Datuk N Marimuthu  
Datuk N Marimuthu

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) digesa menyiasat dan menyelesaikan isu kekurangan bekalan minyak masak dan tepung gandum yang didakwa berlaku di utara Semenanjung.
   
Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N Marimuthu berkata setakat ini tiada aduan diterima mengenai masalah kekurangan bekalan bahan berkenaan di negeri-negeri lain.
 
"Pihak KPDNKK kena siasat dengan segera dan bagi maklumat terperinci kenapa perkara ini berlaku. Tiba-tiba cerita ini meletup sedangkan di negeri lain tidak ada masalah bekalan kedua-dua barangan keperluan itu," katanya kepada Bernama hari ini.   
Pandangan Marimutuhu dikongsi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan yang berkata setiap kali menjelang musim perayaan, masalah kekurangan bekalan barangan keperluan akan timbul.
    
Kata Nadzim: "Saya tidak pasti apa sebabnya tetapi pihak bertanggungjawab kena jalan siasatan dengan segera.
    
"Saya risau kalau ada pihak tertentu cuba mengaut keuntungan lebih dengan mengurangkan bekalan itu supaya harganya meningkat."
    
Mengikut laporan media yang memetik sebuah persatuan pengguna di Kedah, masalah kekurangan bekalan minyak masak dan tepung gandum dikatakan berlaku sejak dua minggu lalu. - Bernama
  • Hang jaga negeri macamana nie Mukhriz oi, minyak masak dan tepong habis stok nie..!!