`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, February 23, 2024

Menyekolahkan Ahli Parlimen kita

 

Ahli Parlimen kena buktikan mereka lebih baik daripada budak sekolah, kata Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh. Menyanggah pandangan itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim pula berkata wakil rakyat bukan seperti kanak-kanak sekolah yang perlu dihukum atau seperti penjenayah yang dikenakan denda macam di mahkamah.

Dua pendirian berlawanan itu melambangkan kepelbagaian yang diraikan dalam sidang Dewan Rakyat kerana sesuatu isu itu ada pro dan kontranya asalkan batas-batas susila dan peraturan mesyuarat dipatuhi ketika berbalas hujah dan berbahas.

Di tengah-tengah dua pandangan berbeza itu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menegaskan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bermula Isnin hingga 27 Mac akan dijalankan dengan lebih serius dan diangkat kedudukannya agar lebih mulia. Serentak dengan itu, perjalanan Parlimen dihasratkannya akan nampak world class dan tidak lagi dilihat menjadi tempat yang ditempelak masyarakat — sesetengah mereka membandingkannya dengan suasana di zoo.

“Tempoh ‘honeymoon’ sudah berakhir dan kini masa untuk serius. Kita sangat serius kali ini, Parlimen akan menjadi tempat termulia, sebab kita buat undang-undang yang terpakai kepada seluruh rakyat di Malaysia. Maksudnya bila kita berdebat, cara berdiskusi kita akan lebih berhemah dan berfakta, tidak lagi terkait dengan emosi dan lain-lain,” tegasnya sempena ucapan amanah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Sebelum ini, Akmal ketika menegur Ahli Parlimen yang tidak bersetuju nama mereka dipaparkan dalam laman web Dewan Rakyat kerana ponteng sesi persidangan perlu menunjukkan contoh lebih baik daripada pelajar sekolah. Sebaliknya, mereka dituntut menonjolkan kepimpinan melalui teladan sekiranya mahu menjadi seorang wakil rakyat yang matang.

“Jadi, sepatutnya kena buktikan semua ahli Parlimen lebih baik daripada budak sekolah. Bukan hanya terpekik terlolong dalam Parlimen berbahas dengan tidak matang dan isu yang tidak membantu rakyat,” katanya.

Sebelum ini Johari dilapor berkata nama Ahli Parlimen yang ponteng dengan sengaja mungkin dipaparkan di laman web Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat. Tindakan itu antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan Parlimen yang diwakili.

Menurut Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu, kadang-kadang Ahli Parlimen tidak hadir selama beberapa hari tetapi beliau tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan walaupun mereka dibayar RM500 sebagai elaun harian.

Dalam pada itu, Hassan dalam mempertikaikan cadangan denda dinaikkan 10 kali ganda kepada RM10,000 terhadap wakil rakyat yang melanggar peraturan mesyuarat seperti mengeluarkan kenyataan tidak wajar, menganggapnya sebagai penghinaan terhadap institusi Parlimen. Padanya, hukuman sebegitu melanggar hak dan kebebasan Ahli Parlimen yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Ahli Parlimen bukannya kanak-kanak sekolah atau penjenayah yang perlu dihukum denda macam di mahkamah,” katanya. “Hukuman sedia ada memadai iaitu Ahli Parlimen yang didapati bersalah oleh jawatankuasa hak dan kebebasan dihukum gantung sekadar beberapa hari atau minggu. Jika terlalu serius, gantung beberapa bulan.”

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dari DAP berkata speaker wajar mempertimbangkan hukuman gantung dan keluar dewan yang dirasakannya lebih berkesan. “Kalau kamu gantung dia, dia lebih takut. Semua Ahli Parlimen nak masuk ke dewan untuk bangkitkan isu mereka. Sama ada kerajaan atau pembangkang, semua nak masuk dewan berhujah,” katanya.

Ini susulan satu pengumuman Johari pada Ogos tahun lalu bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menaikkan kadar maksimum denda terhadap Ahli Parlimen yang melanggar peraturan Parlimen selain selain digantung tugas. Langkah itu boleh dilakukan melalui pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) bagi memastikan setiap Ahli Parlimen menyumbang kepada kemajuan negara.

Sambil mengutarakan bantahan terhadap cadangan pengenalan denda maksimum itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dari Bersatu bimbang hukuman itu akan disalahgunakan.

“Apa yang kita boleh buat adalah memperkasakan Ahli Parlimen dengan ilmu pengetahuan dan bagaimana nak bersikap dalam Parlimen. Itu lebih baik, lebih positif,” katanya.

Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran dari PKR pula berasakan langkah menaikkan kadar maksimum denda itu wajar dan munasabah memandangkan speaker dan timbalannya pernah beberapa kali memberi peringatan kepada wakil-wakil rakyat.

“Mereka pernah sebut ‘Dewan Rakyat bukanlah tempat beruk (bermaksud kepada wakil rakyat yang lancang)’. Di Dewan Rakyat perlu lebih profesional. Rakyat melihat secara langsung,” katanya.

Perihal sidang Dewan Rakyat disamakan dengan zoo pernah dibangkitkan oleh Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor dalam satu sidang pada 16 Februari 2023 yang mengejutkannya kerana pertikaman lidah di luar batasan menimbulkan persepsi Dewan Rakyat sebagai tempat bergaduh dan bukannya untuk menyelesaikan isu rakyat.

“Semalam, saya pergi ke kedai mamak dan mereka mengenali saya. Ada yang bertanya ‘Macam mana zoo?’ Saya terkejut (dan) inilah implikasi masyarakat di luar sana. Sila beri perhatian dan saya harap semua Yang Berhormat ambil maklum. Jadi, saya ingin ingatkan adab dalam Dewan. Saya harap berpeganglah kepada etika,” katanya.

Berbalik kepada ucapan Johari Isnin lalu, langkah pembaharuan untuk memastikan Parlimen terus mempunyai kewibawaan sejajar dengan fungsinya sebagai badan yang menggubal undang-undang adalah sesuatu yang sudah lama tertangguh. Beliau tidak mahu lagi Parlimen dipandang serong dan hina oleh rakyat seperti mana yang berlaku pada sesi-sesi Dewan Rakyat sebelum ini.

Di sebalik mungkin ramai Ahli Parlimen yang enggan diumpamakan dengan budak sekolah, ia bergantung kepada sikap, kebertanggungjawaban, dan tutur kata mereka jika tidak mahu disekolahkan, apatah lagi dikenakan tindakan tegas. Tapi kita juga harapkan agar suasana sidang Dewan Rakyat tidak terus berubah menjadi suram dan sendu hingga perjalanannya tidak lagi menarik untuk diikuti.

“Jika anda mahu melangkah ke hadapan, anda perlu bercakap mengenai pembangunan negara, masa hadapan dan idea untuk tahun-tahun mendatang. Itulah sebenarnya yang diinginkan terhadap Ahli Parlimen kerana jika anda masih membincangkan soal isu remeh, maka kita tidak akan ke mana.

“Tambahan pula, satu kajian menunjukkan golongan muda semakin berminat untuk mendengar perbahasan jadi mereka tahu apa yang berlaku di Parlimen. Maka, saya fikir adalah penting untuk menunjukkan nilai yang baik,” kata Johari pada mesyuarat Kelab Concorde -– satu perjumpaan tidak rasmi sekumpulan pengarang dan wartawan kanan dengan ahli politik dan pembuat dasar utama –- pada 6 Okt tahun lalu.

Harap-harap sidang Parlimen bermula Isnin ini akan dipenuhi dengan perbahasan dan idea berkualiti untuk pembangunan negara. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.