sekurang-kurangnya USD30 bilion setahun menjelang 2030. Sasaran itu merangkumi pelbagai bentuk pembiayaan. Penyumbang wajar melaporkan secara terbuka bahagian yang diberikan sebagai geran, tempoh komitmen dan jumlah yang benar-benar diterima supaya kemajuan dapat dinilai berdasarkan dana yang sampai kepada penerima.
Arthur meletakkan gesaan Malaysia dalam kerangka tanggungjawab bersama tetapi berbeza serta keupayaan masing-masing. Prinsip ini mengiktiraf tanggungjawab semua negara untuk bertindak, dengan negara maju mengambil peranan utama. Konvensyen Iklim PBB juga mengiktiraf hak negara untuk memajukan pembangunan mampan dan meminta keadaan khusus negara membangun diberi pertimbangan sewajarnya.
Atas asas ini, tuntutan supaya negara membangun meningkatkan perlindungan hutan mesti disertai pembiayaan yang boleh diakses dan pemindahan teknologi yang membantu mereka melaksanakannya.
Arthur turut membawa isu perdagangan ke dalam perbincangan dengan merujuk Artikel 3.5 Konvensyen. Peruntukan itu menyatakan langkah iklim, termasuk langkah unilateral, tidak seharusnya menjadi alat diskriminasi sewenang-wenangnya atau sekatan perdagangan terselindung.
Implikasinya nyata bagi pengeluar kecil. Jika syarat kebolehkesanan baharu dikenakan, mereka memerlukan masa, kepakaran dan pembiayaan untuk mematuhinya. Negara maju perlu mengambil kira kos pematuhan ini supaya pekebun kecil dapat memenuhi piawaian alam sekitar sambil mengekalkan akses pasaran dan pendapatan.
Di sesi menteri D-8, Arthur mengulangi desakan agar negara maju menunaikan komitmen pembiayaan iklim. Beliau turut menyokong pembangunan Pelan Hala Tuju Iklim dan Alam Sekitar D-8 bagi 2027–2030 serta penyertaan Malaysia dalam kumpulan kerja teknikal.
Melalui kerjasama ini, Malaysia boleh membangunkan projek bersama dalam pemulihan ekosistem, berkongsi kaedah pemantauan hutan dan menambah baik permohonan pembiayaan. Arthur membawa tuntutan Malaysia ke rundingan global sambil membina kerjasama pelaksanaan sesama negara membangun.
Arthur melaporkan 54.40% keluasan negara berada di bawah litupan hutan dan pokok. Kerajaan persekutuan memperuntukkan RM250 juta melalui Ecological Fiscal Transfer pada 2026 untuk menyokong usaha pemuliharaan negeri. Geran antarabangsa boleh memperkukuh usaha ini dengan membiayai pemulihan hutan asli, penyambungan koridor hidupan liar dan pemantauan jangka panjang.
Gesaan Malaysia di COP31 melalui kepimpinan Arthur membawa mesej yang jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa tanggungjawab melindungi hutan dan menangani perubahan iklim tidak boleh dibebankan secara tidak seimbang kepada negara membangun.
Hutan tropika bukan sekadar khazanah sesebuah negara, tetapi turut memberikan manfaat kepada seluruh dunia. Oleh itu, kos pemeliharaannya sewajarnya dikongsi secara adil. Negara maju tidak boleh sekadar menuntut supaya hutan negara membangun terus dipelihara, sedangkan bantuan yang diberikan tidak mencukupi atau hanya menambahkan beban hutang mereka. - FMT
Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) Universiti Utara Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.