`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 3, 2023

256 projek perumahan ‘sakit’ dipulih

 

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek perumahan swasta terbengkalai itu dipulihkan dengan nilai pembangunan kasar RM23.37 bilion.  (Gambar Bernama)

BANTING: Sebanyak 256 projek perumahan terbengkalai swasta berjaya dipulihkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM23.37 bilion setakat Ogos lalu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, ada projek perumahan itu sudah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) atau bertukar kepada status lancar.

“Mengikut kejayaan pada Ogos (sahaja), kita berjaya pulih dan lancarkan 34 projek perumahan iaitu 27 mendapat CCC manakala tujuh lagi berjalan kembali (dengan status) lancar,” katanya selepas melancarkan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS).

Susulan itu beliau berkata kementeriannya menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai akan meneruskan tindakan menyelesaikan dan mencegah serta melaksanakan libat urus bersama pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal serta institusi kewangan swasta dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam.

Mengulas mengenai pelancaran HIMS yang beroperasi sejak tahun lalu, Akmal berkata ia merupakan satu sistem pengurusan setempat dalam talian yang membolehkan kementerian itu memantau data berkaitan maklumat projek perumahan yang dikemaskini secara hampir masa nyata .

Katanya, sistem itu merupakan platform setempat bagi perkhidmatan pelesenan pemaju perumahan swasta serta permit iklan dan jualan, pengemaskinian status projek perumahan sehingga ke perkhidmatan perjanjian jual beli secara dalam talian (e-SPA).

“Dijangka pada suku pertama 2024, e-SPA yang dijana menerusi HIMS ini akan ditambah baik untuk membolehkan perkhidmatan tandatangan digital untuk pihak yang terlibat bawah perjanjian jual beli (rumah) dan seterusnya e-stamping menerusi kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya.

Akmal berkata pelancaran HIMS ini juga merupakan antara salah satu kaedah KPKT memantau status dan keadaan projek perumahan dalam negara. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.