`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, February 28, 2024

Bersih berarak lagi

 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduannya jangan pandang enteng himpunan Bersih semalam hanya kerana peserta berarak ke Parlimen tidak ramai. Benar kali ini Bersih atau nama penuhnya Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil menampilkan penyertaan lebih kurang 100 orang. Itu mengikut anggaran media. Kalalu lebih pun mungkin sedikit sahaja. Ya jauh beza daripada jumlah himpunan Bersih dahulu yang menggemparkan pentadbiran Najib Razak.

Namun, hakikat Bersih turun ke jalan raya semalam adalah mesej atau isyarat jelas dan terang kepada pentadbiran Madani bahawa ada yang tak kena. Tidak perlulah diperingatkan Bersih dengan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi tulang belakang kerajaan perpaduan berkongsi nilai perjuangan dahulu. Bak kata Hanipa Maidin ramai pemimpin PH adalah “graduan sekolah demokrasi jalanan Bersih”. Maka saya ibaratkan himpunan kali ini bagai kawan sudah “tegur” kawan. Harap istilah “tegur” tidak perlu ditukar kepada “lawan” pula nanti.

Hanipa kita tahu ialah timbalan menteri undang undang semasa pentadbiran PH 2018 .Beliau daripada Amanah dan masih bersama parti itu. Hanipa percaya Anwar dan menteri PH dalam kerajaan sekarang sedar Bersih dan agenda reformasinya adalah “benar dan tulen”. Oleh itu pada hemat saya tuntutan Bersih eloklah diterima kerajaan tanpa syak wasangka dan prejudis.

Sesungguhnya himpunan Bersih semalam bertemakan “Reformasi 100%” lantas mendesak kerajaan menunaikan semua aspek agenda reformasi yang dijanjikan. Saya menambah. Laksanakanlah sekarang kerana sudah ada dalam kalangan penyokong PH yang mempertikai kenyataan Anwar bahawa reformasi memerlukan masa untuk dilaksanakan.

Pagi semalam Bersih berkumpul di pekarangan Tugu Negara sebelum berarak ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum. Bagi saya apa disuarakan Bersih boleh dianggap suara sebilangan besar (jika tidak semua) rakyat. Ini cukup untuk membuka mata dan telinga kerajaan.

Memorandum diterima beberapa Ahli Parlimen PH dan pembangkang. Saya tidak pasti sama ada menteri dan timbalan menteri mewakili PH pergi ke pintu besar Parlimen untuk menerima memorandum. Alangkah baik jika itu terjadi.

Ketika ahli politik meneliti kandungan memorandum Bersih tentu mereka masih menghadam titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada perasmian sidang Dewan Rakyat tiga hari lalu. Titah baginda tidak perlu saya ulangi kerana sudah disebar luas. Apatah lagi memang tanggungjawab setiap ahli Dewan Rakyat dan semua politikus tahu apa yang dititah.

Dalam pada itu izinkan saya menghurai beberapa elemen diperoleh daripada pilihan raya Indonesia atau Pemilu tempoh hari. Sekadar mempersembah apa yang saya panggil “ole-ole” daripada Pemilu Indonesia untuk diperhatikan sang politikus terus tepuk dada tanya selera.

Bermula dengan sowan. Istilah sowan berasal daripada bahasa Jawa. Kini sudah terdapat dalam Kamus Besar Indonesia atau KBBI. Menurut KBBI sowan adalah menghadap kepada orang yang dianggap harus dihormati. Seperti raja, guru, orang tua. Dalam lain perkataan kunjungan hormat. Dan jelas senarai orang untuk disowan ditambah untuk mencakupi musuh atau lawan politik.

Calon presiden yang menang pemilihan iaitu Prabowo Subianto bersama “teammate” beliau Gibran Rakabuming Raka selaku wakil presiden bercadang sowan pesaing mereka pada pilihan raya iaitu Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo. “President in waiting” Prabowo jauh lebih tua daripada Anies mahu juga Ganjar. Tetapi tetap sowan.

Semasa artikel ini dibaca kemungkinan besar Prabowo bersama Gibran sudah sowan Anies dan Ganjar. Ini untuk menyatakan rasa hormat, berdamai dan berbaik baik selepas bersaing hebat semasa berkempen. Lihat sahaja debat mereka. Pelbagai serangan keras dilancar. Tetapi selepas pemilu. Sowan. Bagai “let bygone be bygone”.

