`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 3, 2024

Pemain naturalisasi: Wajarkah lagi?

 

Apakah Harimau Malaya akan layak ke Piala Asia Qatar 2023 jika tanpa khidmat pemain naturalisasi? Mungkin ya. Apakah pasukan kita mampu bangkit dengan dramatik untuk mengikat Korea Selatan 3-3 di Doha tanpa pemain naturalisasi? Jawapannya mungkin tidak.

Dalam pada itu, kekalahan dalam dua perlawanan peringkat kumpulan di Qatar juga ditempa dengan kehadiran pemain naturalisasi menunjukkan mereka bukanlah jaminan untuk Harimau Malaya sentiasa cemerlang.

Terbaru, persoalan ditimbulkan sama ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) wajar meneruskan langkah menaturalisasikan pemain sebagai jalan singkat untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan? Jelas sekali tiada muafakat dalam jawapannya kerana di sebalik ramai yang menyokong, tidak kurang juga yang berpandangan sebaliknya.

Ini sebagai butir perbincangan. Dalam perlawanan kelayakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 Jun 2022, Malaysia mengalahkan Bangladesh 4-1 — menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit -– menerusi gol-gol Safawi Rasid, Dion Cools, Syafiq Ahmad, dan Darren Lok. Dua daripada pemain itu berdarah warisan atau berdarah campuran yang berbeza dengan pemain naturalisasi.

Tewas dua perlawanan peringkat kumpulan di Qatar pula, Harimau Malaya berupaya menyelamatkan maruahnya apabila seri dengan Korea, pasukan di tangga ke-23 dunia. Selepas dua gol sumbangan Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi, kerjasama dua pemain naturalisasi menyaksikan Paulo Josue mengumpan pendek untuk Romel Morales membenam gol penyamaan pada minit terakhir.

Khairy Jamaluddin, bekas timbalan presiden FAM (2007-2010), jika difahami pandangannya mengenai langkah naturalisasi pemain kelmarin, tidak membantah. Cuma, beliau mempersoalkan mengapa FAM atau kelab-kelab gabungannya memilih untuk menaturalisasikan pemain melepasi usia kemuncak yang sudah di penghujung kerjaya bermain mereka.

Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahmat dalam responsnya menolak kritikan berhubung naturalisasi pemain bola sepak warga asing yang lebih berusia jika mereka masih mampu bermain. “Kalau pemain itu umur 36 tahun, kalau boleh main, dan OK lah. Tak ada masalah,” katanya.

Namun, ia sebenarnya bermasalah jika pemain naturalisasi hanya mampu menyumbang bakti untuk sesingkat masa. Sejak langkah itu diperkenalkan pada 2018, pemain seperti Liridon Krasniqi (Kosovo), Lee Tuck (England), Guilherme de Paula (Brazil), dan Ezequiel Agüero (Argentina) semuanya ‘ghaib’ sebelum mereka dapat benar-benar meninggalkan impak dalam jersi Harimau Malaya.

Jika jurulatih mahu menubuhkan pasukan di sekeliling pemain-pemain berkenaan, ia akan segera jadi sia-sia apabila terpaksa bermula kembali selepas ketiadaan mereka. Dalam hubungan ini, pandangan Khairy ada logiknya untuk pemain yang sudah melampaui usia kemuncak tidak dinaturalisasikan sewenang-wenangnya.

“Apa yang membuat saya kecewa ketika dalam Kabinet ialah apabila ada satu kertas mencadangkan kerakyatan untuk pemain bola sepak asing. Dan saya terfikir, ‘Kalau dia muda, katakanlah 23 tahun dan punya banyak masa bermain untuk Malaysia, maka baiklah’. Tapi dia berusia 36 tahun. Mengapa kita mahu menawarkannya kerakyatan? Dia tidak pun layak wakili pasukan kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, tidak mudah untuk menaturalisasikan pemain yang masih dalam lingkungan usia kemuncak. Mengikut peraturan Fifa, seorang pemain mesti berterusan tinggal di sesebuah negara selama sekurang-kurangnya lima tahun selepas mencapai usia 18 tahun untuk layak mewakili sesebuah negara dalam arena bola sepak antarabangsa. Peraturan itu terpakai untuk pemain yang mahu mendapat kelayakan bermain untuk pasukan kebangsaan menerusi naturalisasi dan tiada pertalian biologi dengan negara berkenaan.

“Kalau umur 23 tahun, dia kena umur 18 tahun macam itu main di Liga Malaysia secara profesional selama lima tahun berturut-turut untuk kita daftarkan di FIFA,” kata Azman. Namun, kita pun tahu bahawa kebanyakan pemain asing dalam Liga Malaysia didatangkan pada usia lewat 20-an, yang hanya melayakkan mereka dinaturalisasikan pada usia 30-an.

