`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 17, 2023

Keramaian yang hilang keramatnya

 

Hari minggu lalu saya menghadiri dua majlis persandingan. Sabtu di majlis anak kawan saya dan pada Ahad pula majlis anak daripada kaum kerabat saya. Biasalah, umur-umur begini semestinyalah kita akan selalu menyaksikan kawan-kawan kita punya anak melangsungkan majlis perkahwinan. Bagai tak terasa waktu bergerak pantas, rasanya tak sampai sedekad yang lalu kita hadir majlis perkahwinan kawan dan saudara sebaya kita, tahu-tahu kini mereka sudah pun menyambut menantu pula.

Kopak! Kopak! Kopak!
Gebung! Gebung! Gebung!

Terkejut saya dari menungan bila terdengar bunyi kompang menandakan pengantin sudah sampai. Saya tersenyum sendirian. Huh! Bunyi kompang “recorded” rupanya. Ingatkan budak-budak yang main kompang. Apa nak buat, mana nak cari kumpulan kompang di kawasan bandar besar begini. Majlis pun dibuat di balai yang terletak di sebuah blok bangunan. Semua urusan kenduri disatukan dalam sebuah pakej khas yang menarik dan lengkap diistilahkan sebagai sebuah majlis. Ya, hidup yang serba moden ini kita hanya perlukan duit dan segalanya akan “bisa diatur” tanpa kita berpenat-lelah lagi. Semangat majlisnya tetap sama seperti dahulu tetapi kekeramatannya sedikit hilang dan dikorbankan atas faktor kemodenan tadi. Itulah tolak ansur yang harus kita pertimbangkan seperti bunyi kompang sintetik tadi. Saya kembali termenung apabila teringat sebuah rangkap dalam lagu Di Suatu Keramaian nyanyian kumpulan Kembara:

“Ibu-ibu sibuk di dapur
Menyediakan masakan yang istimewa
Kerana menyambut kunjungan
Menteri kemegahan mereka
Gadis-gadis menyusun bunga dan renda
Menghiasai balai raya sambil berbisik
Dan tersenyum riang.”

Aduh! Manisnya zaman itu. Ya, lagu itu mengisahkan persiapan orang kampung hendak menyambut kedatangan pak menteri tetapi suasananya itu sangat berbekas di ingatan saya. Semangat muafakat dan gotong-royong inilah kekuatan masyarakat kita dahulu. Hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama dilapah. Kerja kenduri-kendara dijayakan bersama. Kaum bapa mendirikan bangsal. Waktu malam sebelum kenduri esoknya anak muda tidur di bangsal menjaga lauk pauk sambil bermain daun terup. Tuan rumah belanja mereka sekarton rokok sebagai upah esok mengangkat hidangan dan membasuh pinggan. Kemeriahannya cukup terasa.

“Meriah betul, kan?” tanya saya kepada kenalan yang semeja dengan saya. Dia dan isterinya hanya senyum sambil meneruskan makan. Ah! Saya sekali lagi terlupa. Ini konsep kenduri zaman ini. Makan sahaja, jangan berbual banyak-banyak dengan rakan semeja dengan kita. Kita tidak saling mengenali, yang kenal kita hanya tuan rumah majlis sahaja. Maka itu, kita hanya menghadiri majlis dan menjamu selera sahaja bukan untuk berkenalan tanya itu dan ini. Di sini, di tempat ini – tidak menjadi peramah itulah sebaiknya. Terlalu mesra akan membuat orang lain tidak selesa.

Selesai makan saya dan isteri berjumpa tuan rumah majlis (walaupun bukan dibuat di rumah tapi kita gelarkan jugalah sebagai “tuan rumah”) iaitu ibu bapa kepada pengantin untuk mengucapkan tahniah sambil “salam kaut”. Selepas bergambar sekeping dua, kawan saya berkata pukul 3.30 petang majlis mesti ditutup. Dewan ini perlu dikemas dan dikosongkan.

“Sebagai persiapan untuk majlis orang lain pula sebelah malam nanti,” jelas dia.

Ya! Saya akur. Saya sekali lagi tidak menyalahkan sesiapa atau mana-mana pihak. Inilah hakikat hari ini. Kita kena pantas bersaing. Kenduri tetap kenduri tetapi ia juga terpaksa berdepan dengan hambatan saingan.

“Aku kena tempah dewan ni enam bulan lepas,” kata kawan saya. Huh!

Esoknya saya ke majlis handai-taulan yang dibuat di kampung pula. Benar! Tiada lagi anak-anak gadis melilit renda. Tiada juga belia-belia mengangkat jambar atau dulang. Di kampung juga sudah guna khidmat katering tetapi lauknya lebih sedap sedikit berbanding lauk katering bandar. Masih ada rasa masak ala gotong-royong kenduri. Ditambah pula tuan rumah turut menambah sejenis dua lauk masakan keluarga sendiri. Inilah syurga, gaissss! Daging lembu atau kerbau segar yang baharu ditumbangkan semalam. Masak rendang atau kari alangkah lazatnya. Itu belum kira malam semalam tu, tulangnya dibuat sup panas-panas. Aduh!

Kopak! Kopak! Kopak!
Gedebum! Gedebum! Gedebum!

Yahoo! Saya bagai hendak melompat gembira apabila melihat masih wujud pasukan kompang yang dianggotai bersama orang tua dan anak muda. Kampung ini bagus, puji saya.

“Alhamdulillah! Setakat ini masih ada. Ahli majlis dan geng mengaji kaum ibu pun aktif. Bukan sahaja kenduri-kendara tetapi menguruskan kematian pun kita ada ahli jawatankuasa.” jelas rakan yang semeja dengan saya. Sekali lagi saya gembira sebab ada seseorang yang senang diajak berbual. Saya pulang dengan gembira ketika acara menyanyi karaoke sedang berlangsung. Acara yang telah menggantikan “live band” kampung. Di sesetengah tempat, suasana majlis disulami dengan lagu-lagu nasyid dan berbentuk keagamaan. Ia berjalan mengikut kehendak tuan rumah, keluarga atau menurut kesesuaian sesuatu tempat.

Mungkin bagi sesetengah kita tidak kisah pun dalam bab perjalanan majlis kenduri-kendara ini. Kalau hendak berubah pun apa nak buat. Katering atau gotong-royong, di dewan atau di balai raya, ada kompang atau hanya pakai bunyi rakaman – yang penting majlis jalan. Memang bukan semua orang kisah apabila bunga telur tidak ada lagi untuk diberikan kepada tetamu yang datang sebaliknya diganti dengan gula-gula padahal orang kita dah lama kaji, telur adalah makanan paling berzat dan melambangkan kesuburan. Gula-gula? Ahai!

Kerana bagi sesetengah kita adat bukannya statik, ia bergerak seiring dengan zaman. Kitalah harus menyesuaikannya. Meriah atau tidak sesuatu majlis itu pun tidak perlu ada pihak lain menilaikan asalkan yang empunya diri bahagia. Tetapi sebaliknya pula jika sesuatu bangsa itu tidak kisah dengan adat budaya sendiri maka sesuatu bangsa itu sukar untuk maju ke hadapan dari pelbagai segi. Betulkah? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.