Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir berkata semua pihak perlu beri ruang kepada proses berkenaan berjalan dengan baik tanpa timbulkan kekeliruan atau rumitkan keadaan.

Setiausaha Agungnya, Zambry Abd Kadir, berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada proses berkenaan berjalan dengan baik tanpa menimbulkan sebarang kekeliruan atau merumitkan keadaan.
Bagaimanapun katanya, BN tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung perkembangan itu bagi mengelakkan kenyataan yang dibuat disalah tafsir.
“Yang itu nanti akan diselesaikan. Biar kita serahkan melalui proses yang telah pun dilakukan.Saya rasa kita tidak perlu lagi merumitkan keadaan. Proses berjalan, biarlah ia berjalan dengan sebaik-baiknya.
“Jadi, saya tidak mahu membuat kenyataan yang nanti disalah tanggap lagi. Apa yang berlaku, prosesnya berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Festival Idea Putrajaya 2026.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kemelut politik di Negeri Sembilan, termasuk persoalan mengenai kedudukan menteri besar.
Kelmarin, Zambry mengumumkan Ismail Lasim mengemukakan peletakan jawatan sebagai menteri besar Negeri Sembilan.
Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat atas kerelaaan Adun Juasseh berkenaan dan bukan atas arahan parti, selain mengesahkan hanya satu nama dikemukakan bagi menggantikan Ismail.
Peletakan jawatan Ismail berlaku beberapa hari selepas beliau mengesahkan menarik balik surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Syed Danial Syed Ahmad berkait penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Namun, Istana Negeri Sembilan menjelaskan peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja Azizi Mohamad Ali turut memaklumkan pihak istana belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail yang diterima pada 12.16 tengah malam, 17 Nov.
Anak Ismail dalam satu hantaran di media sosial turut mempersoalkan peletakan jawatan bapanya, menggambarkan Ismail seolah-olah dijadikan ‘kambing hitam’ dalam krisis perlembagaan negeri. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.