`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 10, 2024

Berbulan ‘tersadai’ tanpa kerja, lebih 100 warga Bangladesh dihalau dari asrama

 

Warga Bangladesh yang diperdaya ejen telah diarahkan keluar selama beberapa jam dari asrama kerana syarikat terbabit tidak membayar kos penginapan. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Sebulan selepas penderitaan mereka disiarkan, nasib lebih 100 warga Bangladesh yang ‘tersadai’ selepas diperdaya majikan masih tidak menentu tanpa ada pembelaan.

Seorang daripada mangsa dikenali Rubel memberitahu FMT, mereka ‘diusir’ daripada sebuah asrama di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam kerana majikan mereka tidak membayar kos penginapan.

Difahamkan warga asing terbabit ditempatkan di situ lantaran perhatian daripada kru FMT yang terlebih dahulu membuat tinjauan di sebuah rumah kedai berkeluasan 1,000 kaki persegi di Kajang yang menempatkan kesemuanya.

Pada 6 Jan, FMT melaporkan penderitaan warga Bangladesh terbabit yang diperdaya ejen kerana tidak mendapat pekerjaan dan gaji  dijanjikan sejak tiba pada September.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa mengalas perut dengan nasi berlaukkan kuah dhal.

“Tolong, kami baru diarah keluar. Orang hostel beritahu bos (majikan) tak bayar.

“Mana mahu pergi pun tak tahu sekarang,” katanya menghubungi FMT memaklumkan mereka “dihalau” kira-kira 1 tengah hari.

Bagaimanapun, nasib mereka dibela oleh Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) apabila presidennya Kris Foo Yin Choo menghubungi wakil Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) memaklumkan perkara itu.

“Mereka dibenarkan tinggal semula di asrama selama lima hari lagi, nanti ada mesyuarat antara JTKSM, majikan dan pengendali asrama untuk selesaikan,” katanya kepada FMT memaklumkan perkembangan terbaharu itu.

Di sebalik ‘kelegaan sementara itu’, Rubel memberitahu rata-rata mereka buntu dengan nasib bakal dihadapi kerana majikan mereka yang mempunyai pejabat di Kajang seolah-olah tidak berusaha untuk menunaikan janji bagi mendapatkan pekerjaan di industri pembinaan.

“Kami datang ke Malaysia secara sah dan sudah bayar macam-macam sehingga terpaksa meminjam wang, tetapi belum ada kerja.

“Tak tahu sampai bila boleh bertahan begini,” keluhnya.

Dalam laporan FMT itu, mereka turut mendakwa tidak dapat berbuat apa-apa kerana pasport dan dokumen lain dipegang oleh majikan, juga warga Bangladesh yang mengugut mereka untuk pergi cari kerja sendiri jika terus mendesak.

Mereka mendakwa membayar kira-kira RM20,000 seorang kepada ejen di Bangladesh untuk proses masuk dan bekerja ke Malaysia.

Kumpulan pekerja asing itu juga telah membuat laporan polis dan memanjangkan perkara itu kepada JTKSM dan Papsma juga telah membawa perkara itu ke perhatian Kementerian Sumber Manusia, namun masih buntu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.