Pengurangan kuota kerusi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Selangor daripada PAS mungkin ada hikmahnya, kata Dr Ahmad Yunus Hairi yang berkata pihaknya terpaksa berpuas hati dengan keputusan itu.
Beliau yang merupakan seorang daripada dua exco PAS yang dilantik semula oleh Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini percaya, ada kebaikan yang akan diperoleh PAS dan Selangor di sebalik keputusan itu.
"Mungkin ada hikmahnya. Kita bergerak ke hadapan. Bagaimana kerajaan negeri yang ada pada hari ini dapat mentadbir dengan lebih baik.
"Atau sekurang-kurangnya, kesinambungan kebaikan yang dilakukan dahulu dapat diteruskan supaya rakyat dapat faedah," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang itu menerima baik keputusan Azmin melantik dirinya dan yakin boleh bekerjasama dengan menteri besar baharu itu.
"Kena lihat semula dan duduk berbincang apa langkah yang dapat diperbaiki dan agenda portfolio dapat dibincangkan sebaik mungkin," katanya.
Ditanya calon Timbalan Speaker DUN, Yunus berkata PAS Selangor mempunyai beberapa calon yang layak dan mempunyai latar belakang undang-undang, antaranya Adun Bangi Mohd Shafie Ngah, dan Adun Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman.
"Kalau ikut kedudukan jawatankuasa PAS peringkat negeri, sekarang ada Shafie dan Khairuddin. Itu adalah calon-calon yang boleh ditawarkan dan layak," katanya.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyifatkan kehilangan itu di luar jangkaan tetapi menerimanya dengan hati terbuka kerana memahami kesukaran Azmin membuat pilihan, lapor Harakahdaily.
Sementara itu, Exco DAP Datuk Teng Chang Khim ketika mengulas mengenai pelantikan semulanya menjangkakan kerjanya akan sibuk ekoran kerja yang tertunggak sejak dipecat 12 Ogos lalu.
Katanya, Azmin akan memanggil 10 exco bermesyuarat untuk mengaturkan kerja masing-masing.
"Saya jangkakan sudah tentu ada banyak tunggakan kerja dan dalam dua hingga tiga bulan akan datang pastinya sibuk kerana saya perlu tunggu arahan menteri besar baru apakah tugas selanjutnya," katanya.
Bekas Timbalan Speaker, Nik Nazmi Nik Ahmad pula menjangkakan tanggungjawabnya lebih berat selepas dipilih menganggotai exco.
"Terima kasih atas kepercayaan menteri besar dan PKR. Harap dapat galas tugas sebaik mungkin," katanya.
Azmin pagi tadi mengumumkan komposisi exco 4 daripada PKR, 3 PAS, dan 3 DAP.
3 muka baru dalam exco adalah Adun Batu Caves Amirudin Shari, Adun Seri Setia Nik Nazmi, dan Zaidy Abdul Talib (Taman Templer).
Adun yang dikekalkan adalah Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Daroyah Alwi (Sementa), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan), Teng (Sungai Pinang), V Ganabatirau (Kota Alam Shah), Yunus, dan Iskandar Abdul Samad (Cempaka).
Tiga Adun yang tidak dilantik semula adalah Rodziah Ismail (Batu Tiga), Dr Halimah Ali (Selat Kelang), dan Sallehen Mukhyi (Sabak).
- TMI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.