`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 5, 2024

KKDW pantau KPI 100 syarikat, agensi

 

Zahid Hamidi berkata pihaknya tidak akan berkompromi untuk menukar kepimpinan dalam syarikat atau agensi bawah kementeriannya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membuat pemantauan terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) membabitkan 100 syarikat dan anak syarikat bawah kementerian itu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Zahid Hamidi, berkata setakat ini 23 syarikat telah ditutup disebabkan ketidakupayaan untuk beroperasi.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi untuk menukar kepimpinan dalam syarikat atau agensi KKDW sekiranya prestasi syarikat merosot atau gagal mencapai KPI yang ditetapkan tanpa asas yang kukuh.

“Saya mahu ahli lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif bergiat lebih aktif dan memahami tanggungjawab yang telah diberikan.

“Setiap keputusan yang diambil mestilah mendahulukan kepentingan syarikat dan agensi terutamanya dalam keputusan yang melibatkan kewangan, pelaburan atau perolehan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kepada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Milikan Agensi KKDW.

Zahid berkata, KKDW akan mengadakan permukiman semula pada Julai ini untuk menilai prestasi setiap syarikat berdasarkan pendekatan yang akan dilakukan.

Justeru, beliau mencadangkan lima langkah sebagai anjakan syarikat dan agensi demi melonjakkan keberhasilan antaranya membuat perancangan strategik dan analisis menyeluruh tentang operasi semasa syarikat, kedudukan pasaran serta mencari ruang baharu yang berpotensi untuk pertumbuhan.

Pengurusan syarikat juga katanya, perlu melaksanakan pemantapan operasi dengan mengurangkan kos yang tidak perlu dan memaksimumkan produktiviti, membuat keputusan berasaskan data, menjalankan perkongsian pintar dan mengukur prestasi serta penambahbaikan berterusan.

Beliau juga mengingatkan kepada pengurusan tertinggi syarikat dan agensi untuk bertindak amanah dan jujur kepada syarikat dan pemegang saham pada setiap masa, berbincang secara profesional dan terbuka selain berhati-hati apabila melakukan sebarang tindakan.

Dalam amanatnya, Zahid berkongsi jumlah pendapatan syarikat subsidiari pada tahun lepas mencecah hampir RM4 bilion, dengan keuntungan selepas cukai melebihi RM100 juta. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.