Politikus kita ada juga sowan. Buat “kunjugan hormat” selepas pilihan raya ke atas pihak yang bentuk kerajaan. Tetapi oleh kerana kunjungan dibuat ke atas sebilangan (bukan semua) anggota pasukan yang menang rasa curiga timbul dalam kalangan rakyat. Apalagi apabila gambar perjumpaan yang diadakan secara sulit tular.

Jangan dipersalahkan rakyat curiga dan sangsi kerana mereka tidak lupa “Langkah Sheraton” yang terjadi. Jelas perjumpaan sebelumnya bukan biasa- biasa. Itu bukan sowan. Itu perancangan muslihat.

Bagaimanapun ada juga Ahli Parlimen kita yang “gentleman”. Setelah berapi-api tikam lidah di Dewan mereka minum kopi dan bermesra di kantin. Gambar mereka tular dengan kapsyen ditulis oleh pihak yang konon mahu menasihati rakyat. Kapsyen berbunyi: kita (merujuk rakyat) sahaja yang beria-ia. Mereka (merujuk ahli politik) boleh minum sama-sama. Semua wayang.

Rasanya komen yang tidak adil buat ahli politik bersikap profesional. Adakah ahli politik mesti bermusuh-musuhan dulu, kini dan selamanya hanya kerana perbezaan pendirian politik? Mesti terus bermasam muka dan tidak bertegur sapa?

Bercakap pasal debat. Untuk calon presiden Indonesia lima debat terbuka diadakan dan disiar secara langsung menerusi televisyen – merangkumi pelbagai isu. Panas. Ada sindir-menyindir, ada lucu sinis. Begitu juga debat antara calon wakil presiden. Bagi saya memang cun kalau ada debat seperti itu menjelang pilihan raya kita untuk calon perdana menteri.

Indonesia ialah negara mempunyai jumlah terbesar umat Islam di dunia. “The republic have its share of hardlined Muslim extremists”. Malah pernah ada kumpulan yang bergelar “Front Pembela Islam” atau FPI yang kerap bertindak ganas, menyerbu dan memecah premis minuman keras dan kelab malam atas nama memerangi maksiat. Tanpa peduli pengunjung premis termasuk orang bukan Islam dan rakyat negara luar.

Bagaimanapun soal agama dan ras tidak mendapat tempat untuk meraih undi. Prabowo pernah menggunakan isu agama dengan didukung kumpulan Islamis berserban dan jubah pada pemilihan presiden 2019 tetapi tidak berjaya.

Penganalisis berpendapat rakyat Indonesia rata-rata berpegang teguh kepada prinsip Pancasila bangsa Indonesia dan bilangan yang menolak isu ekstrem agama lebih ramai daripada bilangan yang menyokong. Itu sebabnya pemerintah berani mengharamkan FPI. Prabowo pada tahun 2019 mendapati strateginya salah. Tahun ini beliau mengenepikan soal itu sama sekali. Tampil dengan imej “cool”, menari dan berjenaka. Dan menang.

Di Malaysia kita ada versi Pancasila yakni Rukun Negara. Buat kali pertama mulai sidang Parlimen ini lafaz ikrar Rukun Negara dijalankan sebelum sidang.

Di Malaysia juga hampir setiap perkara dijadikan isu agama dan bangsa. Laungan Islam dan Melayu terancam kedengaran. Cara senang cari undi. Prabowo, Anies dan Ganjar berebut kerana Presiden Joko Widodo atau Jokowi tidak boleh bertanding lagi. Perlembagaan Indonesia menetapkan tempoh perkhidmatan presiden dihadkan kepada dua penggal.

Pada Disember 2019 kerajaan PH membentang di Parlimen rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bertujuan mengehadkan tempoh khidmat perdana menteri kepada dua penggal. Ia dijadual dibahaskan pada Mac 2020. Tetapi ini tidak dapat diadakan apabila kerajaan PH digulingkan akibat “Langkah Sheraton”.

Pentadbiran Muhyiddin Yassin yang mengambil alih tidak berminat. Menteri undang-undangnya Takiyuddin Hassan menarik balik RUU yang mencadangkan “seorang Ahli Dewan Rakyat tidak boleh menjadi perdana menteri lebih daripada dua penggal”. Tidak ada sebab diberi.

Maka matilah cadangan itu dan kerajaan Ismail Sabri Yaakob yang menyusuli tidak berminat menghidupkan semua cadangan itu.

Tempoh dua penggal untuk perdana menteri adalah antara tuntutan terkandung dalam memorandum Bersih yang diserahkan semalam. Apa agaknya pendirian PH? Adakah masih minat seperti dahulu semasa memerintah secara mutlak? Apa agaknya pendirian rakan mereka dalam kerajaan perpaduan sekarang? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.