`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 18, 2015

PR Perlu Dihidupkan Semula Dengan Penyertaan Sebuah Parti Baru

Image result for Pakatan Rakyat

Dua tiga hari lalu politik negara agak gempar dengan berita seolah-olah Pakatan Rakyat tidak wujud lagi. Sudah ada juga yang mula bertepuk tangan dan mengeluarkan kenyataan "lebih lajak dari laju" dengan mengatakan Kerajaan Selangor akan bertukar tangan, Exconya perlu segera meletakkan jawatan, kemungkinan pilihanraya negeri dan sebagainya lagi.

Ia berikutan tindakan DAP mengatakan keputusan Pas memutuskan hubungan dengan parti itu dalam muktamarnya adalah makna yang jelas bahawa tidak wujud lagi pakatan pembangkang yang ditubuhkah sejak 2008 lalu itu dikatakan tidak saja memberi kesan di Pulau Pinang tetapi juga di Selangor.

Bagaimanapun Pas mengatakan PR masih wujud kerana tiada sesiapa yang keluar daripada gabungan itu, melainkan hanya wujud masalah antara Pas dengan DAP sahaja. Sama seperti DAP yang tidak mengumumkan ia keluar daripada PR meskipun menyatakan gabungan itu tidak wujud lagi, Pas  juga bertegas mahu terus kekal bersama gabungan itu.

Dalam keputusan selepas mesyuarat Biro Politiknya pula, walaupun PKR mengakui secara formal gabungan itu sudah mati tetapi menggambarkannya kerjasama yang wujud selepas ini sebagai perkahwinan poligami yang sudah bercerai, namun kekal sebagai kawan.

Dalam masa yang sama, ketiga-tiga parti juga komited untuk mengekalkan kerajaan pembangkang di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Dengan ini ribut-ribut dalam PR ini hanyalah umpama air berkocak dalam cawan saja. Ia barangkali sekadar "latihan" untuk saling memperbaiki diri, memperbetul kesilapan dan mencari cermin untuk saling melihat diri sendiri. Mungkin juga sekadar usikan atau "geli-geli" untuk UMNO, BN dan Najib yang sedang menghadapi tekanan daripada banyak penjuru ketika ini.

Sejak ketiadaan Anwar yang kini merengkok di penjara, hubungan Pas dengan DAP diakui tidak lagi seharmoni dulu. Pas tidak saja bermasalah dengan  DAP, tetapi juga bermasam muka dengan kelompok profesional dalam partinya sendiri.

Seolah-olah perjuangan Islam itu hanya milik kumpulan ulama dan kunci pintu syurga juga dipegang oleh mereka, Muktamar Pas baru-baru ini tidak saja menyaksikan ketetapan Dewan Ulama diterima tanpa bahas untuk memutuskan hubungan dengan DAP, bahkan kumpulan profesional, progresif dan bukan ulama juga disingkirkan terus daripada kepimpinan parti itu.

Selepas berakhir muktamar pula, tindakan membawa haluan masing-masing antara kumpulan profesional dengan ulama ini berterusan lagi dengan kedua-dua pihak saling menghimpun sokongan serta berbalas kenyaaan di media.

Pemimpin kelompok profesional  berterusan mendesak Pas keluar daripada PR kerana mendakwa itulah maksud daripada tindakan memutuskan hubungan dengan DAP dalam muktamarnya. Mereka juga diminta segera meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang sebagaimana contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh Mohamad Sabu, Mujahid Yusof Rawa dan beberapa yang lain.

Lebih malang, jika dulu ungkapan kafir, taghut, munafik dan sebagainya menjadi senjata serangan oleh kumpulan pro ulama, kini lutut dan siku pula dijadikan alat seolah-olah Islam itu suka benar berlawan dan berperang.

Kadang-kadang terfikir, inikah rupa bentuk keindahan dan kelembutan Islam yang mahu ditunjukkan kepada pihak lawan dan juga kepada bukan Islam?

Tetapi daripada apa yang berlaku, jelas bahawa mereka masih PR itu terus wujud. Ia lebih selamat dengan menubuhkan entiti baru yang turut disertai oleh sebuah parti baru yang bakal ditubuhkan oleh kumpulan profesional daripada Pas.

Dalam hal ini, kumpulan profesional Pas yang disingkirkan secara pembersihan etnik baru-baru ini yang diketuai oleh Mohamad Sabu dan disertai beberapa tokoh lain, harus segera tampil dengan parti baru berwajah Islam progresif dan moden yang boleh diterima rakyat.

Mereka harus tampil bukan saja dengan perjuangan di masjid, surau dan ceramah tetapi juga mampu menjadi juara dalam isu-isu rakyat seperti rasuah, pembaziran, penyonglapan wang negara sehinggalah kepada longkang tersumbat sekali pun.

Pas yang kini sepenuhnya dikuasai kumpulan agama dan pro ulama pula harus menentukan hala tuju mereka. Hubungan dengan kumpulan profesional barangkali sukar dipulihkan tetapi kepimpinan baru ini wajar menilai sama ada mereka mahu terus melakukan perubahan bersama PR atau sebaliknya. Berilah peluang kepada kumpulan profesional ini berjuang melalui wadah baru pula.

Ini bermakna, kiranya kesepakatan baru dapat dijelmakan, PR baru nanti akan dianggotai oleh PKR, DAP, Pas dan sebuah parti yang mungkin dipimpin oleh Mohamad Sabu tadi.

PR baru yang dianggotai oleh empat parti adalah lebih baik berbanding tiga parti yang ada sekarang. Dengan empat parti, walaupun jumlah kerusi pilihanraya yang bakal diperolehi setiap parti akan berkurangan, ia lebih menjamin ruang kemenangan serta kestabilan.

Bagaimanapun jika Pas tidak bersetuju dan enggan bersama-sama melakukan perubahan bersama gabungan baru itu, ada baiknya mereka bergerak sendiri menuju syurga impian atau jika merasakan syurga itu sudah ada di sisi UMNO, maka berbaik dan bergabunglah dengannya.

Ketika itu, PR baru yang dianggotai PKR, DAP dan sebuah parti Islam progresif ini pun dirasakan sudah cukup untuk mencorak perubahan dalam negara, lebih-lebih lagi jika Najib Razak masih memimpin negara dan terus berbalah dengan Tun Mahathir. (SH)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.