`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, February 6, 2024

Kenapa kita jadi begini?

 

Minggu lepas tular kisah seorang selebriti (katanya, saya tidak kenal) dikutuk oleh warganet berikutan coretannya menyelar para ibu bapa yang menyibuk masuk ke dalam lif di KLCC dengan kereta sorong kembar bayi mereka. Katanya ‘twin tower‘ pada hujung minggu bertukar kepada ‘twin stroller‘. Baginya, ibu bapa yang membawa kereta sorong anak yang ingin menggunakan lif ini menyemakkan. Dia kemudiannya dikecam kerana tidak prihatin. Ya! Seperti tagline kolum saya – ‘Ronasina melukis sikap manusia yang menghampakan’ maka saya hadir untuk membicarakan hal ini. Amma ba’du.

Persoalannya kenapa ada di antara kita menjadi seperti si dia ini yang berfikiran sendiri-sendiri (nafsi-nafsi). Kenapa pada tahun kedua puluh empat di abad 21 ini ketika berbagai kempen seperti masyarakat penyayang, sopan-santun amalan kita atau pada hari ini… apa tu.. Malaysia Madani diangkat, ketika para agamawan dan pempengaruh muncul di medsos bagai cendawan lepas hujan dengan berbagai tips dan nasihat; masih ada orang yang pandir?

Masih ada orang yang membuang sampah merata-rata, masih ada yang tidak reti tarik pam di tandas awam, masih ada yang tak reti gulung semula hos pam tayar kereta selepas menggunakannya di stesen minyak, masih ada yang park kereta menghalang laluan, masih ada yang memotong barisan, masih masih masih…. kenapa bai? Apa sudah jadi?

Berkenaan isu masuk lif tadi, ketika dua anak kelainan upaya saya masih ada, untuk naik ke tingkat atas, saya siap angkat kereta sorong mereka naik eskalator sehinggalah ada sesetengah pusat beli-belah meletakkan tiang dan papan tanda tidak membenarkan perbuatan bahaya sebegitu. Sebab apa saya buat? Sebab saya tidak dapat menggunakan lif. Orang yang menunggu lif dan orang yang di dalam lif tidak peduli. “Apa hal aku nak beri dia senang-senang?” itu barangkali yang mereka fikirkan.

Ketika menunggu tren juga begitu. Apabila tren sampai mereka peduli apa dengan ibu bapa yang bawa anak dalam kereta sorong. Mereka terus sahaja masuk. Kita semua bayar tiket sama harga, kita masing-masing sama rata apa perlunya keistimewaan? Itu belum lagi jika kita melihat sampah yang dibuang merata-rata ketika kita hendak healing-healing di tepi air terjun. Sakit betul dengan perangai-perangai ini.

Wahai pemimpin negara! Wahai para agamawan! Kepada tuan-puan saya bertanya mengapa ada orang kita begini? Ke mana perginya buku teks Tatarakyat kita? Apakah sudah dicampak buku mata pelajaran Sivik oleh kita semua selepas tamat sekolah? Ke mana hilangnya Ilmu Akhlak dalam subjek Agama Islam selepas kita meninggalkan bangku sekolah? Apa makna Kesopanan dan Kesusilaan pada Rukun Negara kelima yang dihafal dan dilafaz pada perhimpunan sekolah dahulu? Kenapa semua yang dipelajari oleh kita dahulu langsung tidak melekat di dada dan di otak kita hari ini? Ke mana ilmu ini semua lesap?

Di rumah sendiri, sikap sendiri-sendiri ini telahpun dibentuk. Kita secara tidak sedar mengajar anak-anak kita membazirkan makanan. Tidak habis makan tak apa, buang sahaja. Doa makan dah baca, mesti Tuhan dah berkati rezeki kita. Sisa makanan tak habis tadi itu bagi kita adalah bahagian yang tak dikira sebagai berkat. Apa ada hal! Kan?

Di sekolah, guru-guru tidak terkejar untuk mendidik sahsiah anak bangsa kerana dihambat bebanan kerja, graf, dan peratus lulus-gagal peperiksaan semua itu. Masing-masing kena kejar sukatan pelajaran dan menyediakan soalan peperiksaan. Saya ingin memetik berita bertajuk Sistem Pendidikan Jepun Berteraskan Nilai Murni, Bukan Peperiksaan (Nailah Huda, Astro Awani bertarikh 11 Ogos 2019):

“Bagi enam tahun pertama, semua kanak-kanak diajarkan bagaimana untuk menghayati alam semula jadi, menjaga disiplin masa, menghormati orang tua dan menyayangi diri sendiri,” ulas Hanny Zurina Hamzah, pensyarah kanan Jabatan Ekonomi di Universiti Putra Malaysia.

