`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, February 22, 2024

Polis harap ganjaran jadi motivasi saksi, bantu selesai kes Zayn Rayyan

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis tidak berputus asa menyiasat kes itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis berharap ganjaran RM20,000 ditawarkan kepada individu yang dapat menyalurkan maklumat mengenai pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin dapat membantu menyelesaikan kes itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis berharap ganjaran ditawarkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Selangor (MCPF) dapat memastikan penjenayah yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

“Mungkin RM20,000 ditawarkan beri motivasi kepada orang yang melihat sebagainya untuk beri petunjuk baru dan apa sahaja petunjuk kita akan proses (siasat),” katanya menurut laporan Bernama.

Pada 6 Feb lalu, Timbalan Pengerusi MCPF A Thaiveegan berkata MCPF Selangor menawarkan ganjaran RM20,000, kepada individu yang dapat menyalurkan maklumat sehingga penjenah terlibat diberkas.

Thaiveegan, bekas ketua polis Pulau Pinang yang bersara pada 2019 berkata, ganjaran itu akan disalurkan melalui IPK Selangor.

Zayn, kanak-kanak autisme berusia enam tahun, dilaporkan hilang di Damansara Damai sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200m dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Shuhaily berkata walaupun berdepan cabaran termasuk bagi mengesan lokasi utama pembunuhan itu, polis tidak berputus asa dan meneliti setiap maklumat diterima, untuk menyelesaikannya.

“Pada ketika ini, pasukan saya masih melihat bahagian teknikal. Kebanyakan keputusan forensik sudah ada dan cabaran kita ialah kita tidak dapat kenal pasti lokasi utama kejadian… yang kita dapat ialah lokasi kedua.

“Kita masih menunggu, masih lagi cuba buat penyegitigaan selain memperhalusi beberapa perkara teknikal termasuk kenyataan yang dikumpul daripada orang ramai,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.