`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 10, 2024

Naik pangkat ikut merit untuk tarik pelajar JPA kembali, kata MEF

 

Khamis lalu, JPA mengumumkan pelajar tajaan kerajaan diberi peluang bekerja di luar negara selama tiga tahun untuk menimba ilmu sebelum kembali ke tanah air. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Majikan perlu memastikan laluan kenaikan pangkat dibuat berdasarkan meritokrasi dalam usaha memastikan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kembali berkhidmat dalam negara setelah tamat pengajian.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata jika penambahbaikan tidak dilakukan dikhuatiri ramai pelajar tajaan JPA tidak akan kembali berkhidmat walaupun setelah diberi peluang untuk bekerja di luar negara selama tiga tahun seperti diumum, Khamis lalu.

“(Selain itu) untuk memastikan pelajar pelajar tajaan JPA kembali untuk berkhidmat dalam negara ada keperluan untuk mewujudkan persekitaran pekerjaan yang lebih baik dan menerapkan ciri-ciri keseimbangan di antara kerja dan kehidupan.

“Peluang untuk kerjaya mereka berkembang hendaklah diperjelaskan, perlindungan dan persekitaran mesra keluarga di Malaysia perlu ditambah baik,” katanya kepada FMT.

Syed Hussain mengulas keputusan kerajaan pada 8 Feb lalu yang bersetuju pelajar tajaan JPA di luar negara boleh dipertimbangkan untuk menangguhkan kepulangan ke Malaysia bagi tujuan bekerja di luar negara.

JPA dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat untuk memberi peluang kepada pelajar tajaan kerajaan menimba pengalaman dan kemahiran pekerjaan di luar negara sebelum balik berkhidmat di dalam negara.

Mengulas keputusan itu, Syed Hussain berkata tempoh tiga tahun yang diberikan akan menjadikan pelajar tersebut lebih mahir dan berpengalaman sebelum mereka pulang ke tanah air untuk bekerja.

“Dasar sedemikian dapat menggalakkan mereka pulang dan berkhidmat dalam negara dan mengurangkan kejadian pelajar tajaan JPA yang langsung tidak pulang untuk berkhidmat setelah mereka menamatkan pengajian,” katanya.

Menurutnya lagi, isu penghijrahan intelek hendaklah diperhalusi dengan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan persekitaran kerja di negara ini lebih menarik.

Jelasnya, meskipun terdapat usaha menarik lebih ramai pakar rakyat tempatan yang berada di luar negara untuk kembali berkhidmat di Malaysia namun usaha itu tidak mudah.

Untuk rekod, bagi tempoh 2011 hingga 2020, seramai 5,774 golongan profesional Malaysia telah dibawa pulang menerusi Program Kepulangan Pakar yang dianjurkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.