A Kadir Jasin
SIAPA yang memberi arahan supaya Altantuya Shaariibuu dibunuh? Itulah pertanyaan bekas Perdana Menteri, (Tun) Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Menulis dalam blognya dengan tajuk “Umno dan PRU14” beliau, antara lain, mempersoalkan peranan bekas pengawal peribadi Perdana Menteri Sirul Azhar Umar dalam pembunuhan wanita Mongolia itu.
Sirul dan Inspektor Azilah Hadri didapati bersalah atas tuduhan membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lepas. Bagaimanapun Sirul bolos dan lari ke Australia sebelum dijatuhi hukuman.
Mendiang Altantuya dengan anak yang ditinggalkan |
Dr Mahathir berkata: “Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan. Sebagai pengawal peribadi Dato Sri Najib, dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan. Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul “merepet”, tidak ada siasatan yang dibuat. Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.”
Selain itu beliau berkata ramalan banyak pihak menjurus ke arah kekalahan Umno/BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Dr Mahathir juga mengulangi kritikan terhadap 1Malaysia Development Berhad selain mempersoalkan sumber kekayaan anak tiri Mohd Najib, Riza Abdul Aziz dan pembelian jet eksekutif baru oleh Perdana Menteri.
Dalam tulisan paling keras dan terus terang sehingga kini, Dr Mahathir berkata: "Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Najib. Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar Umno, dan dengan itu BN, akan kalah jika Najib memimpin Umno hingga PRU14.
"Apabila Umno kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali Umno kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula."
Saya ditanya oleh portal berita Malaysiakini mengenai tulisan Dr Mahathir itu. Antara lain, saya berkata, saya ingin tahu sama ada laporan polis akan dibuat terhadap Dr Mahathir kerana tulisan beliau itu seperti laporan polis ke atas (Datuk Paduka) Khairuddin Abu Hassan kerana membuat laporan polis terhadap 1MDB.
Saya berkata lagi, ada beberapa kemungkinan yang menyebabkan Dr Mahathir menulis begitu keras dan terus terang.
Pertama beliau baru pulang ke tanah air setelah agak lama di luar negara, kedua beliau menunggu sehingga Mohd Najib selesai mengadakan majlis raksasa perkahwinan anaknya (dengan (Datin Paduka Seri) Rosmah Mansor) dan ketiga kerana (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sudah dipenjarakan dan tidak menjadi ancaman besar lagi kepada Mohd Najib.
Tetapi petikan mengatakan Anwar bukan lagi faktor penting dalam politik kurang tepat. Anwar masih berpengaruh walaupun dalam penjara.
Tidak kurang menarik ialah reaksi Tengku Razaleigh Hamzah kepada tulisan Dr Mahathir itu. Beliau dipetik sebagai berkata bahawa Dr Mahathir cuba mencari kebenaran dan sudah sampai masanya bagi kerajaan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan supaya muncul kebenaran.
"Saya yakin beliau mempunyai sebab mengatakan semua itu,” tegas Tunku Razaleigh.
"Saya yakin beliau mempunyai sebab mengatakan semua itu,” tegas Tunku Razaleigh.
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.