`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, February 8, 2024

Dasar fiskal tak lestari jika mansuh cukai pekerja lebih 60 tahun, kata ahli ekonomi

 

Tawaran diskaun cukai pendapatan lebih praktikal berbanding mengecualikan terus kelompok B40 dan M40 yang bekerja selepas usia 60 tahun membayar cukai, kata Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengecualian cukai pendapatan bagi pekerja berusia 60 tahun ke atas akan menyebabkan dasar fiskal negara tidak lestari, kata ahli ekonomi yang kurang bersetuju saranan Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM).

SPCAAM semalam mencadangkan kerajaan mengecualikan cukai pendapatan kepada kumpulan B40 dan M40 yang bekerja selepas usia 60 tahun, selepas mengambil kira cabaran rakyat kebanyakan yang masih bergelut memperbaiki ekonomi keluarga selepas pandemik.

Dasar fiskal merujuk kepada langkah kerajaan mengubah perbelanjaan dan sistem atau kadar cukai agar ekonomi stabil dapat dicapai.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata fiskal negara yang lestari menuntut semua penghuninya membayar cukai, namun Malaysia hanya merekodkan kira-kira dua juta pembayar cukai sahaja.

“Kalau mansuh (seperti cadangan SPCAAM) sumber negara akan terhad, kerana di negara ini hanya kelompok M40 atas dan T20 sahaja yang benar-benar bayar cukai.

“Jadi kerajaan perlu tingkatkan jumlah (cukai) ini, kalau tak kita tak dilihat sebagai ekonomi yang lestari,” katanya kepada FMT.

Mengikut semakan di laman sesawang LHDN, individu yang mempunyai gaji tahunan RM34,000 dan ke atas selepas pemotongan KWSP perlu membayar cukai pendapatan.

Ini bermakna gaji bulanan bersih melebihi RM2,833.33 ke atas.

Malaysia menggunakan pendapatan isi rumah untuk mengukur ekonomi rakyatnya di mana B40 berpendapatan RM4,850 ke bawah manakala M40 (RM4,851-RM10,970) dan T20 (RM10,971 dan ke atas).

Dalam pada itu, Barjoyai berpendapat tawaran diskaun cukai pendapatan lebih praktikal untuk dilaksanakan berbanding mengecualikan terus kelompok berkenaan daripada membayar cukai.

“Kalau dia (SPCAAM) nak mansuhkan cukai, sebenarnya tak boleh mansuh cukai… cuma boleh bagi dalam bentuk elaun cukai (rebat).

“Misalnya potongan cukai tambahan untuk ambil kira kos sara hidup atau masa nak buat tuntutan cukai pendapatan, ada syarat khas untuk pekerja 60 tahun ke atas.”

Sementara itu, Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia Ahmed Razman Abdul Latiff juga melihat tiada keperluan untuk kerajaan memansuhkan cukai pendapatan kepada kelompok berkenaan sekiranya gaji yang mereka terima layak untuk dicukai.

Namun, beliau berpendapat cadangan pengecualian cukai itu boleh dipertimbangkan kepada isi rumah berpendapatan RM4,000 ke atas dan duduk di bandar.

“M40 kalau usia mereka 60 tahun tapi gaji mereka sekitar RM6,000 dan ke atas, harus bayar (cukai pendapatan) tetapi kalau gaji mereka sekitar RM4,000 dan duduk di bandar mungkin cadangan ini boleh dipertimbangkan untuk tidak perlu membayar.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.