`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, June 17, 2015

Najib lantik firma tidak dikenali urus RM7.4 Billion wang rakyat......Jawab Najib.....


Saya telah mengemukakan satu soalan kepada Perdana Menteri berhubung dana 1MDB sebanyak RM7.4 bilion (atau USD$2.3 bilion) yang diuruskan oleh sebuah firma yang tidak begitu dikenali di Hong Kong bernama Bridge Partners.
Perdana Menteri dalam jawapannya enggan memberi jawapan yang khusus, seperti jawapan beliau yang saya lampirkan bersama-sama kenyataan ini. Jawapan itu mengelak dari menjawab soalan khusus saya iaitu:
1. Kenapa sebuah firma yang tidak dikenali seperti Bridge Partners dilantik mengendalikan sehingga RM7.4 bilion wang 1MDB yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia?
2. Berapa jumlah bayaran setiap tahun yang diberikan kepada firma yang tidak dikenali ini?
1MDB yang diwar-warkan oleh Dato’ Seri Najib sebagai dana negara (“sovereign fund”) sewajarnya mempunyai keupayaan sendiri untuk menguruskan dana rakyat seperti mana dana-dana awam yang lain.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Haji semuanya mempunyai jabatan sendiri yang menguruskan pelaburan dana yang dikutip dari rakyat. Melalui cara ini, tiada ketirisan wang rakyat dalam bentuk bayaran yang terpaksa dibuat kepada firma luar untuk menguruskan dana seperti yang berlaku dengan 1MDB sekarang.
Malah, syarikat besar negara seperti PETRONAS (yang bukan pun sebuah dana awam) turut mempunyai Jabatan Perbendaharaan sendiri untuk menguruskan pelaburan dananya.
Tindakan 1MDB melantik satu firma luar negara yang tidak dikenali untuk mengendalikan pelaburan dana yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia memberi makna tersirat berikut:
1. 1MDB tidak mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk mengendalikan sendiri pelaburan dana yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia. Ini menimbulkan tanda tanya kenapa 1MDB dibenarkan mengambil hutang sebegitu besar yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia sekiranya ia tiada kepakaran untuk mengendalikan sendiri pelaburan dananya?
2. Firma Bridge Partners mendapat untung dari mengendalikan dana RM7.4 bilion da nada pihak tertentu yang turut mendapat keuntungan dalam bentuk komisen dan lain-lain
Kengganan Dato’ Seri Najib menjawab soalan saya mengenai lantikan Bridge Partners ini menguatkan lagi persepsi bahawa 1MDB tidak diuruskan dengan telus dan menjadi lubuk bagi pihak-pihak tertentu mengaut keuntungan menggunakan dana rakyat.
Dengan hutang 1MDB yang dijangka mencecah RM40 bilion dan dijamin oleh rakyat, 1MDB kini menjadi ancaman nombor satu kepada kecairan dan kestabilan kewangan Kerajaan Persekutuan.
Usaha untuk memastikan 1MDB dipertanggungjawabkan kepada rakyat perlu bermula dengan membawa kembali semua dana 1MDB ke Malaysia dan dilaporkan penuh kepada Parlimen. Ini perlu bermula dengan menghentikan lantikan firma-firma yang tidak dikenali seperti Bridge Partners untuk menguruskan jumlah dana 1MDB yang begitu besar.
RAFIZI RAMLI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.