`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, February 29, 2024

Saat Aaron Bushnell bakar diri

 

Dalam budaya kita, mungkin juga kerana beragama Islam; tindakan membakar diri sebagai satu protes politik, atau kerana upacara agama jarang-jarang sangat terjadi. Hampir sama sekali tidak kedengaran. Akan tetapi dalam lingkungan dan sesetengah budaya lain, pembakaran diri satu bentuk bantahan politik yang paling ekstrem, dan paling tinggi.

Sebagai contoh tatkala Mohamed Bouazizi membakar dirinya sebagai tanda protes terhadap kelemahan kerajaan Tunisia dalam tahun 2010, ia mencetuskan Arab Spring yang menyaksikan gelombang bantahan politik paling bersejarah di Timur Tengah. Beberapa buah negara seperti Mesir atau Tunisia sendiri malah melakukan perubahan tampuk pemerintahan ekoran itu. Ketika aksi ini terjadi, Barack Obama menamakan ‘self-immolation’ atau aksi bakar diri itu sebagai pengorbanan besar demi masyarakat, malah melihat Bouazizi sebagai seorang tokoh menyerupai Rosa Parks (figur dan aktivis kulit hitam di Amerika dalam dekad 1960an).

Dalam tahun-tahun 1960-an yang penuh gelora, pendekatan membakar diri ini begitu meluas berlaku di India. Antara lain kerana membantah penobatan bahasa Hindi sebagai bahasa kebangsaan negara tersebut. Manakala dalam tahun 2009 pula, seorang sami Tibet membakar dirinya, mendorong berlakunya protes besar di Barat China. Lebih seratus sami terus-menerus melakukannya.

Tentu, sesetengah orang akan menganggap bunuh diri itu sebagai perbuatan sia-sia. Sayugia diingatkan, membunuh diri memang sia-sia; akan tetapi membunuh diri sendiri dengan satu hantaran atau mesej yang kuat, boleh jadi sesuatu yang lain pula. Seperti yang telah ditunjukkan oleh Bouazizi itu. Ia mungkin kerana ada ‘pengisian’? Atau kita gantikan terma membunuh diri itu dengan mengorbankan diri?

Protes dengan membakar diri sendiri sebetulnya langka tetapi pernah berlaku beberapa kali di Amerika Syarikat. Justeru ia bukanlah sesuatu yang sama sekali asing. Misalnya, Norman Morrison, aktivis anti Perang Vietnam membakar dirinya pada 1965; diikuti oleh Roger Allen LaPorte, seorang pelajar seminari Kristian dalam tahun yang sama. Kemudian, terdapat pula George Winne Jr, pelajar yang membakar diri pada 1970 untuk membantah penglibatan AS, juga dalam Perang Vietnam.

Sebelum dari semua ini; dalam tahun 1963, Thich Quang Duc seorang sami Vietnam membakar dirinya di Saigon lantas membenihkan siri pembakaran diri di atas. Ia berlaku lagi dalam tahun 1993, apabila Graham Bamford membakar dirinya di hadapan Parlimen Inggeris di London. Mesej Bamford adalah untuk membantah dan menolak keganasan dan genosid yang terjadi di Bosnia. Saya percaya generasi hari ini tidak mengetahui pengepungan dan nestapa Bosnia tatkala itu.

Makanya bakar diri menjadi puncak senjata yang abadi.

Minggu lalu, pada 25 Februari 2024, Aaron Bushnell, yang berusia 25 tahun dari San Antonio, Texas, bertindak melakukan aksi yang menyentak ini sekali lagi. Apa yang lebih mengejutkan ialah pertama; Bushnell adalah anggota tentera AS yang masih aktif. Kedua, beliau melakukannya secara lintas langsung menerusi akaun Twitch di bawah nama “LillyAnarKitty” lengkap dengan bendera Palestin pada profilnya bersertakan kapsyen “Free Palestine”. Ketiga, Bushnell menyatakan dengan jujur dan terang-terangan bahawa beliau tidak lagi sanggup terlibat dalam jenayah genosid terhadap rakyat Palestin, dan sebelum meninggal dunia melaungkan beberapa kali ‘Palestina Merdeka’.

