`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, February 16, 2024

Palestin OK, Bangla tak OK

 

Sekali lagi setiap tibanya cuti keraian panjang, masyarakat kita akan meninggalkan ibu kota untuk pulang ke kampung halaman atau bercuti. Sekali lagi juga, kota lengang yang ditinggalkan itu akan dipenuhi dengan kaum migran yang turut diberi pelepasan dari pekerjaan. Mereka, migran atau pekerja asing ini menggunakan kesempatan yang ada untuk jalan-jalan atau bersiar-siar. Hal ini membolehkan wajah atau sosok mereka terlihat dominan di tengah pekan.

Ketika cuti panjang Tahun Baru Cina lalu, saya mengambil kesempatan ke toko buku Kinokuniya di Suria, KLCC. Tentu, Menara Berkembar Petronas yang ikonik itu menjadi tumpuan pelancong, ekspatriat dan juga tidak terkecuali migran asing. Mereka makan minum, berkelah di tamannya, bergambar ria dan pose meriah sesungguh hati, manakala ada yang merebut peluang menelefon secara video call dengan orang tersayang (tentu dengan latar menara gah tersebut). Terdapat pembauran pelbagai warna manusia di KLCC pada hari pertama Tahun Baru Cina itu. Ia mengingatkan kepada mereka yang insaf, suasana di mahsyar kelak.

Pada hujung hari sama, anak kecil saya mengadukan bahawa terdapat banyak klip dan status di media sosial khususnya TikTok yang menebar rasa resah, benci, dan ketidakselesaan terhadap kaum migran ini. Sikap meluat dan menyampah yang selama ini terbuku dihangatkan oleh pelbagai komentar yang kadang-kadang jika dibaca berlebihan dan dapat dihujahkan ekstrem.

Terlepas dari perangai sesetengah migran yang gagal memahami di mana bumi dihurung maka di situlah langit dijunjung, kita harus mengakui bahawa masyarakat kita yang dikatakan terkenal sebagai sangat ‘friendly‘ atau ramah dengan orang asing ini, sebenarnya, sangat ‘memusuhi’ kelompok tertentu. Kemarahan dan keramahan terpilih ini dinamai xenophobia, satu cabang kepada sikap perkauman atau rasisme yang menandakan diri sesuatu masyarakat itu tidak sihat.

Begini, migran dari Bangladesh misalnya datang bekerja untuk menyara keluarga. Baru-baru ini terdapat satu video tular yang mana migran bekerja sebagai buruh pembinaan hidup dengan hanya RM200 dan menghantar gaji selebihnya kepada saudara mara di desa. Kerja kuat mereka membolehkan kita hidup dalam bangunan yang selesa. Di tangan merekalah naik rumah nyaman yang kita huni itu. Di kudrat mereka, ada jalanan dan juga jambatan yang kita lintasi dan seberangi setiap hari. Kadang-kala mereka terkorban. Mayat mereka terjepit konkrit dengan perut terburai. Belum tentu ada habuan cagaran dan bayar tebus untuk orang yang dicinta di negeri asal. Majikannya belum tentu baik.

Pada cuti yang ada, buruh ini menggunakan masa untuk berlibur menemui kawan-kawan yang mungkin bertebaran dan menumpu di lokasi pilihan, contohnya KLCC. Memang ada pelbagai bau tengik bercampuran wangian yang disembur penjual parfum di reruai pusat belanja mewah itu. Tetapi untuk mencari pasal dengan migran dan menyalakan rasisme di pelbagai platform media sosial, ia kini dilihat berlebihan; sehingga dapat dikesani kanak-kanak yang sebetulnya kain putih.

