`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, August 29, 2016

MUJURLAH TUN M YANG KAKI GADUH INI MASIH SUKA UNTUK BERGADUH!!

Najib Razak semalam menyifatkan Tun Mahathir Mohamad sebagai pemimpin yang suka bergaduh dengan ramai orang, bukan saja sepanjang berkuasa selama 22 tahun, bahkan juga setelah tidak lagi memegang kuasa.

Katanya, bekas Perdana Menteri itu sering mengkritik pemimpin terdahulu dan sekarang sebagai tidak betul dalam segala tindak tanduk mereka.

Kita semua faham orang yang kaki gaduh ini akan selalu cari gaduh, katanya lagi.

Benarkah Tun Mahathir kaki gaduh?

Adakah beliau bergaduh untuk kepentingan dirinya, bagi menyelamatkan negara atau saja-saja suka bergaduh?
Dengan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein, Tun Mahathir tidaklah bergaduh dalam ertikata yang sebenar, sebaliknya mereka hanya berbeza pendapat dalam beberapa perkara berkaitan pentadbiran negara.

Bagaimanapun Tun Mahathir amat menghormati bekas pemimpin tersebut dan tidaklah sampai menarik kemudahan polis pengiring atau melucutkan jawatan tertentu mereka, meskipun sering dikritik dan ditegur oleh kedua-duanya.

Namun demikian, kalau pun mahu dikatakan kaki gaduh, bukan Tun Mahathir yang kaki gaduh kerana beliau sedang memegang kuasa ketika itu, tetapi kedua-dua pemimpin yang tidak lagi berkuasa itulah yang sebenarnya mahu cari gaduh dengannya.

Jika bergaduh dengan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein dikatakan sebagai suatu kesalahan kepada Tun Mahathir sehingga dikatakan kaki gaduh, bermakna Najib juga adalah kaki gaduh apabila bergaduh dengan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu sekarang ini.

Begitu juga, kiranya bergaduh dengan Musa Hitam sebagai suatu kesalahan kepada Tun Mahathir, bagaimana dengan Najib yang juga bergaduh dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin?

Tidakkah ia bermakna Najib juga kaki gaduh?

Selepas tidak lagi berkuasa, Tun Mahathir hanya bergaduh dengan Tun Abdullah Badawi dan Najib yang berlarutan sehingga sekarang.

Tetapi, cuba bayangkan bagaimana keadaan negara jika Tun Mahathir tidak bergaduh dengan Tun Abdullah Badawi?

Apa jadi kepada keadaan negara sekarang ini?

Mungkin jika BN terus menang pilihanraya, Tun Abdullah masih kekal sebagai Perdana Menteri sehingga kini, namun tentulah yang mencaturkan negara ialah budak-budak tingkat 4 saja.

Bolehkah kita membayangkan bagaimana keadaan negara yang dicaturkan oleh anak-anak muda tingkat 4 yang menguasai seorang ketua kerajaan?

Malah, jika tidak bergaduh dengan Tun Abdullah Badawi, belum tentu juga Najib dapat merasa menjadi Perdana Menteri.

Setidak-tidaknya, Najib seharusnya berterima masih juga kepada Tun Mahathir kerana kesediaannya bergaduh dengan Tun Abdullahlah yang menyebabkannya merasa tinggal dengan segala kemewahan di Seri Perdana dan kemudian dapat pula berkenal-kenalan dengan  anak muda bernama Jho Low yang sekarang terkenal di Amerika itu.

Setelah menjadi Perdana Menteri, apakah suatu kesalahan Tun Mahathir bergaduh  dengan Najib?

Dengan Najib yang terlibat dengan skandal kewangan terbesar di dunia melalui 1MDB, derma RM2,600 juta, pembaziran dan kemewahan isteri serta segala macam hal lainnya yang membawa kerosakan, bolehkah kita membayangkan bagaimana keadaan negara jika Tun Mahathir hanya berdiam diri dan tidak bergaduh dengannya?

Dalam keadaan dikritik dan ditegur oleh Tun Mahathir pun, bermacam-macam caca marba dan kong-kali-kong dilakukannya, bayangkanlah kiranya tidak ada sesiapa yang berani menegur atau mengkritiknya?

Bukankah Tun Mahathir yang telah membina negara ini dengan pelbagai kecemerlangan sepanjang 22 tahun pemerintahannya akan dianggap tidak bertanggungjawab jika membiarkan saja Najib berbuat sesuka hati yang merosakkan negara serta mencemar nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa?

Dengan Tun Abdullah dan Najib terutamanya, memang Tun Mahathir kena bergaduh dengan mereka. Ia adalah kewajipan beliau untuk menyelamatkan negara. Beliau merelakan dirinya menjadi kaki gaduh sehingga anaknya sendiri kehilangan jawatan sedangkan jika hanya berdiam diri dan tidak berkata apa-apa terhadap salah laku Najib, tentu kehidupan persaraannya lebih aman damai, bahkan Mukhriz juga tentunya masih kekal dengan jawatannya.

Di sinilah pengorbanan Tun Mahathir kepada negara yang tidak dimiliki oleh ramai bekas pemimpin lain. Beliau tidak suka-suka untuk bergaduh, tetapi rela melakukannya untuk kita semua.

Bagi rakyat yang cintakan kebenaran, sayangkan negara dan tidak tertadah-tadah dengan dedak, dalam hati mereka pasti akan berkata - mujurlah ada Tun Mahathir yang kaki gaduh ini masih suka untuk bergaduh lagi. (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.