`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 5, 2024

Pensyarah lepas, bebas tuduhan miliki, edar 1.27kg kanabis

 

Hakim membuat keputusan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan. (Gambar Pexel pic)

KUALA LUMPUR: Seorang pensyarah universiti awam terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan lelaki itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar 1.27kg kanabis tiga tahun lepas.

TS Gabriel Samson, 35, turut dilepas dan dibebaskan daripada satu lagi pertuduhan memiliki 3.05g ekstasi pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah mendapati dadah berkenaan bukan dalam milikan tertuduh seorang, tetapi milik individu lain. Semasa disoal siasat, saksi pendakwaan ketiga yang merupakan anggota polis, lelaki berkenaan memberitahu di mana dadah itu disimpan.

“Jika lelaki itu dipanggil (untuk memberi keterangan), dia boleh menjelaskan isu dadah yang dijumpai kepunyaan siapa, sama ada tertuduh terlibat dengan pengedaran tersebut atau tidak.

“Saya juga mendapati lelaki itu mempunyai akses ke rumah tersebut kerana hanya orang yang mempunyai akses ke rumah dan dadah tersebut yang boleh beritahu di mana dadah itu disimpan.

“Oleh itu, tidak selamat bagi saya memanggil tertuduh membela diri kerana timbul jurang dalam kes pendakwaan. Dengan ini, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan,” kata hakim.

Gabriel didakwa mengedar 1278.61g kanabis di unit kondominium di Jalan Pahang, Wangsa Maju di sini pada 10.15 malam 5 Feb 2021, mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh memiliki 3.05g ekstasi pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 12(2) ADB yang boleh dihukum bawah Seksyen 12(3) akta sama, yang membawa denda maksimum RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Enam saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan mulai 6 Nov 2023. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.