`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 17, 2024

Bekalan beras tak cukup masih isu walaupun harga baharu ‘sesuai’, kata pengusaha

Ketiadaan beras tempatan di pasaran disebabkan penguatkuasaan lemah, sedangkan pengeluaran domestik mampu memenuhi sehingga 60% keperluan negara, kata PPBMM.

PETALING JAYA: Pengusaha kilang melihat penetapan harga beras tempatan daripada RM26 kepada RM30 bagi kampit 10kg sebagai sesuai dengan kos operasi yang ditanggung pemain industri ketika ini.

Namun, Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Mohamad Termizi Yop menegaskan isu pokok yang perlu ditangani ialah bekalan beras tempatan tidak mencukupi di pasaran.

Katanya, ketiadaan beras tempatan di pasaran disebabkan penguatkuasaan yang lemah, sedangkan pengeluaran domestik mampu memenuhi sehingga 60% keperluan negara.

“Barang tak ada di kedai tak guna juga. Rakyat akan marah,” kata Termizi kepada FMT.

“Bukan harga beras menjadi penentu penyelesaian masalah kekurangan beras tempatan di pasaran, sebaliknya bekalan ada atau tidak.”

Bagi beras, kerajaan menetapkan sasaran nisbah sara diri (self-sufficiency ratio) sehingga 75% menjelang 2025 dan 80% menjelang 2030.

Mengulas cadangan harga RM30 bagi kampit 10kg, Termizi melihat langkah itu sebagai wajar memandangkan harga beras tempatan sudah 18 tahun tidak dinaikkan.

“Harga beras tempatan RM26 bagi 10kg tak wajar lagi sebab kos bahan input untuk pesawah tinggi,” katanya.

“Harga RM30 itu berbaloi dan itu yang dipersetujui dalam perbincangan dengan pemain industri sebelum ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan melibatkan pemain industri dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol).

“Kalau pemain industri dilibatkan isu dapat diselesaikan secara menyeluruh dan mana-mana pihak tidak boleh menuding jari kepada sesiapa apabila berlalu isu ketiadaan bekalan di masa akan datang,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata isu harga kawalan beras akan menjadi salah satu agenda utama pada mesyuarat Naccol, minggu depan.

Rabu lalu, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, yang mengetuai jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup bawah Naccol, mengumumkan pengenalan beras putih Malaysia Madani pada harga RM30 kampit 10kg, berkuat kuasa 19 Feb dan pengguna boleh mendapatkannya di pasaran bermula 1 Mac.

Katanya, bagi beras putih Malaysia Madani kampit 5kg akan dijual pada harga RM15.50 dan 1kg RM3.50. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.