`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, February 29, 2024

Kongres Bumiputera harus berani tangani isu sebenar

 

Sudah tiba masanya Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin parti berasaskan Bumiputera, terutama Umno, Bersatu, PAS, dan PKR untuk berani menyatakan isu-isu sebenar berkaitan peranan Bumiputera dalam ekonomi negara.

Mereka perlu memastikan setiap bantuan dan peluang yang diberikan kepada komuniti Bumiputera hanya disasarkan kepada mereka yang tergolong dalam segmen B40, yang hidup di peringkat terendah masyarakat kita.

Bantuan yang dirancang dengan baik sepatutnya tidak terhad kepada Bumiputera sahaja, tetapi harus merangkumi semua rakyat dalam strata tersebut.

Sejarah membuktikan bahawa inisiatif pendidikan yang memberi kelebihan kepada Bumiputera, melalui sekolah berasrama penuh dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan ITM (kini UiTM) berjaya mencipta golongan Bumiputera yang terpelajar.

Namun, peralihan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar akhirnya membawa kepada graduan Bumiputera lebih cenderung memilih pekerjaan di dalam kerajaan dan GLC, bertentangan dengan tujuan asal iaitu meningkatkan kaum Bumiputera di sektor swasta.

Dahulu, pekerjaan di dalam kerajaan dan GLC dianggap selamat dan stabil, dengan gaji serta faedah yang cukup memberangsangkan.

Terpesong daripada matlamat

Malangnya, selepas bertahun-tahun lamanya, agensi-agensi yang dikawal oleh Bumiputera dan badan-badan kawal selia telah terpesong daripada matlamat asal.

Sebilangan pihak tertentu secara sembunyi memainkan peranan dalam menyokong kumpulan sektor swasta bukan Bumiputera, mendahulukan faedah lumayan daripada membantu kumpulan perniagaan Bumiputera yang sepatutnya mereka perjuangkan.

Tindakan seperti itu mengundang mudarat. Amalan rasuah dalam agensi kerajaan termasuk GLC telah meluas.

Seringkali, ia melibatkan kakitangan agensi-agensi berkenaan dalam komisen kontrak, perkongsian perniagaan dan usahasama yang memberi kelebihan kepada entiti-entiti swasta berbanding perusahaan-perusahaan milik kerajaan itu sendiri.

Banyak syarikat milik Bumiputera menyertai pelbagai usaha niaga yang dikatakan untuk membantu masyarakat Bumiputera luar bandar.

Contohnya banyak, antara lain termasuk kontrak penjanaan kuasa bebas (IPP), konsesi lebuh raya dan perlombongan, kontrak minyak dan gas, pertukaran tanah kerajaan, pembangunan tanah kereta api, dan tanah ladang yang diperuntukkan oleh negeri-negeri kepada syarikat-syarikat swasta.

Ironinya, sementara kerajaan berhadapan tekanan kewangan yang berterusan, dengan banyak GLC melaporkan kerugian dalam penyata kewangan, rakan kongsi swasta mereka kelihatan berjaya dan kaya-raya.

Tujuan sebenar

Ini menimbulkan persoalan asas mengenai tujuan sebenar dan keberkesanan agensi-agensi yang dikawal oleh kaum Bumiputera.

Daripada membentuk persekitaran ekonomi yang kukuh bagi kaum Bumiputera, entiti-entiti ini kelihatan terlibat dalam amalan yang memberi manfaat kepada kepentingan sektor swasta, yang menyumbang kepada jurang kekayaan yang melebar.

Persoalan sebenar ialah sama ada perlu mengkaji operasi beberapa GLC ini, dan jika terbukti bersalah dengan amalan rasuah, GLC ini harus ditutup dan mereka yang terlibat harus dikenakan tindakan yang wajar.

Sudah tiba masanya pentadbiran Anwar bertegas dengan mendorong ketelusan, kebertanggungjawaban, dan penilaian semula peranan agensi-agensi yang dikawal Bumiputera bagi memastikan ia benar-benar jujur mendukung kepentingan ekonomi kumpulan Bumiputera bawahan.

Ini termasuklah mengkaji semula keberkesanan perusahaan kaum Bumiputra di sektor perbankan, sekuriti, dan keusahawanan yang kelihatan lesu, sementara GLC juga melaporkan kerugian.

Walaupun berdepan pelbagai kegagalan, pengurusan sama masih menduduki jawatan, selamat, dan stabil dalam pekerjaan mereka. Sumbangan sebenar perniagaan mereka tidak pernah diukur, apa lagi diperiksa dari segi pertumbuhan. Pelaku yang curang juga jarang didakwa dan dihukum.

Sementara itu, aktiviti perdagangan sebenar dibiarkan kepada entiti bukan Bumiputera dan ‘Bumiputera kelas bawahan’ iaitu golongan yang tidak dibantu kecuali jika mereka berjaya atas daya usaha sendiri.

Kesimpulannya ialah GLC yang diisi dengan pengurusan Bumiputera, tidak memberi sumbangan kepada perniagaan Bumiputera, lantas tidak membuahkan kejayaan.

Sejak penghujung abad lalu, tidak ada syarikat Bumiputera baharu yang memuncul, terutama dalam bidang digital yang berkembang pesat.

Memang mudah menyalahkan pemimpin terdahulu seperti Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak, Muhyiddin Yassin, dan Ismail Sabri Yaakob tetapi ini tidak menawarkan penyelesaian.

Hakikatnya Anwar mewarisi cabaran-cabaran ini, termasuk hutang negara yang signifikan iaitu sebanyak RM1.5 trilion.

Apabila kos sara hidup meningkat, timbul persoalan:

Apakah ahli-ahli perniagaan yang banyak meraih keuntungan sebelum ini membantu rakyat dengan menurunkan harga?

Apakah ahli komuniti Bumiputera benar-benar bersedia merapatkan saf di belakang perdana menteri?

Anwar mempunyai banyak tugas besar di hadapannya.

Bagaimanapun, menetapkan agenda ekonomi Bumiputera yang khusus pada ketika krisis ekonomi ini tidak akan mengisi kelompangan untuk merangsang keusahawanan.

Juga ia tidak dijangka dapat meningkatkan sokongan komuniti Bumiputera terhadap kerajaannya.

Dalam era ketidakpastian ekonomi global, dengan ringgit merosot dan kesulitan kewangan, Anwar seharusnya mengelak daripada mengapi-apikan konflik antara Bumiputera dan bukan Bumiputera. Itu permainan pembangkang dengan motif tersembunyi, dan perdebatan tentangnya hanya sesuatu yang bersifat retorik.

Cabaran sebenar adalah memupuk, membentuk, dan mempersiapkan kaum Bumiputera untuk bekerjasama dengan semua rakyat, agar dapat mengejar perubahan dalam perniagaan global yang terus berkembang.

Bukankah itu sepatutnya menjadi tumpuan Kongres Ekonomi Bumiputera? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.