Bekas menteri besar Pahang Adnan Yaakob mungkin telah bantu tumbangkan Perikatan Nasional (PN) pada PRK Pelangai semalam sama ada secara sedar atau tidak. Pada awalnya Adnan dilihat seakan ‘bola tanggung’ buat gabungan pembangkang itu, beliau sebaliknya antara kunci kemenangan Barisan Nasional (BN).
Ini mungkin sekadar satu teori tapi kaitan Adnan dalam kemenangan calon BN Amizar Abu Adam tidak boleh dinafikan, manakala PN yang beria-ia mahu mengembangkan ‘Gelombang Hijau’ ke Pahang kesudahannya bungkus.
Amizar memperoleh 7,324 undi untuk menang dengan majoriti lebih kecil 2,949 undi ke atas calon PN Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi sementara calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya meraih 47 undi, sekali gus hilang deposit. Peratusan keluar mengundi 72.12%.
Pada PRU15, calon BN Johari Harun menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH) 2,031 undi, dan Isa Ahmad (Pejuang) 65 undi. Peratusan keluar mengundi ketika itu 78%.
Pada PRK semalam, BN menduduki tempat teratas di tujuh daripada sembilan daerah mengundi termasuk Felda Chemomoi, kecuali Felda Kemasul dan Felda Kemahal yang memihak PN.
Pada 16 Ogos lalu, tokoh veteran Adnan dipetik berkata bahawa Umno dah nak ‘bungkus’ selepas parti itu sekadar menang 19 – masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, satu di Kelantan dan 14 di Negeri Sembilan – daripada 108 kerusi yang ditandingi pada PRN 12 Ogos lalu.
Oleh kerana beliau membuat kenyataan itu tatkala di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dipercayai bagi kes membabitkan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, maka banyaklah tafsiran dibuat yang Long Nan, seperti beliau dikenali, tidak lagi menyokong Umno. Namun, beliau tidak pula pernah umum demikian.
Muhyiddin ketika itu dilepas dan dibebaskan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri kelapan bagi suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat untuk Bersatu yang diketuainya.
“Umno pun dah nak bungkus dah, bungkus lipat,” katanya dalam video berdurasi 25 saat yang tular sejak itu. Lantaran bekas Adun Pelangai selama lapan penggal sejak 1986 ini ditafsirkan tidak lagi di pihak Umno, maka majoriti pengundi di DUN itu dianggap harus mengambil pendirian serupa.
Tetapi, apabila Adnan dilihat menyertai pimpinan BN lain pada majlis pengumuman calon pada 20 September lalu dan kemudian turun membantu Amizar pada minggu kedua berkempen, PN tidak dapat menggunakan naratif yang sama. Cuma Haslihelmy yang mendakwa nama Long Nan sudah “tidak laku untuk dijual”.
“Adnan tidak asing di Pelangai dan beliau sangat baik kepada masyarakat di DUN ini. Pelangai dan ‘Long Nan’ berpisah tiada. Mereka (pembangkang) ambil kesempatan sahaja. Kehadirannya membantu kempen saya melambangkan beliau sebenarnya memang orang Umno dan tak akan keluar,” kata Amizar.
PRK Pelangai juga barangkali akan diingati sebagai yang kotor mengatasi PRK Pulai dan Simpang Jeram pada 9 September, dengan PN menggunakan apa saja dakwaan – daripada kerajaan perpaduan cacamarba dan mengamalkan liberalisme agama, adanya empat Adun kerajaan akan lompat parti, penggunaan polis lebih ramai daripada biasa untuk menakutkan penyokong pembangkang, Umno gunakan aset kerajaan untuk berkempen hinggalah kepada menyogok beras percuma untuk memancing sokongan.
Kata-kata Muhyiddin dalam sesi dialog bahawa kedudukan Umno ketika ini ialah di “celah kelangkang” DAP dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus yang paling tidak sopan.
Umno, yang dituruti kehadiran Anwar memilih untuk menjawab apa saja tohmahan yang dilontarkan berbanding mengambil pendekatan yang sama terhadap pembangkang.
Satu tinjauan ‘Pelangai Memilih: Antara Legasi dan Perubahan’ membabitkan 1,772 responden merangkumi sembilan pusat daerah mengundi dari 29 September hingga 2 Oktober lalu membayangkan PN akan tewas. Hampir semua responden telah membuat keputusan, dengan 55.5% akan mengundi BN dan 43.2% lagi memilih PN.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, BN mengekalkan DUN Pelangai semalam dengan 62% bahagian undi.
“Berdasarkan dapatan, didapati bahawa naratif perubahan yang dibawa PN masih belum dapat menembusi jiwa pengundi di DUN Pelangai walaupun telah ada peningkatan kecenderungan terhadap PN,” kata Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (APM) yang menjalankan tinjauan itu.
Laporannya yang disediakan oleh lima penyelidik, Shahrill Sabarudin, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, Prof Madya Dr Novel Lyndon, Dr Suffian Mansor dan Nasrullah Mappatang juga menyatakan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail menikmati tahap populariti yang tinggi, dengan 80.9% menyokong pentadbirannya.
Majoriti responden yang tinggal di tiga Felda di Pelangai – Chemomoi, Sungai Kemasul, dan Sungai Kemahal – berkata mereka berpuas hati dengan kerajaan negeri.
Dalam pecutan akhir PN menampilkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor sekali lagi dalam ceramah grand finale tapi harus sudah terlambat untuk mengubah kedudukan.
Sebaliknya, benarlah telahan Wan Rosdy bahawa kemaraan ‘Gelombang Hijau’ akan dinoktahkan pada PRK Pelangai. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.