Dalam masa yang sama video berbau xenophobic ini berlegaran, terdapat pula berita dermawannya rakyat Malaysia menyumbang ke golongan yang tertindas seperti umat Islam di Palestina. Jumlah derma yang dikutip mencapai puluhan juta. Ada dakwaan di mahkamah minggu ini yang hasil kutipan digubah oleh pihak tidak bertanggungjawab secara haram. Betul atau tidak, kita akan menyaksikannya sepanjang perbicaraan nanti-nanti.

Kembali kepada sikap bermuka masyarakat kita terhadap dua kelompok umat Islam, ia sebetulnya amat membingungkan. Bayangkan umat Melayu hari ini meluat dan menyampahkan Bilal bin Rabah dengan alasan beliau hitam legam, dan lebih tergiurkan sahabat seperti Suhaib ar Rumi lantaran beliau putih melepak dan berbulu perang. Jika begitu, tidakkah sebagai pengikut Nabi Muhammad, kita umat Melayu ini akan dikategorikan sebagai munafik?

Masalah xenophobia dalam kalangan masyarakat kita sebetulnya amat memalukan dan telah pun menjadi laporan pelbagai media, dan juga badan hak asasi manusia antarabangsa. Pada tahun 2020 tular kisah seorang warga tempatan mengganggu pemotong rumput Rohingya dan memaksa beliau menjawab pelbagai soalan berkaitan agama Islam, menunjukkan adanya rasa curiga terhadap mereka. Sikap begini boleh dikatakan jarang atau hampir tidak kedengaran dilakukan terhadap orang Palestin misalnya.

Dalam laporan Pusat Komas tahun lalu, sebuah badan hak asasi manusia terkemuka, mereka menyatakan sepanjang lapan tahun memantau insiden perkauman dan xenophobia di Malaysia, mereka mendapati tahun 2022 menunjukkan gejala ketidaksetaraan dan diskriminasi yang hanyir. Diskriminasi ini berpunca dari ras, warna kulit, keturunan dan juga tempat asal dan mencapai kemuncaknya ketika pandemik lalu.

Hari ini masyarakat kita juga pukul rata melonggokkan orang Bangladesh dengan Rohingya dalam bakul sama. Sedangkan terdapat perbezaan ketara antara mereka. Sebaran salah dan juga rasisme yang bertaburan di media sosial khusus TikTok ini mulai menular dalam benak anak-anak. Ini bermakna sikap xenophobic ini sedang dipindahkan ke generasi muda kita.

Sikap ramah dan marah terpilih dalam kalangan umat Islam ini menunjukkan ada ajaran yang tidak kena diturunkan kepada masyarakat. Umat Islam di negara ini harus ingat, Bilal yang hitam itulah yang sering melaungkan azan memanggilkan kesatuan dan al falah.

Saya harap Pelan al Falah dari Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia di bawah Madani akan memperhitungkan fenomena aib dan tidak Islami ini.

Untuk memahami gejala aneh ini tidak lain tidak bukan berpunca dari pendefinisian bangsa menerusi pencirian agama tertentu. Hal ini menyemai, menerbit dan menumbuh bahkan membaja rasisme, yang kini mekar pula menjadi xenophobia. Itulah sebabnya Palestin dilihat asing tetapi harus diramah dan didermai puluh juta, sedangkan Bangladeshi dilihat berkarat legam justeru menyerupai kaum berkulit hitam tempatan yang dianggap kelas kedua. Dalam hal ini, akidah tidak lagi menjadi keutamaan. Warna kulit yang diperhitungkan. Ia berakar dari rasisme dan ‘rasa terpaling’ disebabkan faham ketuanan tertentu.

Lingkaran xenophobia ini buruknya akan terus kekal dalam masyarakat kita. Minggu ini hal busuk begini akan terpadam perlahan-lahan sumbunya, tetapi menjelang cuti panjang Aidilfitri kelak, ia akan kembali marak apinya. Hati-hati lah, apa api pun ada bahayanya. Jika tidak dipantau dikawal api kecil boleh merumba dan menyambar lantas mengakibatkan kebakaran dan malapetaka. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.