Satu-satunya pengecualian ialah pemain dari Gambia, Mohamadou Sumareh. Sudah menetap di Malaysia sejak berusia 13 tahun dan membuat penampilan pertama bersama Polis Diraja Malaysia pada 2013, Sumareh mendapat kerakyatan pada usia semuda 24 tahun ketika mewakili Pahang dan diserapkan dalam skuad kebangsaan bagi kempen Piala AFF pada 2018.

Morales diserapkan sebagai pemain naturalisasi terbaru negara pada usia 26 tahun, Krasniqi, Aguero, dan Endrick dos Santos masing-masing pada usia 28 tahun, Josue ketika berusia 33 tahun manakala Tuck dan De Paula pada usia 34 tahun.

Lantaran itu, bekas pemain kebangsaan Lim Teong Kim berpandangan bahawa program naturalisasi perlu dihentikan kerana ia akan mematikan peluang pemain bola sepak tempatan yang berkualiti beraksi di pentas antarabangsa selain tidak memberi kebaikan kepada pasukan kebangsaan untuk jangka panjang. Bekas pengarah teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu juga menggesa FAM untuk melihat semula kemerosotan prestasi pasukan Eropah seperti Jerman dan Itali yang antaranya disebabkan kekurangan pemain tempatan diberi peluang.

Pandangannya turut dikongsi beberapa bekas pemain kebangsaan, antaranya Zainal Abidin Hassan, Lim Fung Kee, James Wong, dan C Nadarajan yang menuntut agar dasar menaturalisasikan pemain asing untuk skuad Harimau Malaya dilihat semula. Mereka berasakan FAM hendaklah fokus kepada pembangunan bakat tempatan daripada bergantung pada tenaga pemain asing.

“Skuad Harimau Malaya ‘tak cukup Malaysia’,” kata Wong, yang gol kemenangannya membolehkan Malaysia menundukkan Korea Selatan 2-1 dalam kelayakan Sukan Olimpik 1980 di Stadium Merdeka pada 6 April 1980.

“Ia seperti pasukan asing berwajah baharu. Saya tak pasti sama ada pemain naturalisasi akan terus menetap di Malaysia selepas menamatkan kerjaya mereka. Saya tak setuju dengan pemberian kerakyatan demi bola sepak. Kenapa kita tidak boleh membangunkan pemain kita sendiri?” katanya kepada FMT.

“Hanya tiga hingga empat pemain (tempatan) bermain secara tetap. Selepas bertahun-tahun pembangunan, adakah kita hanya mampu mengetengahkan empat pemain (tempatan) di peringkat kebangsaan?” soal Nadarajan, penyerang yang dulu mencipta nama ketika mewakili Terengganu.

Sebagai alternatif, FAM harus mempertimbangkan untuk membawa masuk lebih ramai pemain berdarah campuran seperti dipelopori antaranya oleh Dion Cools, Matthew Davies, Brendan Gan, La’Vere Corbin Ong, Darren Lok, Dominic Tan, Junior Eldstal, dan Stuart Wilkin sambil proses tapisan untuk pemain naturalisasi hendaklah diperketatkan seperti menetapkan had umur tidak lebih 30 tahun.

Dilaporkan juga ada sekurang-kurangnya lapan pemain yang masih boleh dicuba untuk mereka kembali ke tanah air bagi memperkuatkan cabaran Malaysia, antaranya Nishan Vellupilay (23 tahun) pemain darah campuran Australia-Malaysia yang beraksi di Australia, Dylan Van Wageningen (21 tahun) berdarah Belanda-Malaysia dan beraksi untuk Sparta Rotterdam. Selebihnya termasuk Joshua Rawlins (kacukan Malaysia-Australia), Addis Goode (kacukan Malaysia-Australia), Sam Bone (kacukan Malaysia-England), Jez Bedford (kacukan Malaysia-England), Omar Bjorn Stefansson (kacukan Malaysia-Iceland), dan Kobe Jae Chong (kacukan Malaysia-Jamaica).

Difahamkan, ada beberapa pemain berdarah warisan yang turut berada dalam radar FAM seperti Wan Kuzain Wan Kamal dari Amerika Syarikat (AS), Nooa Laine (Finland), dan Jaami Qureshi (England).

Baik atau buruk, mereka ini boleh menjadi cabaran buat pemain-pemain tempatan untuk meningkatkan usaha mengangkat tahap permainan agar Harimau Malaya tidak terus dilihat kerdil sekalipun di peringkat Asia. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.