
KUALA LUMPUR: Tiga jenis bawang merah berjaya dihasilkan sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada bawang import.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata demi memenuhi matlamat pengurangan import bawang sebanyak 30%, Jabatan Pertanian pada 24 Jan lalu memulakan penanaman bawang merah Mardi BAW-1 di kawasan seluas satu hektar di Kuala Bikam, Batang Padang, Perak.
Menurutnya, penyelidikan dijalankan tahun lalu menghasilkan tiga jenis bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3.
“Saya telah mengarahkan Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) memberikan tumpuan lebih serta memantau rapat pertumbuhan dan pengeluaran bawang merah Mardi BAW-1 ini.
“Data-data yang diperoleh nanti dapat membantu kementerian merangka pelan penanaman bawang merah tempatan ini secara besar-besaran,” katanya di Facebook.
Mohamad atau Mat Sabu berkata, krisis bekalan bawang yang berlaku pada 2020 akibat banjir besar di India menyebabkan kenaikan harga bawang di pasaran lebih 30% daripada RM6 kepada RM8 sekilogram.
Sebelum ini, ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2024, beliau berkata kementeriannya akan memberi fokus untuk mengukuhkan industri bawang tahun ini. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.