Kaedah pengajaran-pembelajaran beginilah yang sudah sepatutnya kita amalkan di negara tercinta ini. Bina sahsiah insan dahulu sebelum pergi ke akademik. Kemudian, kita lihatlah ceramah dan kuliah agama kita pula bagaimana. Itulah yang pernah saya bebelkan di sini sebelum ini. Kita terlalu memfokuskan habluminallah (hubungan dengan Allah) tetapi mengesampingkan hubungan sesama manusia (habluminannas) yang sama peri-pentingnya. Malah menjaga hubungan sesama manusia itu sendiri duduknya di bawah habluminallah itu sendiri. Kita terlalu hendak melakukan ibadah kepada tuhan semata-mata tetapi sombong dengan manusia dan alam.

Seorang kawan FB saya menulis, tempat paling sukar melihat senyuman ialah di surau dan masjid. Mak ai! Ini serius ni. Tetapi saya akuinya. Tak percaya cuba anda (orang biasa yang tak popular langsung) masuk di surau atau masjid yang anda tidak kenal ahli jawatankuasanya. Kalau mereka memulakan senyuman sebelum anda, wah! Anda dikira bertuah pada hari itu.

Kita pada hari ini melahirkan masyarakat yang hanya memikirkan tentang kemenangan dirinya sendiri sahaja. Nafsi-nafsi. Sendiri-sendiri. Kiasu! Nak-nak zaman gajet ni. Anak-anak kita dapat gajet langsung sudah tak pedulikan sekeliling. Mereka tidak hirau lagi sebab sudah disedut masuk ke dalam dunia maya. Inilah bibit-bibit kelahiran masyarakat yang tidak peduli dan tiada rasa simpati.

Tengok kereta rosak tepi jalan tak rasa simpati. Kalau ada rasa simpati tidak sampai pula kepada empati. Melihat wanita hamil berdiri di dalam tren tidak berasa apa-apa. Atau mungkin kasihan tetapi tetap tidak berganjak untuk memberikan bantuan. Bunyi siren ambulan di belakang, kita berasa cemas tetapi untuk meminggir ke tepi, tidak. Ini jaman edan, kata si penyair Ronggowarsito.

Justeru, amat membanggakan saya jika para asatizah kita ketepi dahulu pergaduhan sesama asatizah tentang aliran fahaman manakah lebih benar di sisi Tuhan, sebaliknya beri tumpuan penuh melihat masalah masyarakat dengan lebih serius. Takut-takut kemelut yang terjadi ini mungkin berpunca dari salah-faham mereka pada ajaran-ajaran kamu itu.

Hubungan sesama manusia tidak semesti tertumpu kepada ibu bapa sendiri sahaja tetapi untuk semua manusia tidak kira bangsa dan agama termasuklah kepada haiwan dan alam sekitar. Kebencian yang membuta-tuli akan merosakkan.

Para menteri dan pembuat dasar, kita harus memikirkan dengan serius tentang pembangunan insan dan kerohanian. Apalah guna bangunan tinggi pencakar langit kalau kemanusiaan penghuninya semakin menjunam ke tangki najis di bawah menara-menara megah ini. Sistem pendidikan kita inilah yang menghasilkan generasi begini dan generasi sebegini akan membiakkan generasi seterusnya.

Falsafah Pendidikan Negara yang saya hafal sewaktu menjadi guru dahulu iaitu “suatu usaha berterusan bagi melahirkan insan yang cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek” harus benar-benar diterjemahkan.

Memang apabila saya mengharapkan sebuah utopia akan ada yang mengatakan saya ini berfantasi sebab kita tak akan dapat dunia yang ideal di mana segalanya tersusun lancar tanpa masalah. Tapi.. ah! Ini bukankah hal-hal biasa yang sudahpun diketahui umum. Bertoleransi, menyenangkan pihak lain bukankah itu adab kita selama ini?

Ayuh kita kembali semula ke situ sebelum kita semua menjadi parah dan pandir. Paling parah jika kita sampai ke suatu tahap bilamana masyarakat kita ini mengangkat si pandir menjadi selebriti atau idola. Haru! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.