SHAH ALAM - Sudah tiba masanya kerajaan memikirkan semula cadangan mewujudkan sistem sekolah satu aliran dan mengetepikan kepentingan politik demi mengukuhkan perpaduan kaum.
Dalam usaha mewujudkan sebuah negara bangsa dan melahirkan generasi yang faham erti perpaduan tanpa mempertikaikan kaum lain, sistem sekolah satu aliran perlu disegerakan.Profesor di Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, berkata kerajaan perlu tegas jika mahu sekolah satu aliran dilaksanakan dan bukannya tunduk dengan tekanan dari pihak yang tidak bersetuju dengannya.
“Badan bukan kerajaan (NGO) yang lantang menentangnya pula perlu memberi kerjasama. Kita hendak mengukuhkan perpaduan, hendak bina negara bangsa bukannya menambah masalah terhadap isu-isu perkauman."Apabila ada NGO yang begitu lantang membantah, tidak mahu sekolah satu aliran diwujudkan demi mempertahankan sekolah masing-masing, bukankah ini bermaksud mereka telah mewujudkan jurang perkauman?," katanya.
Katanya, jika dari kecil, anak-anak sudah diasingkan mengikut jenis persekolahan, tidak bergaul dengan kaum lain, maka apabila dewasa dan belajar di sekolah menengah dan universiti, sudah pastinya mereka kekok untuk bergaul dengan kaum lain.“Keadaan ini juga pastinya akan berterusan sehingga wujudkan kelompok kaum-kaum tertentu di alam pekerjaan,” katanya.
Katanya, hanya di Malaysia sahaja adanya sekolah vernakular, tidak wujud di negara lain.“Pada saya sudah sampai masanya sekolah satu aliran difikirkan. Cadangan mewujudkannya sudah lama dilontarkan. Dalam isu mewujudkan sekolah satu aliran, pemimpin tidak boleh terlalu memikirkan kepentingan politik demi undi rakyat sebaliknya perlu bertegas.
"Namun, di sini, kita bukan bercakap mengenai isu kepimpinan, tapi ini isu khalayak, soal merapatkan jurang antara kaum kerana jurang ini amat besar,” katanya.Katanya, melalui sistem sekolah satu aliran, ia dapat meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan terutama dalam kalangan orang bukan Melayu.
“Jelas sama sekali sistem ini tidak mengetepikan hak kaum lain dalam memartabatkan bahasa ibunda mereka. Mereka juga tidak kehilangan identiti kaum masing-masing.“Sebaliknya, bahasa kebangsaan akan dapat difahami dan dikuasai dengan lebih baik. Lebih penting jurang perpaduan yang luas kembali rapat dan teguh,” katanya.
Katanya, pihak yang lantang menentang pelaksanaan sekolah satu aliran, tidak seharusnya menuding jari dan sibuk mencari salah kerajaan serta mengaitkan kewujudan sekolah agama, sekolah pondok dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kononnya juga tidak menggambarkan perpaduan kaum yang utuh.-SH


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.