Apabila saya menulis artikel pendek Raub dan Saya, saya menerima banyak pertanyaan dan permintaan untuk meningkatkan lagi pertalian kekeluargaan. Setelah artikel itu keluar saya telah membuat sedikit lagi penyelidikan. Sekarang sudah lebih nyata, ketururan dan waris saya ramai di dalam kawasan Raub- di Temau, Dong dan Hulu Semantan.
Kali ini, saya hendak bercerita sedikit dari sudut politik. Keturunan Tok Shahrum berasal dari Sumatra. Mengikut satu sumber Tok Shahrom orang rao( rawa) berasal dari kampong Tanjung durian negeri Lansat Kadap zaman dahulunya. sekarang kampong itu disebut sebagai tanjung rien. Negeri nya zaman dahulu disebut lansat kadap sebutan lansek kodok di Sumatera.
Tok shahrum dan adik beradik datang ke Raub iaitu di kawasan Temau dan Dong. Mengikut lapuran sejarah oral, adik beradik Tok Shahrum ada bermastautin dan tinggal dalam kawasan Dong.
Seperti yang saya sebut dalam artikel tersebut, Tok Shahrom berkahwin dengan seorang wanita bernama Siti Hajar atau Tok Dinar dari Temau, Raub. Kubur Tok Shahom katanya ada di Kuala Temau tapi tidak diketahui yang mana satu dalam suatu kawasan yang banyak kubur2 lama. Zaman dahulu tanah perkuburan ini dikongsi bersama oleh orang Temau dan Kg Ajai.
Anak2 tok shahrom dengan Tok Dinar ialah Ranting Mas yang berkahwin dengan seorang berana Hj Hassan. seorang lagi anak perempuan nya bernama Hajjah Maimunah katanya mati dan dikebumikan dalam satu kawasan di Kuala Lipis. Anak lelaki 3 orang ialah ImamRasu Abdul Salam yang kita kenali sebagai Tok Gajah, Imam atau khatib Haji Muhamad Amin, dan Haji Mohamad Arif. Haji Mohamad Arif meninggal dan dikebumikan di Kuala Lipis juga tapi tidak diketahui dimana.
Adik beradik Imam Rasu terlibat secara lansung dalam beberapa perang saudara. Kita baca dalam sejarah bagaimana Imam Rasu dan adik beradik serta sahabat2 nya yang lain seperti Dato Bahaman membantu dalam perang saudara di Selangor. Mengenai peranan Tok Gajah dan adik beradik dalam membantu bendahara Wan Ahmad di Pahang sendiri semua orang tahu. Wan ahmad memberi gelaran imam Perang Rasu Indera Gajah kepada Imam Rasu kerana kehandalan dan keperwiraan Tok Gajah.
Itu semua tinggal kenangan untuk jenerasi kita waris Tok Shahrum. Saya hanya berminat kepada pengajaran dari pengalaman yang mereka lalui semua terutama apa yang terjadi kepada adik beradik Tok Gajah. Mereka menjadi mangsa kepada komplot yang dilakukan oleh pihak yang mereka bantu dan berbakti.
Pengajaran yang paling utama, ialah kita jangan lagi membiarkan diri kita digunakan oleh pihak lain untuk kepentingan mereka. Akhirnya kita dibeloti.
Nama Tok Gajah disanjung begitu tinggi bahkan pasukan bola Pahang digelar pasukan Tok Gajah. Tapi Tok Gajah atau Imam Rasu Abdul Salam sehingga sekarang dianggap penderhaka. Setelah pihak yang di bantu dan dicurahi bakti mendapat kedudukan, akhirnya Tok Gajah dibeloti dan disebut sebagai pemberontak. Tok Gajah mati dalam buruan di Kuala Berang Terennganu. Sehingga sekarang kerajaan Pahang tidak pun mengiktiraf peranan Tok Gajah dalam sejarah Pahang . Sehingga sekarang kuburan Tok Gajah pahlawan Pahang berada dalam negeri lain.
Demikian juga dengan Buyot lelaki saya Hj Mohamad Amin. Dalam masa Tok Gajah berperang, Tok Amin berperanan sebagai perancang dan pencari modal dan dana membeli alatan perang. Setelah tamat perang dan setelah pihak penjajah British masuk dan mengukuhkan kedudukan pihak yang pernah di bantu oeh Tok Gajah dan adik beradik, Tok Amin juga di buru. Akhirnya dia mati dalam perlarian di Kampung Lebir, Kelantan.
Isteri Tok Amin yang pertama ialah seorang wanita bernama Banun yang berasal dari Hulu Semantan. Anak perempuan mereka iaitu moyang saya ialah Hajjjah Aminah bt Mohamad Amin.
Ranting Mas berkahwin dengan seorang lelaki bernama Haji Hasan dari Temau rasa nya. mereka golongan berniaga dan tidak syak lagi membantu abang nya Tok Gajah dan Tok Amin dalam usaha perperangan mereka.
Ranting Mas dan suami mati dalam keadaan yang trajik. Seorang sepupu mereka telah diupah oleh pihak Istana ketika itu untuk menembak mereka. Sepupu mereka yang saya maksudkan ialah Tok Zainal yang kemmudiannya dilantik sebagai hulubalang raja di Pekan. Kuburan Ranting Mas dan suaminya Haji Hasan ada di Hulu Temau.
Kita jenerasi sekarang tidak mahu ungkit sejarah lama dan mencari siapa salah dalam apa yang berlaku kepada keluarga Tok Gajah. Tapi kita mesti memahatkan suatu ingatan dalam hati kita. Jangan lagi kita jadi alat kepada orang lain untuk kepentingan kita kerana akhirnya kita dikecewakan. Pihak lain yang bergantung kepada kerajinan dan kepakaran kita. Merekalah yang lebih memerlukan kita.
Sekarang ialah masa untuk keluarga kita yang besar dan banyak cabang dan ranting diseluruh negara untuk bangkit dan menjadi penegak keadilan. Jangan kita jadi alat dan macai untuk keturunan mereka yang berkuasa hari ini sehinggalah peranan dan sumbangan kita semua diiktiraf dan mendapat tempat yang wajar. Dan mendapat tempat yang wajar bukan datang sebagai pemberian dari pihak mereka. Kita tidak mahu itu. Tempat yang wajar datang dari usaha dan pengobanan kita sendri. Percayah kita ada kekuatan sendiri.
Di Raub sendiri, mari bersama sama saya , kita bentuk jalan perjuangan yang baru. seperti kata seorang penyajak, sekian lama kita mati dalam setia, kini mari kita hidup dalam durhaka. Setia kalau mati tidak berguna, durhaka kalau hidup lagi bermakna.
Posted by sakmongkol AK47
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.