`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, February 18, 2024

Bina ‘pekan mini’, imigresen tangkap 132 warga asing

 

Anggota imigresen memeriksa sekitar penempatan haram yang diwujudkan pendatang asing tanpa izin sejak empat tahun lalu di Setia Alam.

PETALING JAYA: Penempatan haram warga asing lengkap bekalan air dan elektrik selain kedai runcit serta warung makan diserbu imigresen dalam operasi di Setia Alam, awal pagi tadi.

Dalam serbuan bermula 2.30 pagi itu, dikatakan penempatan tersebut dibina haram sejak empat tahun lalu melalui bayaran sewa sekitar RM6,000 sebulan, di kawasan seluas 0.6 hektar.

Seramai 132 warga asing dari Indonesia dan Bangladesh berusia sembilan bulan hingga 60 tahun berjaya ditahan imigresen, dalam operasi berakhir pada 5 pagi.

Jafri Embok Taha.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Jafri Embok Taha, berkata operasi membabitkan 220 pegawai dan anggota itu bermula dengan mengepung kawasan yang dipagar menggunakan zink.

“Pemeriksaan dilakukan ke atas 156 warga asing dan hasilnya, seramai 132 individu ditahan merangkumi 78 lelaki, 41 wanita, dan 13 kanak-kanak lelaki dan perempuan.

“Mereka ini bekerja di kawasan sekitar sebagai tukang cuci, buruh binaan, dan pekerja restoran dan mendiami penempatan ini sejak empat tahun lalu,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pemilik tanah warga tempatan dipercayai membekalkan bekalan elektrik kepada penghuni di penempatan terbabit.

Imigresen menahan 132 warga asing tanpa dokumen dalam serbuan di Setia Alam, awal pagi tadi.

“Bagi bekalan air pula, mereka ambil daripada air bukit serta menggali perigi. Bagi kelengkapan harian, penempatan ini mempunyai kedai runcit yang menjual pelbagai barangan harian,” katanya.

Katanya, pihaknya sedang mengesan pemilik tanah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Jafri berkata, semua warga asing itu akan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor untuk saringan dokumentasi sebelum dimuktamadkan proses tangkapan.

“JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi Pati atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada pihak JIM untuk tindakan lanjut,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.