Bushnell sebetulnya hanya baru memulai karier di United States Air Force (USAF) dalam tahun 2020. Beliau dilatih dalam sektor keselamatan siber. Dalam masa sama ikut pula mendaftar diri sebagai siswa kejuruteraan di Universiti Southern New Hampshire University. Teman-teman beliau menggambarkan Bushnell seorang yang suka tersenyum, dan tiada masalah. Dia nampaknya begitu mengambil berat mengenai nasib Palestina, malah memperuntukkan seluruh tabungan wangnya kepada kebajikan anak Palestina sekiranya meninggal dunia.

Sebelum pukul 1 tengahari pada 25 Februari lalu, Bushnell sembari melangkah ke pintu hadapan Kedutaan Israel di Washington, mengisytiharkan posisinya sebagai tentera yang masih aktif ini, menolak normalisasi genosid dan mengakukan apa yang ia lakukan ini satu protes paling ekstrem. Pun dengan sedar beliau menyatakan, “…akan tetapi apa yang dialami oleh rakyat Palestina di tangan penjajah jauh lebih dahsyat jika dibandingkan apa yang akan saya lalui. Inilah yang cuba diputuskan oleh kepimpinan negara ini sebagai sesuatu yang normal.”

Untuk sesetengah orang, apa yang dilakukan oleh Bushnell ini tentulah menimbulkan lebih banyak tanda tanya. Misalnya, apakah tanggapan bapanya, seorang veteran perang; atau ibunya seorang pekerja gereja.

Untuk kita yang kata kemerdekaan itu dalam banyak keadaan adalah satu monumen, atau tugu. Jika di AS mungkin diketik foto di hadapan Statue of Liberty untuk menamakan kebebasan tersebut. Ia menjadi berhala mati. Ada pula melihat kemerdekaan sebagai ikrar dan laung, pantomim di sekolah atau perarakan dan perbarisan. Akan tetapi untuk setengah manusia yang lain, kebebasan dan kemerdekaan adalah satu perasaan. Ia adalah penyataan luhur dan jujur.

Ada media yang berusaha menggambarkan Aaron Bushnell sebagai seseorang dengan masalah mental. Hal ini sukar untuk dipercayai kerana beliau menunjukkan kewarasan sehingga saat akhir. Di Facebook, beliau menyelar kesenyapan masyarakat menyaksikan sahaja genosid di Palestin. Setiap langkahnya ke pintu hadapan Kedutaan Israel sambil mengucapkan sanggahan terhadap perang dilakukan dengan tekad dan nyala sedar. Teriak Palestin oleh Bushnell demikian komited dalam api yang marak itu. Beliau tidak menunjukkan rasa kesal dalam kesakitan. Dia ada mengaduh, tapi masih dalam sakit dijilat api dan melayangnya roh dari jasad, dia kekal memanggil Palestin. Seolah-olah itu yang biasa.

Satu hal yang tidak biasa adalah ada pada kita; iaitu kita hanya menengokkan pembunuhan di Gaza tanpa melakukan apa. Satu hal yang tidak normal adalah ada pada kita; iaitu kita hanya membiarkan pengganas membunuh dan mencerai-berai serta mengoyak-ngoyak tubuh kecil bayi dan kanak-kanak. Sebenarnya kita tidak normal. Kita sudah melewati tanda aras kebiasaan. Di mata Bushnell genosid ini tidak normal dan ganjil. Di mata beliau perasaan tiada apa terhadap keganasan yang menimpa Gaza itu satu kepelikan dan kegilaan. Bushnell berasa aneh kita mendiam diri.

Dalam dunia mereka yang bebas seperti Aaron Busnell kita adalah mereka yang tertawan dan tidak lagi melawan. Aaron Bushnell ingin memprotes normalisasi yang jijik ini. Maka dia membakar diri.

Bushnell tidak menderita lama. Dia meninggal dunia dalam seminit dua. Jika dibandingkan dengan derita tidak tertanggung di Gaza yang telah melampau hampir 150 hari saat ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.