`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, October 21, 2023

Polis sedang kenal pasti aset milik pengasas bersama MYAirline, ahli keluarga

 

Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Yoosuf berkata, tidak dapat dipastikan sama ada reman terhadap ketiga-tiga suspek, yang tamat hari ini, akan disambung. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis sedang mengenal pasti aset milik pengasas bersama syarikat penerbangan tambang murah MYAirline serta dua ahli keluarganya, dipercayai hasil kegiatan pengubahan wang haram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Yoosuf berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan mana-mana aset, termasuk akaun bank atau harta yang terbabit.

Tambahnya, polis turut menyiasat modus ope­randi digunakan suspek dalam mengutip deposit haram melibatkan satu rangkaian perniagaannya sejak tiga tahun lepas.

“Siasatan turut melibatkan apa jenis kesalahan dilakukan, antaranya bagaimana suspek mengambil wang dan sebagainya,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

“Kita juga sedang mengenal pasti sebarang aset milik suspek dipercayai daripada aktiviti pengubahan wang haram, namun ia memerlukan masa termasuk tindakan sitaan.”

Ramli juga berkata, reman terhadap ketiga-tiga suspek akan tamat hari ini, namun tidak dapat dipastikan sama ada reman akan disambung atau mereka bebas dengan jaminan.

Selasa lepas dilaporkan bahawa pengasas bersama syarikat penerbangan tambang murah itu, yang berusia 57 tahun, ditahan polis bersama dua ahli keluarganya di Shah Alam, Selangor.

Menurut polis, siasatan meliputi pelbagai elemen termasuk bagi mengetahui sumber wang melibatkan rangkaian perniagaan dimiliki ketiga-tiga suspek, dipercayai hasil pengubahan wang haram.

Mereka direman empat hari bermula Rabu untuk siasatan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Da­ripada Aktiviti Haram 2001. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.