`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 16, 2023

Raja Permaisuri Agong gesa gencatan senjata di Gaza

 

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkata baginda berang dengan pencabulan hak asasi manusia yang serius ini terhadap Gaza yang dilakukan oleh tentera Israel. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menggesa pemimpin dunia mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera di Gaza dan membuka koridor bantuan kemanusiaan secara kekal ke Semenanjung Gaza.

Tunku Azizah bertitah tindakan pemimpin dunia perlu dalam menyokong usaha yang diselaraskan oleh organisasi kemanusiaan untuk menghantar bekalan penting dan membantu kumpulan tempatan di lapangan dalam menyediakan perkhidmatan kecemasan, selain menyelamatkan maruah rakyat yang sedang menderita.

“Kita tidak boleh membiarkan pengeboman berterusan…kita mesti secara kolektif menyeru agar permusuhan dihentikan segera. Saya berdiri di sini, untuk menyertai gesaan yang semakin meningkat untuk gencatan senjata segera dan saya merayu kepada pemimpin dunia untuk memberi tekanan ke arah usaha menamatkan kegilaan ini.

“Saya berdiri di sini bukan sahaja sebagai seorang Raja Permaisuri Agong tetapi sebagai seorang ibu, bersama anak-anak saya yang amat saya sayangi…Saya berdiri di sini sebagai seorang manusia dan kita mesti bersuara dan berkata berhenti, dan cukup-cukuplah!.

“Saya berang dengan pencabulan hak asasi manusia yang serius ini, saya tidak boleh berdiam diri lagi… Saya bimbang untuk rakyat Gaza, demi keselamatan kanak-kanak, saya bimbang atas dasar kemanusiaan kita,” titah Tunku Azizah ketika menyampaikan Titah Diraja pada Sidang Kemuncak “United for Peace in Palestine: There is No Loss in Peace” di Istanbul, Turki.

Teks ucapan baginda dihantar kepada Bernama.

Sidang kemuncak itu disertai oleh pasangan pemimpin dari pelbagai negara dan dihoskan oleh Wanita Pertama Turki, Emine Erdogan.

Tunku Azizah bertitah sejak konflik semakin meruncing, beratus-ratus ribu rakyat telah menggesa kerajaan mereka untuk menyokong usaha ke arah gencatan senjata dan para pemimpin harus mendengar suara tuntutan rakyat.

“Mereka ini dari semua lapisan masyarakat, mengamalkan agama yang berbeza, dan bercakap bahasa yang berbeza tetapi mereka bercakap dalam satu suara – untuk menyeru kepada keamanan, untuk hidup dalam harmoni dan menghormati antara satu sama lain,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah tiada manusia harus hidup menderita, atau berada dalam ketakutan yang berterusan dan bimbang akan nyawa mereka dengan beribu-ribu mangsa pengeboman masih tersepit di bawah runtuhan bangunan.

Baginda turut melahirkan rasa sedih terhadap keadaan yang melanda Gaza kerana lebih 10,000 nyawa rakyatnya terkorban dalam tempoh sebulan dengan hampir separuh daripada mangsa adalah kanak-kanak, akibat kekejaman Israel.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama pasangan ketua-ketua negara dan kerajaan serta wakil negara pada sidang kemuncak itu dengan tegas menyuarakan bahawa mereka menolak sebarang percubaan untuk memindahkan penduduk awam Palestin dari tanah air mereka.

Menurut kenyataan itu, semua pihak wajib bertindak mengikut undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, serta melihat kesan yang besar akibat perpindahan semasa konflik terhadap wanita, kanak-kanak dan warga tua. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.