`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, October 12, 2015

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

Jika kita benar-benar mahukan perpaduan, kita harus berhenti mementingkan diri sendiri dan bergerak ke arah membina satu identiti kebangsaan.
COMMENT
language
Semalam saya lontarkan satu soalan kepada para pembaca: “Bagaimana mampu kita sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum mengeratkan perpaduan sekiranya kita tidak dapat berinteraksi menggunakan satu bahasa yakni bahasa kebangsaan?”
Ekoran artikel berbahasa Inggeris tersebut, pelbagai reaksi pembaca saya perhatikan, termasuklah komen-komen di dada Facebook peribadi saya. Di sini, saya petik salah sebuah komen yang menarik perhatian saya disebabkan ramai pembaca yang nampaknya bersetuju dengan intipati komen tersebut:
“Membina perpaduan serta perasaan cinta pada bahasa kebangsaan merupakan dua perkara berbeda. Perpaduan sebenarnya boleh dibina menggunakan apa sahaja bahasa perantaraan dan sesungguhnya lebih logis jika bahasa antarabangsa yakni bahasa Inggeris digunakan kerana hanya bahasa yang dominan di rantau ini sahaja yang mampu mengeratkan silaturrahim.”
Tampaknya ramai yang berpendapat perpaduan mudah dicapai jika menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Bagi saya ini cuma pandangan simplistik golongan yang mempunyai kepentingan diri sendiri. Pastinya yang petah berbicara dalam bahasa asing tersebut akan menyokong pendapat yang sedemikian rupa tetapi bagaimana pula dengan anggota masyarakat yang lain?
Sekurang-kurangnya 70% daripada rakyat negara ini fasih berbahasa kebangsaan. Tetapi berapa peratuskah yang fasih berbahasa Inggeris? Cubalah masuk ke kampong, kawasan pedalaman serta luar bandar dan cubalah bertutur dengan pakcik, makcik, uncle, aunty serta akka dan anneh menggunakan bahasa mat salleh tersebut. Agak-agaknya berapa ramai di antara mereka yang berkemampuan berinteraksi dalam bahasa Inggeris?
Sesungguhnya ada segelintir ahli masyarakat kita yang bersifat pentingkan diri sendiri. Mereka mahu memperkasakan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan kerana itu lebih mudah bagi mereka serta anak-anak. Bagaimana pula dengan nasib Bahasa Malaysia? Apa adilnya jika bahasa kebangsaan yang mencerminkan identiti nasional kita dipinggirkan demi memperkasakan bahasa asing?
Bukanlah maksud saya untuk mengenepikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Sememangnya bahasa Inggeris memainkan peranan penting untuk meletakkan kita di peta dunia – saya tidak menidakkan kebenaran tersebut. Tetapi apa rasionalnya meminggirkan bahasa kebangsaan negara sendiri dan memperjuangkan bahasa lain?
Saya pun tak mengerti mengapa susah sangat bagi segelintir pihak memperkasakan Bahasa Malaysia sebagai identiti nasional kita. Dalam pada kita sanggup mengeluar wang untuk mempelajari bahasa asing, apalah susahnya untuk berusaha sedikit demi meningkatkan kefasihan kita berbicara menggunakan bahasa kebangsaan? Jika kita sanggup menghantar anak-anak ke kelas tambahan bagi memperkayakan bahasa Inggeris, mengapa bahasa kebangsaan kita terus diperlekehkan?
Terus-terang saya bertanya, apa payahnya bercakap Bahasa Malaysia? Bukannya seperti kita tidak belajar bahasa kebangsaan di bangku sekolah. Bukannya tiada akhbar serta buku yang dapat membantu kita memperbaiki bahasa kita. Bukannya kita hidup tidak dikelilingi oleh masyarakat berbilang kaum yang fasih berbahasa Malaysia. Cuba dengarkan radio atau tonton televisyen – berlambak rancangan berbahasa Malaysia.
Sesungguhnya, jika kita punya hasrat untuk belajar serta memperbaiki penguasaan bahasa kebangsaan kita, boleh sahaja kita lakukannya. Tetapi yang sebetulnya, segelintir kita memang tiada niat untuk mempelajarinya – mulut sahaja yang berbuih sakan dek sibuk berbicara tentang semangat kekitaan!
Jika benarlah “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”, saya hairan mengapa payah untuk kita menjunjung satu identiti kebangsaan sedangkan kita semua berpijak pada satu bumi?
Jika benarlah “Bahasa jiwa bangsa”, mengapa kita mahu menggapai cita-cita untuk merealisasikan Bangsa Malaysia sedangkan endah tak endah pada Bahasa Malaysia?
Ada juga segelintir yang berpendapat bahawa sebab musabab kaum-kaum yang tertentu tidak berkemampuan berbahasa kebangsaan serta tidak mempraktikkan semangat nasional adalah disebabkan oleh kurangnya asimilasi dengan kaum yang lain dek kerana lokasi mereka yang agak terpencil serta jauh daripada ahli masyarakat yang lain.
Sekiranya kita terima alasan tersebut, adakah kaum Melayu yang tinggal di kampung terpencil juga dibolehkan hidup dengan semangat Melayu tanpa mempedulikan ahli-ahli masyarakat yang lain? Jika begitulah halnya, mengapa pula ramai yang membuat bising tatkala orang Melayu mendabik dada seraya berkata “Takkan Melayu hilang di dunia?”
Cukuplah dengan seribu dalih. Jika kita benar-benar mahukan perpaduan, kita harus berhenti mementingkan diri sendiri. Penerapan nilai murni ke dalam sanubari setiap ahli masyarakat tidak memadai jika kita tidak berusaha membina satu identiti kebangsaan. Sesungguhnya penggunaan bahasa kebangsaan menerajui proses pembinaan identiti kebangsaan.
Persoalannya sekarang, di sebalik persembahan wayang kulit yang kita sajikan bagi tontonan umum, berapa ramaikah antara kita yang sebenar-benarnya sanggup merealisasikan identiti kebangsaan?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.