`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, February 11, 2024

Meski ‘sambutan’ positif, MIPP perlu tunggu lagi untuk sertai PN

 

MIPP mengharapkan khabar gembira selepas menanti untuk menyertai Perikatan Nasional, kata Presiden P Punithan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) perlu menunggu sekurang-kurangnya sebulan dua lagi untuk mengetahui nasib permohonan menyertai Perikatan Nasional (PN), kata presidennya P Punithan.

Bercakap kepada FMT, Punithan membayangkan “sesuatu yang positif” akan dicapai, berdasarkan mesyuarat pertama pada akhir tahun lalu selepas pihaknya menyerahkan permohonan pada Disember lalu.

“Mesyuarat pertama sangat positif, jadi kita tunggu mesyuarat kedua bersama pemimpin PN bulan depan. Diharapkan ada khabar gembira menanti.

“Setakat ini ‘vibes’ positif, malah telah dijemput ke rumah terbuka PN… kita sudah rasa seolah-olah menjadi sebahagian keluarga mereka,” katanya merujuk kepada undangan ke majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan di Wisma PGRM, Kuala Lumpur, semalam.

PN ketika ini mendapatkan sokongan bukan Melayu menerusi Gerakan, dan sayap bersekutu Bersatu yang ditubuhkan sejak 2021. Sayap itu diketuai Dr Chong Fat Full selepas Edmund Santhara Kumar melepaskan jawatan pada Julai 2022.

Pada 9 Dis tahun lalu, mesyuarat jawatankuasa MIPP sebulat suara memohon menyertai PN yang ketika ini tidak mempunyai parti mewakili kaum India.

MIPP yang didaftarkan dengan Jabatan Pertubuhan Pendaftaran Malaysia (JPPM) 2019 diketuai Punithan yang sebelum in ketua Pemuda MIC Selangor.

Punithan turut mendakwa telah bertemu dengan pemimpin India dari parti dalam kerajaan perpaduan yang ‘positif’ mahu menyertai MIPP di bawah PN.

“Selain MIC, tiada lagi parti yang benar-benar mewakili suara orang India. Jadi kita mahu jadi penggerak kepada usaha itu selepas MIC dilihat tidak lagi relevan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemerhati politik berpendapat penubuhan parti baharu berasaskan kaum India mungkin menjejaskan komuniti dan kerana bakal memecah-belahkan undi.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata parti-parti itu akan bersaing untuk mendapatkan sokongan daripada kumpulan pengundi yang sudah pun kecil, memandangkan masyarakat India hanya membentuk 7% daripada populasi.

Selain MIPP, sebuah lagi parti berasaskan kaum India ditubuhkan iaitu Urimai, yang diasaskan oleh bekas timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy, yang meninggalkan parti itu selepas digugurkan daripada PRN pada Ogos.

Sebelum ini MIC sering dilihat sebagai wakil kaum India sebelum kebangkitan DAP yang turut menampilkan pemimpin dari komuniti itu, begitu juga PKR. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.